Ruang siber dan elektromagnetik kini jadi medan pertempuran semakin mendominasi pada peringkat global, kata panglima ATM.

Panglima ATM Malek Razak Sulaiman berkata, langkah strategik itu diambil memandangkan ruang siber dan elektromagnetik kini menjadi medan persaingan serta pertempuran yang semakin mendominasi pada peringkat global.
Beliau berkata, satu pasukan khusus dikenali sebagai Tim Nukleus Angkatan Siber telah diwujudkan untuk menerajui aspek perancangan, penyelarasan, persediaan transformasi organisasi dan pembangunan keupayaan ke arah penubuhan rasmi angkatan tersebut.
Katanya, pelancaran tim nukleus itu dijadual disempurnakan oleh Menteri Pertahanan Khaled Nordin bersempena dengan sambutan Karnival Hari ATM 2026 di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak pada 19 Sept ini.
“Kita melihat model daripada negara jiran dan asing yang telah pun menerapkan domain ini dalam ketumbukan mereka, jadi keperluan ini amat mendesak dan kita tidak boleh tertinggal,” katanya dalam temu bual khas bersempena dengan sambutan Hari ATM ke-93.
“Pasukan nukleus ini akan merancang serta melihat bagaimana untuk merealisasikan Angkatan Siber ini menjadi kenyataan dan beroperasi sepenuhnya selari dengan garis panduan kementerian untuk direalisasikan menjelang 2030.”
Mengulas lanjut, Malek Razak berkata, selari dengan hasrat tersebut, ATM juga melaksanakan pembangunan kepakaran dalam bidang Aktiviti Siber dan Elektromagnetik (Cema) secara berterusan.
Katanya, keupayaan siber, peperangan elektronik dan operasi pengurusan spektrum itu telah pun diaplikasikan secara praktikal bagi menghasilkan kesan operasi yang nyata menerusi Eksesais Camar Kilat Siri 2/26.
“Komitmen ini turut diperkukuh menerusi aspek modal insan, dengan sebanyak 60 pegawai dan 17 anggota lain-lain pangkat TUDM telah mengikuti kursus berkaitan Cema hingga Julai lepas,” katanya.
Sebelum ini, Khaled dilaporkan berkata, Kementerian Pertahanan kini dalam peringkat merangka usaha membangunkan Pasukan Siber sebagai perkhidmatan atau pasukan keempat bagi menangani ancaman peperangan moden dan kognitif.
Beliau berkata, langkah itu diambil memandangkan ancaman pada masa kini tidak lagi terhad kepada pertempuran fizikal secara tradisional semata-mata, sebaliknya mula beralih kepada penguasaan ruang siber dan persepsi masyarakat. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.