`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


16 SEPTEMBER 2026

Wednesday, September 16, 2026

Di sebalik pembentukan Malaysia, rekod lama jadi saksi sejarah

 Sebahagian daripada dokumen rasmi pembentukan Malaysia pada 1963 kini disimpan di Arkib Negara.

Perdana Menteri pertama negara Tunku Abdul Rahman (tengah, berdiri) berucap pada upacara menandatangani Perjanjian Malaysia 1963 di London.
KUALA LUMPUR:
Hari Malaysia disambut setiap 16 Sept sejak 2010 untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia pada 1963 hasil penyatuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura ketika itu.
Zaidin Mohd Noor.

Ketua Pengarah Arkib Negara, Zaidin Mohd Noor, berkata proses pembentukan Malaysia melalui beberapa peringkat penting, termasuk selepas Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman mengemukakan idea berkenaan pada 1961 yang disusuli rundingan, mesyuarat dan penelitian.

Menurutnya, sebahagian perjalanan itu dapat ditelusuri menerusi rekod asal yang disimpan di Arkib Negara.

“Kita ada dokumen rasmi, iaitu rekod daripada jabatan kerajaan, fail mesyuarat dan laporan jawatankuasa berkaitan. Contoh dokumen bukan rasmi pula seperti terbitan, akhbar dan gambar.

“Kita melihat ini sebagai rekod sahih atau rekod primer berkenaan dengan sejarah negara kita,” katanya ketika ditemui FMT.

Antara rekod berkenaan ialah Laporan Suruhanjaya Cobbold 1962, rekod Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia serta bahan berkaitan 20 Perkara Sabah dan 18 Perkara Sarawak.

Meja yang digunakan Tunku Abdul Rahman pada upacara pemasyhuran Malaysia pada 16 Sept 1963 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Turut terpelihara ialah akhbar terbitan September 1963 dengan gambar Tunku menandatangani Watikah Pemasyhuran Malaysia, selain meja yang digunakan ketika menandatangani watikah itu.

Antara dokumen terpenting ialah Watikah Pemasyhuran Malaysia 1963, yang merekodkan secara rasmi pembentukan Malaysia membabitkan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura ketika itu.

Singapura berpisah daripada Malaysia dua tahun kemudian.

Zaidin berkata, rekod asal penting bagi memastikan rakyat, khususnya generasi muda memahami sejarah negara berdasarkan sumber berautoriti, bukannya tafsiran tersebar di media sosial semata-mata.

Selain rekod rasmi kerajaan, beliau berkata, Arkib Negara turut mengumpul bahan daripada individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta bagi mendapatkan rekod daripada perspektif masyarakat yang melalui sesuatu peristiwa.

Menerusi usaha mengumpul ‘koleksi rakyat’, lebih 5,000 bahan diperoleh, termasuk rekod yang merakam sambutan pembentukan Malaysia di peringkat daerah.

Jejak khazanah masyarakat

Usaha menjejaki khazanah dalam simpanan rakyat turut dilakukan Perpustakaan Negara (PNM) menerusi pengumpulan manuskrip Melayu yang mencatatkan pelbagai ilmu dan kehidupan masyarakat terdahulu.

Fatimah Abdul Hai.

Timbalan Pengarah Kanan Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu, Fatimah Abdul Hai, berkata lebih 5,000 manuskrip Melayu asal kini disimpan di pusat itu, dengan sebahagian besar dibeli daripada pemilik dan pengumpul individu, selain sumbangan.

“Walaupun kira-kira 70% koleksi berkaitan agama, selebihnya merangkumi sejarah, bahasa dan kesusasteraan, ketatanegaraan, perundangan, perubatan tradisional, pelayaran serta ilmu bintang.

“Ada juga catatan mengenai perkara jarang diketahui hari ini, termasuk petua menjinakkan gajah dan ilmu gastronomi berkaitan pemilihan ramuan, penyediaan makanan serta etika tukang masak,” katanya sambil menambah sebahagian daripada pelbagai ilmu itu masih relevan untuk dikaji hari ini.

Setakat ini, kira-kira 2,000 judul manuskrip Melayu telah didigitalkan menerusi MyRepository, dengan akses penuh disediakan kepada pengguna di premis PNM.

Arkib Negara turut mendigitalkan koleksinya, dengan lebih 11 juta bahan melalui proses itu bagi memudahkan rujukan serta mengurangkan pengendalian rekod asal.

Bagi Zaidin, usaha memelihara rekod hari ini bukan sahaja penting untuk memahami perjalanan membawa kepada pembentukan Malaysia, tetapi juga menentukan apa yang dapat diketahui generasi akan datang mengenai sejarah negara. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.