`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


16 SEPTEMBER 2026

Monday, October 19, 2026

Ahli Parlimen saran mansuh COSS berperingkat, salur dana kepada SARA

 Tan Kar Hing (PH-Gopeng) mahu wang rakyat digunakan secara lebih berkesan, terutama ketika kerajaan berdepan kekangan fiskal.

minyak masak peket
Laporan PAC yang dibentangkan pada Julai lalu dedah beberapa kelemahan dalam pelaksanaan Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS), termasuk lambakan kuota dan pengurusan subsidi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan disaran memansuhkan Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) secara berperingkat dan menyalurkan peruntukannya kepada bantuan lebih bersasar seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA), susulan dakwaan ketirisan dan kelemahan pengurusan skim itu.

Tan Kar Hing (PH-Gopeng) berkata, langkah itu perlu bagi memastikan wang rakyat digunakan secara lebih berkesan, terutama ketika kerajaan berdepan kekangan fiskal dan peningkatan kos membiayai hutang negara.

Jelasnya, laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang dibentangkan pada Julai lalu mendedahkan beberapa kelemahan dalam pelaksanaan COSS, termasuk lambakan kuota, pengurusan subsidi dan ketelusan pembayaran kepada kilang penapis serta syarikat pembungkus minyak masak.

“Saya ingin mengesyorkan mansuhkan program ini secara berperingkat supaya kita boleh fokuskan kepada pendekatan yang lebih bersasar seperti SARA yang mana saya rasa langkah ini adalah penterjemahan sebenar kepada konsep perbelanjaan berhemah dan ketepatan sasaran subsidi,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, sebanyak RM10.879 bilion dibelanjakan untuk skim itu dari 2019 hingga 2025, bersamaan kira-kira RM1.55 bilion setahun.

Menurutnya, 67% kuota skim itu dikuasai syarikat pemodal asing, manakala hanya sebahagian kecil diuruskan syarikat tempatan.

“Kita lihat kalau ketirisan ini berlaku, diuruskan dengan tidak baik, di pasaran pun kadang-kadang tak dapat. Ada masalah penguatkuasaan dan sebagainya.

“Lebih baik kita beralih kepada dasar-dasar seperti MediAsas yang menyediakan perlindungan kesihatan kepada golongan sasaran,” katanya.

Berhubung kebimbangan pemansuhan subsidi minyak masak boleh meningkatkan kos operasi perniagaan makanan dan minuman, dan seterusnya membebankan pengguna, Tan berkata, skim tersebut pada asalnya bukan bertujuan untuk kegunaan perniagaan, walaupun sebahagian pengusaha mikro dipercayai turut menggunakannya.

Sementara itu, menyentuh kedudukan fiskal negara, beliau berkata, kerajaan perlu berhati-hati dengan unjuran hasil Belanjawan 2027 sebanyak RM380 bilion kerana angka itu belum mengambil kira kesan langkah fiskal baharu, termasuk pengurangan cukai individu dan korporat.

Katanya, kerajaan turut mengarahkan pemotongan perbelanjaan operasi sebanyak RM10 bilion di semua kementerian tahun ini, manakala kos khidmat hutang negara dijangka mencecah RM61 bilion tahun depan.

Beliau mempersoalkan sama ada kerajaan dapat memastikan baki operasi kekal mencatat lebihan pada tahun ini dan tahun depan, selain meminta penjelasan mengenai langkah mengelakkan pemotongan perbelanjaan berulang. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.