`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 


 




Tuesday, November 24, 2026

Kerajaan teliti pindaan undang-undang pendigitalan kad pengenalan

 Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata, pindaan bagi membolehkan kad pengenalan dipaparkan menerusi aplikasi MyGOV.

GOBIND SINGH DEO
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata, undang-undang sedia ada tidak benar paparan kad pengenalan secara digital, berbeza dengan lesen memandu keluaran JPJ yang boleh diakses menerusi telefon pintar. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan sedang meneliti pindaan undang-undang bagi membolehkan kad pengenalan dipaparkan secara digital menerusi aplikasi MyGOV, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, undang-undang sedia ada tidak membenarkan paparan kad pengenalan secara digital, berbeza dengan lesen memandu keluaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang boleh diakses menerusi telefon pintar.

“Tetapi bergerak ke depan, saya memberikan cadangan bagaimana kita melihat kepada IC (kad pengenalan), pasport, sijil lahir dan surat nikah (perkahwinan) dalam satu aplikasi,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Digital di Dewan Rakyat.

Gobind berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat bersama GovTech, MyGOV dan MyDigital ID semalam, susulan arahan Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya pendigitalan perkhidmatan kerajaan diperluas.

Katanya, MyDigital ID akan berfungsi sebagai platform pengesahan identiti, manakala MyGOV menjadi gerbang akses tunggal kepada pelbagai aplikasi dan perkhidmatan kerajaan.

“Fasa pertama adalah mengumpulkan aplikasi sedia ada ke dalam MyGOV, sebelum kita bergerak ke fasa kedua termasuk integrasi sistem pembayaran bagi membolehkan urusan seperti pembaharuan pasport dilakukan secara dalam talian,” katanya.

Mengenai pembangunan pusat data, Gobind berkata, kemudahan itu berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem ekonomi berasaskan kecerdasan buatan (AI) negara menerusi penyediaan kapasiti pengkomputeran yang mencukupi untuk dimanfaatkan oleh syarikat pemula niaga dan industri baharu.

Sehubungan dengan itu, kerajaan sedang membangunkan National AI Compute Exchange (NACX) bagi menghimpunkan maklumat mengenai kapasiti pengkomputeran yang tersedia di semua pusat data, selain menyelaraskan permintaan daripada pasaran domestik dan antarabangsa.

“Apabila kita ada pusat data, kita akan mempunyai satu ekosistem ataupun hab di mana kita ada kapasiti pengkomputeran yang mencukupi, yang dapat digunakan untuk syarikat pemula dan industri baru, di mana mereka sekarang boleh menggunakan perkhidmatan AI untuk memperkukuhkan lagi perniagaan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Gobind berkata, kerajaan akan memastikan pembangunan pusat data tidak menjejaskan bekalan elektrik dan air bagi kegunaan domestik dengan menggalakkan pelabur menyediakan bekalan tenaga dan air sendiri.

Beliau memberikan contoh pelaburan Google bernilai USD15 bilion (RM63 bilion) yang merangkumi penyediaan bekalan tenaga dan air.

“Untuk pembekalan tenaga elektrik, kita perlu membuat pelaburan bagi meningkatkan infrastruktur kita supaya boleh membekalkan tenaga yang diperlukan.

“Kita telah pun menetapkan tarif 85% ke atas pusat data di mana kita menyatakan bahawa walaupun mereka menggunakan atau tidak menggunakan bekalan tenaga seperti yang dipohon, namun mereka perlu membayar,” katanya.

Sementara itu, Gobind berkata, RUU Tadbir Urus AI dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada suku pertama tahun depan.

Draf RUU itu, katanya, telah siap dan diserahkan semula kepada kementerian untuk mendapatkan maklum balas sebelum dibawa ke Jemaah Menteri bagi mendapatkan persetujuan dan memuktamadkan penyediaannya.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan Anggaran Perbelanjaan Mengurus dan Pembangunan 2027 berjumlah RM1.362 bilion bagi Kementerian Digital menerusi undian suara selepas dibahaskan oleh 12 Ahli Parlimen.

Sidang bersambung esok. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.