Krisis perlembagaan negeri itu satu kemelut yang rumit, namun satu perkara amat jelas yang menimbulkan persoalan: bolehkah percaya pada Umno?

Sabtu lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim, mengesahkan beliau telah menarik balik surat yang dihantar kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berhubung ‘penyingkiran’ Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Surat itu juga difahamkan mengesahkan sokongan sebulat suara bekas 10 anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri terhadap Tuanku Muhriz.
Ini membawa kita kepada soalan satu juta ringgit: Bolehkah kita meletakkan kepercayaan kepada Umno Negeri Sembilan? Adakah kata-kata mereka benar-benar ikhlas? Atau adakah ini satu lagi helah untuk cuba menjatuhkan pemerintah negeri?
Teguran terbuka Tuanku Muhriz terhadap Ismail baru-baru ini secara tidak langsung menggambarkan Ismail sebagai seorang yang tidak boleh dipercayai.
Terdapat empat sebab mengapa saya masih sangsi terhadap tindakan Ismail.
1. Kenapa baharu sekarang Ismail menarik balik surat itu? Teori saya ialah beliau memerlukan perkenan untuk mengadakan sidang DUN. Walaupun dari segi teori menteri besar boleh mentadbir sesebuah negeri tanpa anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, sidang DUN diperlukan untuk meluluskan belanjawan dan rang undang-undang.
Perkara ini menimbulkan persoalan: adakah Ismail benar-benar insaf atas tindakannya? Atau beliau hanya terdesak?
2. Tindakan Ismail ketika kontroversi itu
Tindakan Ismail menggambarkan dengan jelas mengenai beliau. Sebelum ini, Ismail berkata beliau dipaksa menandatangani dokumen untuk menurunkan Tuanku Muhriz, namun kemudian menyokong kenyataan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang mengumumkan pemerintah negeri itu telah diturunkan.
Pada 2 Ogos, Ismail mengangkat sumpah sebagai menteri besar di hadapan Tuanku Muhriz dan melafazkan ikrar taat setia kepada baginda. Sehari selepas itu, Ismail menandatangani pengisytiharan untuk menurunkan pemerintah negeri itu.
Ada pepatah yang berbunyi, ‘sekali terkena, dua kali beringat’. Namun, dalam keadaan ini, kita sepatutnya empat kali beringat.
3. Isu Undang Luak yang masih belum selesai
Masih terdapat isu membabitkan Undang Luak, termasuk beberapa orang yang telah diturunkan, serta individu yang dilantik oleh mereka sebagai Yang Dipertuan Besar yang baharu.
Kumpulan ini masih rancak dengan aktiviti mereka, dilihat tidak menunjukkan sebarang kekesalan atas tindakan mereka apabila secara terbuka mencabar notis warta Dewan Keadilan dan Undang (DKU) yang mengesahkan penyingkiran dua Undang dan seorang pemimpin adat.
Dikatakan kumpulan ini mempunyai hubungan rapat dengan Adun Umno Negeri Sembilan. Perlu diingat, tiada seorang pun Adun Umno tampil secara terbuka menolak kumpulan tersebut.
Jadi, bagaimana kita sebagai rakyat boleh menaruh kepercayaan terhadap tindakan Ismail menarik balik surat itu sedangkan Umno dipercayai masih mempunyai kaitan dengan kumpulan berkenaan?
4. Adakah Ismail memberikan jaminan melalui perisytiharan bertulis yang ditandatangani bahawa beliau dan kumpulan anggota Umnonya tidak akan sekali-kali lagi berpakat dengan pihak lain untuk menjatuhkan Tuanku Muhriz? Jika Ismail benar-benar insaf, beliau sepatutnya menunjukkan lebih untuk membuktikannya.
Kini, kemenangan besar Umno dalam PRN Melaka akan memberikan parti itu sedikit kelebihan untuk berbangga susulan kontroversi isu tahanan rumah bekas perdana menteri Najib Razak serta kewangan Felda dan Tabung Haji, yang tidak menjejaskan sokongan terhadap parti itu.
Umno yang kembali bangkit berkemungkinan akan lebih berani untuk melakukan satu lagi tindakan serupa di Negeri Sembilan, memandangkan percubaan pertama mereka tidak berjalan seperti yang dirancang.
Tak banyak sebab untuk saya mempercayai Ismail dan Umno Negeri Sembilan ini benar-benar insaf dengan kesalahan mereka. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.



No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.