Jentera PH dijangka meningkatkan usaha mendekati pengundi dalam minggu kedua kempen, kata ketua pemuda PKR.

Ketua Pemuda PKR Kamil Munim berkata pendekatan kempen perlu disesuaikan dengan perubahan kaedah komunikasi masa kini, terutama dalam mendekati golongan muda yang lebih terdedah kepada penggunaan media sosial.
“Walaupun media sosial penting sebagai medium kempen, pendekatan tradisional menerusi pertemuan secara langsung dengan pengundi tidak boleh diketepikan.
“Setiap calon yang bertanding kena sedaya upaya berjumpa dengan semua pengundi di kawasan masing-masing,” katanya kepada pemberita di Bilik Gerakan PH DUN Machap Jaya di Batu Lesung.
Kamil berkata beliau telah menjelajah hampir semua kawasan yang ditandingi PH, dengan beberapa kawasan lagi akan dikunjungi dalam baki lima hari kempen sebagai sebahagian usaha meraih sokongan pengundi.
Jentera parti juga dijangka meningkatkan usaha mendekati pengundi dalam minggu kedua kempen bagi meyakinkan mereka tentang tawaran PH, di samping meningkatkan peratusan keluar mengundi.
“Kita berharap momentum kempen yang baik ini dapat diteruskan sehingga hari mengundi, dan sudah tentu lebih agresif pada baki hari berkempen untuk pastikan kita dapat meyakinkan lebih ramai pengundi,” katanya.
Mengenai kawasan tumpuan, beliau berkata PH ketika ini memberikan perhatian terhadap 15 kerusi DUN dalam usaha memperoleh jumlah kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri.
“Jentera kita di setiap 15 kawasan tumpuan ini akan bekerja keras untuk pastikan ada perubahan yang berlaku di Melaka,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian awal pada 10 Nov manakala hari pengundian pada 14 Nov. -FMT



No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.