Pemimpin MCA, DAP Melaka saling berbalas kecaman selepas terpaksa korban kerusi kepada rakan pakatan pada PRN.

Khoo mendakwa, maruah MCA tercalar apabila tunduk kepada Umno dan PAS dalam rundingan kerusi, manakala Wee pula berkata, DAP wajar bermuhasabah susulan kehilangan kerusi Bemban kepada Bersatu.
Wee berkata, MCA sudah pun menjangkakan pengurangan agihan kerusi bagi pilihan raya 14 Nov itu, memandangkan kompromi tidak dapat dielakkan apabila parti politik bekerjasama.
Tambahnya, MCA sejak awal lagi telah menegaskan kesediaan melepaskan beberapa kerusi demi memberi ruang kepada rakan sekutu bagi PRN tersebut.
Beliau berkata, MCA juga terpaksa melepaskan beberapa kerusi pada PRN Negeri Sembilan 1 Ogos lepas, ketika Barisan Nasional (BN) turut bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).
“Kerjasama politik menuntut persefahaman bersama dan kompromi, kerana tiada ruang untuk rakan sekutu jika setiap parti berkeras mahu tambah kerusi masing-masing,” katanya, lapor Sin Chew.
Membidas Khoo, Wee mempersoalkan mengapa DAP menyerahkan Bemban kepada Bersatu selepas pada awalnya menyatakan hasrat untuk terus bertanding di kerusi campuran itu.
“Khoo sebelum ini isytihar DAP pasti tandingi kerusi Bemban, tetapi kini tidak. Jika Bemban kerusi yang begitu bagus, mengapa Pakatan Harapan (PH) tidak letak calon di sana?
“Kenapa PH tidak bertanding di kesemua 28 kerusi? Kena ada pertimbangan sendiri dan perlu kerjasama dengan pihak lain. Kami secara kasarnya faham kenapa,” katanya.
DAP bertanding di lapan kerusi pada PRN Melaka 2021 manakala MCA merebut tujuh kerusi. Pada PRN kali ini, DAP bertanding di tujuh kerusi dan MCA empat kerusi.
Membalas kenyataan Wee, Khoo berkata, DAP sejak awal telah menjelaskan bahawa ia hanya akan bertanding di tujuh kerusi, tidak termasuk Bemban, sebagai sebahagian strategi pilihan rayanya.
Ahli Parlimen Kota Melaka itu menambah, situasi DAP tidak sama seperti MCA kerana komponen PH itu hanya melepaskan satu kerusi, manakala MCA hilang tiga kerusi.
“Mengenai kenyataan Wee berhubung ‘perjanjian dengan Bersatu’, hakikatnya hampir separuh daripada tujuh kerusi yang ditandingi Bersatu bertembung dengan PH,” kata Khoo, lapor Nanyang Siang Pau.
Setiausaha organisasi DAP itu bagaimanapun mengakui segelintir akar umbi parti tidak berpuas hati Bemban diserahkan kepada Bersatu, namun merayu agar mereka memahami keperluan di sebalik keputusan ‘pedih’ itu.
Khoo berkata, DAP perlu mengambil kira rundingan menyeluruh PH serta strategi pilihan raya yang lebih luas. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.