Oleh : CLARA CHOOI
KUALA LUMPUR : Surat dari Pejabat Ketua Menteri Sabah kepada Jabatan Imigresen mengesahkan selain daripada Nurul Izzah Anwar, ayahnya Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Datuk Ambiga Sreenavasan dan Rafizi Ramli turut disenarai hitam dari masuk ke negeri Malaysia timur itu.
Surat bertarikh 21 Mei itu yang menggunakan kepala surat dari pejabat Datuk Musa Aman juga mengatakan senarai itu diluluskan oleh Kabinet Sabah selepas mesyuarat pertama mereka bulan lalu pada 15 Mei, 10 hari selepas pilihan raya umum ke 13.
“Kabinet bersetuju Ketua Menteri menggunakan kuasa penuhnya di bawah Akta Imigresen, dan selaras dengan pengesahan daripada Ketua Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia Sabah, agar tidak membenarkan individu-individu ini mendarat di Sabah,” kata surat itu, sebelum menyenaraikan nama-nama lima daripada ahli politik dan pengerusi bersama Bersih 2.0.
Menurut Pengerusi DAP Sabah Jimmy Wong, sumber boleh dipercayai dari Jabatan Imigresen telah membocorkan muka surat pertama dokumen tersebut kepadanya.
Dokumen itu telah dilihat oleh The Malaysian Insider. Dari halaman tunggal, tempoh senarai hitam atau sebab mengapa disenarai hitam tidak dinyatakan.
Apabila dihubungi, Lim menyifatkan larangan itu sebagai “tidak masuk akal”, menunjukkan kerajaan telah membuat satu penghinaan terhadap demokrasi disebabkan bukan sahaja mengharamkan rakyat sendiri daripada memasuki sebuah negeri di negara ini, tetapi wakil rakyat yang dipilih secara sah.
“Sudah tentu ini bukan pertama kali… Saya mungkin pemimpin paling kerap disenarai hitam… Saya pernah disekat ke Sabah, ke Sarawak…. tetapi saya ingatkan kita sudah lepas zaman itu.
“Kelihatan kita masih tersekat di situ,” katanya.
Khamis lalu, Nurul Izzah telah disekat untuk masuk ke Sabah sebaik sahaja mendarat di Kota Kinabalu untuk menyambut Pesta Kaamatan atau Pesta Menuai menggunakan kapasiti peribadinya.
Menjelaskan pada Sabtu, Musa dilaporkan berkata mereka yang memberikan ancaman dan merosakkan keharmonian Sabah tidak dialu-alukan untuk ke negeri itu.
Beliau menambah, negeri itu tidak pernah menghalang pemimpin pembangkang sebelum pilihan raya tetapi percaya Nurul Izzah mempunyai niat lain kali ini.
“Sekarang pilihan raya sudah berakhir, pemimpin mereka enggan menerima keputusan. Ini kes orang kempunan. Beliau mahu menimbulkan rasa bengang rakyat agar berarak di seluruh negara bagi menunjukkan rasa tidak puas hatinya,” katanya.
“Kami ada sebab untuk percaya niat Nurul Izzah ke Sabah kali ini mungkin tidak sebaik seperti yang beliau dan rakannya dalam pakatan pembangkang nyatakan,” tambah beliau lagi.
Mengulas terhadap penghantaran pulang Nurul Izzah, Wong mengatakan dalam satu kenyataan di sini langkah tersebut hanya menjadikan anak kepada pemimpin de facto Pakatan Rakyat (PR) Anwar sebagai wira politik lebih besar.
“Tidak kira berapa banyak Ketua Menteri Datuk Musa Aman cuba untuk menjelaskan ia tidak bermotifkan politik, bahasa tubuh tindakan penghantaran pulang seorang pemimpin pembangkang secara tiba-tiba ketika dia baru tiba memberikan mesej segera semuanya adalah tentang politik.
“Rakyat tidak perlu menunggu tiga hari untuk Ketua Menteri menjelaskan tentang perkara ini,” kata Wong.
Semalam, Nurul Izzah menuduh dakwaan Musa terhadapnya adalah “satu penipuan” apabila mendakwa beliau cuba membangkitkan rasa tidak percaya dikalangan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Jelas dakwaan itu adalah satu penipuan, apa sahaja beliau cuba paparkan terhadap saya,” kata Nurul Izzah kepada pemberita ketika majlis minum petang di Lucky Garden, Bangsar, di sini.
Pemimpin PKR telah membantah keputusan pilihan raya umum 5 Mei, mendakwa BN menang kerana penipuan undi besar-besaran dan lain-lain bentuk penipuan pilihan raya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.