`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, August 11, 2023

Hulu Kemensah kampung Orang Asli pertama dipasang peranti Starlink

 

Kualiti internet sedia ada di Kampung Orang Asli Hulu Kemensah sangat teruk, malah hampir tiada walaupun terdapat 135 penduduk. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Unit peranti satelit Starlink kedua dipasang di Kampung Orang Asli Hulu Kemensah pagi ini, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Fahmi menerusi hantaran di Facebook berkata kawasan berkenaan merupakan kampung Orang Asli pertama dipilih untuk pemasangan Starlink sekali gus menjadikannya lokasi kedua selepas Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kuala Pilah, Negeri Sembilan, bulan lalu.

Dalam hantaran itu, beliau berkata kualiti internet sedia ada di kampung Orang Asli berkenaan sangat teruk, malah hampir tiada walaupun terdapat 135 penduduk tinggal di kawasan tersebut.

“Matlamat saya masih sama iaitu memastikan baki 3% kawasan berpenduduk yang masih tiada internet diberi keutamaan,” katanya.

Pada masa ini kira-kira 97% kawasan berpenduduk telah mempunyai akses internet.

Dalam hantaran itu, Fahmi berkata beliau meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia membuat kajian tambahan bagi penyelesaian jangka panjang termasuk pembinaan menara dan pemasangan gentian optik.

“Semoga perkhidmatan internet ini memberi sinar baharu kepada penduduk setempat,” katanya.

Pada 15 Julai lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bercadang menggunakan 40 peranti satelit Starlink di institusi pengajian tinggi untuk menaik taraf kemudahan capaian internet supaya lebih meluas dan pantas di kampus bagi memudahkan proses pembelajaran.

Anwar berkata perkara itu tercetus hasil persidangan video secara maya dengan Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX Elon Musk. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.