KAJANG: Kempen Parti Sosialis Malaysia tidak semewah parti-parti lain, namun calonnya di DUN Kajang, S Arutchelvan berbangga dengan para penyokong yang ikhlas membantu tanpa mengharapkan balasan.
Arutchelvan yang lebih mesra dipanggil Arul mungkin tidak menonjol berbanding ahli-ahli politik lain, namun namanya dikenali dalam kalangan aktivis masyarakat dan hak asasi manusia.
Sepanjang bergiat dalam dunia aktivisme, beliau meraih kawan-kawan baharu dan mereka ini lah yang sanggup menggunakan wang sendiri untuk membantu kempennya menuju PRN 12 Ogos. Persiapan seperti memasang poster dan sepanduk atau menjahit bendera diusahakan oleh sukarelawan yang dibantunya sebelum ini.
“Rakyat marhaen yang kita bantu, dia bantu kita. Macam awak tengok bendera di sini semuanya dijahit oleh orang biasa yang tidak minta apa-apa bayaran,” katanya ketika ditemui FMT di bilik gerakan PSM.
Arul yang juga timbalan pengerusi PSM akan bertembung dengan calon daripada Pakatan Harapan-Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.
Pada PRU14, PH mempertahankan Kajang dengan majoriti 30,755 undi untuk menewaskan calon PAS, BN, dan Parti Rakyat Malaysia. Pertandingan kali ini merupakan cubaan ketiga Arul untuk menjadi wakil rakyat.
“Kita ada ‘track record’,” kata Arul mewajarkan kenapa pengundi harus perhatikan partinya.
“Kita selalu cakap PSM menang banyak perkara bukan pilihan raya: kita menang gaji minimum… skim insuran pekerja… itu kempen PSM tiga tahun berturut-turut.”
PSM pernah memenangi Parlimen Sungai Siput dan DUN Kota Damansara ketika ia bekerjasama dengan PKR, pada PRU 2008. Ia kini bekerjasama dengan parti baharu, Muda pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Arul berharap kerjasama ini akan menjadi alternatif bagi pengundi yang letih dengan politik parti-parti besar.
“Ada laporan cakap dekat 30% rakyat mungkin cakap malas mengundi, kita minta yang malas mengundi itu undilah PSM kerana kalau anda jemu dengan parti besar yang anda rasa tiada prinsip, jadi undilah PSM,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.