`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, August 4, 2023

PRN, status quo atau kejutan?

 

Keputusan PRN di enam negeri Semenanjung pada 12 Ogos ini bergantung kepada sama ada sikap pemilih telah berubah atau tidak sejak PRU November lalu.

Kalau sikap pemilih kekal, maka status quo pun kekal juga, iaitu Perikatan Nasional (PN) mengekalkan Kedah, Kelantan dan Terengganu manakala Gabungan Perpaduan (GP) terus memerintah Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

PN bertanding dalam bentuk yang sama seperti ketika PRU 2022, iaitu gabungan PAS, Bersatu dan Gerakan. Dengan itu mudahlah pemilih memahaminya.

Tetapi PH telah melalui metamorfosis luar biasa sejak PRU dan menawarkan pakej baru yang merangkumi Barisan Nasional (BN) dengan jenama Gabungan Perpaduan (GP). Dalam gabungan itu, Umno diharapkan menjadi besi berani bagi menarik undi Melayu.

Persoalannya, kalau Umno sendiri gagal memperoleh sokongan orang Melayu dalam PRU 2022, bagaimanakah ia diharapkan menyumbang kepada GP melalui pakatan dengan PH yang ada DAP di dalamnya? Dalam itu pula, BN cacat dan terencat akibat pemulauan oleh MIC dan MCA.

Gambaran yang terbit daripada keputusan PRU lalu adalah sangat mencabar bagi GP walaupun pemimpin dan penyokongnya mempamerkan semangat dan keyakinan yang tinggi.

Pertimbangkan perangkaan dan analisis berikut:

i. Di Kedah, daripada 15 kerusi Parlimen, PN menang 14, PH satu (daripada 15 yang ditandingi) manakala Umno-BN kosong. Banyak nama besar negeri itu hanyut.

Ads by Kiosked

ii. Di Terengganu, PN sapu bersih semua lapan kerusi. PH bertanding di semua lapan kerusi dan hilang duit pertaruhan di semuanya. BN pun tidak menang sebarang kerusi;

iii. Di Kelantan pun sama. PN menang semua 14 kerusi. PH lawan di semua 14 kerusi dan hilang pertaruhan di 12. BN pun kosong juga;

iv. Di Selangor dan Pulau Pinang pun, di mana PH menguasai DUN sejak PRU 2008, kekuatannya tercabar apabila PN berjaya bertapak mulai PRU November lalu;

v. Di Selangor, dalam PRU 2018, Umno menang dua daripada 22 kerusi Parlimen tapi dalam PRU tahun lalu kalah semua manakala PN dapat enam kerusi. Ini memberikan kelebihan kepada PN dalam PRN ini;

vi. Negeri yang masih cukup selamat bagi GP adalah Negeri Sembilan di mana ia memonopoli keseluruhan 36 kerusi sebelum DUN dibubarkan. Dalam PRU November, BN menang lima daripada lapan kerusi dan PH tiga; dan

vii. Dalam PRU lalu, 46 orang calon PH hilang deposit, iaitu seorang dalam lima, dan BN 26 orang.

Ads by Kiosked

Itulah secara ringkas kedudukan GP dan PN menjelang hari mengundi 12 Ogos ini. Ada kemungkinan status quo kekal atau berlaku kejutan.

Bagi pengundi, pilihan parti adalah mudah dan jelas oleh sebab ada dua kumpulan sahaja, iaitu GP dan PN. Yang menjadi masalah adalah perwatakan dan kewibawaan pemimpin mereka, khususnya yang menjadi calon.

Kita seolah-olah ketandusan pemimpin atau enggan membuat perubahan seperti yang dimanifestasikan oleh ramainya calon kitar semula dalam PRN kali ini. - FMT

A Kadir Jasin adalah seorang wartawan veteran.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.