`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, November 1, 2023

2 kanak-kanak lemas dalam kolam udang

 

Dua mangsa berkenaan dikatakan bermain di bawah bangsa berhampiran kolam udang sebelum tidak kelihatan. (Gambar Pexels)

SUNGAI PETANI: Dua kanak-kanak lelaki ditemukan lemas di dalam sebuah kolam ternakan udang berdekatan rumah mereka di Kampung Sungai Emas Hujung, Kota Kuala Muda dekat sini, petang tadi.

Mangsa dikenal pasti sebagai Muhammad Aidil Adha Mohd Ali, 5, serta sepupunya, Muhammad Syafiq Amsyar Abdul Syahid, 3.

Bapa Muhammad Aidil, Mohd Ali Abdul Rahman, 48, berkata ketika kejadian dia sedang bekerja di kolam udang tersebut sebelum isterinya memaklumkan mengenai kehilangan anaknya serta anak saudara mereka.

“Muhammad Aidil merupakan anak keenam daripada tujuh beradik dan selalu ikut saya ketika saya bekerja di kolam udang.

“Sebelum kejadian saya lihat dia dan sepupunya bermain dengan arnab peliharaannya di bawah bangsal, berhampiran kolam udang itu. Selang beberapa minit, mereka berdua tidak kelihatan, hanya tinggal arnab di situ,” katanya ketika ditemui pemberita di Klinik Kesihatan Kota Kuala Muda dekat sini, hari ini.

Mohd Ali berkata usaha mencari kanak-kanak itu akhirnya membawa kepada penemuan jasad mereka di dalam kolam udang, selepas pukat di dalam kolam ditarik ke atas.

“Saya kata ya Allah! sahih anak aku dok dalam kolam ni dah, tawakal…saya cuba tarik pukat dan terasa berat lantas meminta bantuan jiran untuk menarik pukat tersebut.

“Bila tarik pukat kali pertama, terus dapat sepupunya, tarik kali kedua tak dapat, tarik ketiga baru dapat anak saya,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua mangsa telah dibawa ke Klinik Kesihatan Kota Kuala Muda dan mereka disahkan telah meninggal dunia.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Muda Zaidy Che Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian terbabit.

Beliau berkata mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.