`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, November 30, 2023

Durian untuk Palestin atau guna Palestin beli durian

 

Seperti biasa di musim durian meluruh, petang-petang yang terik panas; saya akan melepak di sebuah kafe yang menjual buah durian semata. Hidangan lainnya selain durian mentah adalah pengat durian, crepe durian, kek durian dan apa sahaja yang durian-durian. Ia memang syurga untuk pendamba durian.

Dalam mendurian itu saya akan sempat membaca atau menulis. Biasanya kafe itu agak hingar juga, kerana akan ada arus orang memilih dan membeli Musang King, Udang Merah, Duri Hitam, dan D24.

Oleh sebab anggota keluarga saya tidak sampai menggilai durian, maka selalunya saya akan berseorangan di sini selepas waktu bekerja. Ada sekali meja biasa saya untuk makan durian seraya membaca dan menulis itu diambil orang. Memang saya sedikit kecewa.

Kata pekedai, semua ruang di atas ditutup. Saya melihat satu tanda larangan masuk serta penyataan: Ditutup Untuk *NGO* Palestin. Saya pun mengusik, “…ewah ewah sampai sebahagian besar kafe ditutup untuk beri laluan mereka makan durian. Ini duit patutnya ke Palestin kan? Kenapa mendurian?”

Pekedai itu separuh sengih. Mungkin juga ada rasa bersalah, dia pun menjawab; “…itulah kan bang, taruh 30 persen dari derma kita. Mungkin juga jamuan durian untuk penderma berpotensi,” ujarnya.

30 persen ke macam-macam, termasuk durian? Saya pun duduk di tempat yang tidak terbiasa tetapi kebetulan amat hampir dengan tangga di mana siapa yang turun naik untuk mendurian di tingkat atas pasti bertentang mata. Kenallah saya muka-muka mendurian ini.

Sebenarnya kita rakyat Malaysia amat pemurah dan penyayat hati. Tatkala ada musibah menimpa di luar negara (kecuali jika mereka ‘gelap’ macam Rohingya, atau ‘melarat dan sesat‘ seperti Hazara) kita akan selalu memberi dan kita memberi dengan banyak. Kadang demi memberi itu ada dalam kalangan kita menanggalkan barang kemas atau memberikan jongkong emas selain memberi wang simpanan.

Akan tetapi tuan-tuan pembaca, sudah tiba masanya untuk kita menyemak balik pertubuhan bukan kerajaan yang mengutip dana daripada orang awam ini, dan menjelaskan semula kepada kita yang memberi ini bagaimana dan sejauh mana dana itu akhirnya berhasil digunakan bagi tujuan sebenar.

Untuk itu Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis harus dibenarkan menerusi akta dan laluan undang-undang tertentu untuk melihat dan menekuni bukan sahaja NGO, tetapi juga rumah-rumah anak yatim, rumah-rumah orang tua, maahad tahfiz dan apa sahaja yang ditubuhkan atas nama musibah orang, supaya dapat dipantau.

Ada macam-macam pihak yang menggunakan nestapa orang untuk diraikan. Memang menjijikkan bila derita mereka ini digunakan sebagai sumber pendapatan dan pencarian sendiri. Kesengsaraan pelarian Rohingya dan Syria misalnya selalu menjadi tunggangan. Jika benar derma kita tiba kepada mereka, ia haruslah dibuktikan. Harus ada kemaskini dan pemberitahuan semasa.

Sebabnya jika NGO untuk kesejahteraan tenuk dan kura-kura boleh memberikan notifikasi emel dan mesej SMS menjelaskan bagaimana wang kita dibelanjakan untuk makanan dan rawatan binatang ini, maka apa susahnya kita juga dikhabarkan bagaimana wang derma atau dana Palestin atau Syria diagih.

Kita tentu memahami akan ada persen tertentu untuk kerja pentadbiran dan kegunaan khidmat servis mereka ini. Namun demikian, demi mendurian?

Jika pun aktiviti menjamu durian itu bukan menggunakan wang awam, ia tidak seharusnya diketengahkan sebegini. Juga jika dana awam dikutip dengan cara pendurianan ini, maka harus difahamkan kepada kita bagaimana derma kita membeli sepangsa durian yang sepatutnya berharga RM50 boleh menjadi RM300, iaitu ke manakah salurannya.

Dalam dunia sarat scammer hari ini yang menelefon kita pagi dan petang umpama dajal, aktiviti ‘mendurian’ wang mangsa begini memang pernah terjadi. Seketika dahulu ada seorang lelaki mengaku warga Palestin mengutip duit daripada orang ramai tetapi sebetulnya penipu. Beliau menggunakan foto pohon dan kebun durian untuk menggoda masyarakat. Berita mengenai lelaki ini pernah heboh satu waktu dahulu. Ramai pula terpedaya.

Posisi NGO adalah sebagai sektor ketiga iaitu dilihat sebagai sektor kebajikan selepas sektor awam dan swasta. Terdapat 13 kategori NGO yang bekerja dalam bidang kebudayaan dan rekreasi; pendidikan dan penyelidikan; kesihatan; servis sosial; persekitaran; pembangunan dan perumahan; advokasi undang-undang dan politik; ejen filantropi sepertinya NGO Palestin dan sebagainya; aktiviti internasional; keagamaan; kejiranan; perniagaan; kesatuan sekerja atau profesional (terakhir juga kelompok lain yang tidak dikhususkan).

Sebetulnya isu melibatkan ketelusan dan akauntabiliti sering dipersoalkan dalam sektor ini, yang menuntut lebih banyak tatakelola munasabah khusus dalam memberikan maklumat kepada pihak berkenaan dan berkepentingan.

NGO di negara kita semacam tidak perlu memberikan pendedahan atau laporan awam. Makanya ada banyak NGO yang longgar tatakelola akan berdepan kecuaian dan kerugian (baca: penyelewengan). Berbanding di negara-negara yang menyokong Zionis misalnya United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, dan Kanada mempunyai garis panduan yang terperinci dalam merangka laporan bagi badan bukan kerajaan.

Di UK terdapat Charity Commission manakala di Ireland terdapat apa yang dinamai Statement of Recommended Practices untuk membantu NGO menyediakan laporan mengikut Financial Reporting Standard (FRS). Kanada pula secara berkala menerbitkan CICA Handbook and Financial Information Kit untuk melaporkan aktiviti badan kebajikan. Institute of Chartered Accountants in Australia pula menyediakan panduan untuk NGO menerbitkan laporan tahunan agar publik jelas dengan bagaimana dana mereka berakhir.

Kita boleh mengambil iktibar daripada negara liberal di atas.

Apabila ada laporan yang dipantau badan-badan seperti RoS, SSM, dan SPRM makanya bolehlah kita tahu apakah dana kita dilebur menjadi unit kondominium, motokar Alphard, atau rantai dan cincin berlian. Kita juga akan tahu banyak mana persen dana atau derma kita berakhir di meja durian raja musang, lantas dimakan, berakhir menjadi tahi kuning, dan dikincah akhirnya menjadi baja hitam.

Sesungguhnya durian dan mendurian sememangnya sedap bila tiba musimnya. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.