`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, November 29, 2023

Bersatu terus dibisukan

 

Kalau sebelumnya Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dianggap sebagai sekadar menduga-duga, kini tidak lagi. Dalam menyatakan sokongannya kepada Anwar Ibrahim dan kerajaan, Ahli Parlimen Bukit Gantang itu memilih berbuat demikian secara bersemuka dengan perdana menteri di Dewan Rakyat, bersaksikan rakan-rakan Ahli Parlimen Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) serta ketua whipnya Takiyuddin Hassan.

Sokongannya itu boleh saja dinyatakan semudah mengeluarkan satu kenyataan – seperti empat Ahli Parlimen Bersatu terdahulu daripadanya – tetapi Syed Abu Hussin memilih melakukannya secara terang-terangan. Tanpa berselindung, tanpa pertimbangan untuk menjaga hati rakan-rakan.

Ia seakan-akan menghantar isyarat jelas dan lantang betapa beliau kecewa dengan PN yang menaunginya kerana keengganan gabungan itu merundingkan peruntukan pembangunan kawasan dengan kerajaan yang terus menjadi ‘duri dalam daging’ buat blok pembangkang.

Syed Abu Hussin mungkin wakil rakyat pembangkang kelima mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan tapi berbanding empat Ahli Parlimen terdahulu daripadanya, beliau yang pertama melakukannya selepas mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu 9 Nov lalu yang menuntut ahli beristiqamah dan setia kepada parti serta semangat daripada Perhimpunan Agung Bersatu yang tamat Ahad lalu.

Bercakap mengenai kesesuaian masa melakukannya, ini harus paling tidak bertepatan, tambahan dalam keadaan Bersatu masih bercelaru. Dalam pada itu, tidak akan pernah ada masa yang sesuai untuk Bersatu dan PN dapat menerima ada Ahli Parlimennya beralih sokongan kerana bila-bila pun ia tetap sesuatu yang menyakitkan.

Hanya 9 Nov lalu Syed Abu Hussin menyuarakan sokongan bersyarat kepada kerajaan. Sokongan, katanya, hanya akan menjadi galang-ganti kepada peruntukan berjumlah RM30 juta dinyatakannya yang hendaklah diluluskan dahulu untuk tujuan membangunkan kawasannya.

Berlawanan dengan syarat perdana menteri bahawa sebarang permohonan peruntukan hendaklah dirundingkan dahulu dengan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, tidak hairanlah tuntutan Ahli Parlimen Bukit Gantang itu tidak pun bersahut. Mungkin juga cakap-cakapnya ketika itu dianggap tidak lebih sebagai cakap main-main. Gara-garanya pihak kerajaan tidak pun teruja di samping PN juga tidak melatah.

Kemudian Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim – wakil pembangkang ketiga menyokong Anwar pada 7 Nov – mengumumkan Ahad lalu bahawa peruntukan untuk kawasannya sudah diluluskan melalui Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan (PPNK). Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman juga sebelum itu umum sudah mendapat peruntukan serupa. Maknanya kerajaan tidak berolok-olok dalam meluluskan peruntukan jika memenuhi syarat.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu 9 Nov lalu berkata Azizi dan Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik pasti akan dihukum kerana perbuatan mereka menyokong Anwar bukan saja tidak bertanggungjawab, malah tindakan biadab yang bertentangan dengan perlembagaan parti.

Lembaga Disiplin Bersatu terdahulu menggantung keahlian Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Suhaili masing-masing selama empat dan enam tahun kerana menyuarakan sokongan terbuka kepada perdana menteri pada 12 dan 30 Okt lalu.

Mendakwa terdapat gerakan terancang daripada parti lawan untuk melemahkan Bersatu dan PN dengan menggunakan sogokan dan ugutan terhadap Ahli-ahli Parlimen, Muhyiddin menegaskan partinya tidak akan tunduk kepada pakatan jahat itu dan tindakan yang lebih keras akan diambil.

Namun, dalam pada Muhyiddin mahu semua ahli parti berbai’ah untuk teguh dan setia bersamanya, sekali gus memberi dukungan kepada parti untuk merampas kerajaan pada PRU16, perhimpunan agung parti itu hujung minggu lalu sebaliknya ‘dirampas’ oleh pengumumannya untuk tidak bertanding mempertahankan jawatan presiden yang kemudian ditariknya balik. Bersama teriakan mengiringi setiap pengumumannya itu, sebarang seruan untuk ahli merapatkan barisan turut tenggelam.

Terngiang-ngiang juga ucapan bersemangat Pengarah Pilihan Raya PAS Sanusi Md Nor sempena pelancaran jentera PN bagi PRK Kemaman di Padang Astaka Cukai 11 Nov lalu yang mencabar mana-mana wakil rakyat pembangkang yang berhasrat untuk melompat dan berada sebaris dengan kepimpinan blok kerajaan. Ingatannya ialah mereka yang berbuat demikian akan dibayangi rasa bersalah dan tidak akan aman kerana secara jelas melakukan pengkhianatan terhadap kepercayaan dan amanah yang diberikan oleh parti dan jentera pilihan raya yang memenangkan mereka sebagai Ahli Parlimen.

Kepada ingatan Muhyiddin dan Sanusi itu, Syed Abu Hussin memanfaatkan ruang pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pagi semalam untuk berhujah:

“Demi negara yang tercinta, saya meminta Tambun, Pagoh dan juga Bera buanglah yang keruh ambil yang jernih. Marilah bersama-sama membantu Tambun membina masyarakat madani. Kepada Ahli-ahli Parlimen pembangkang, marilah kita berunding sebaik-baiknya dengan pihak kerajaan sebagaimana persefahaman semasa YB Bera menjadi perdana menteri.

“Soalan saya adakah YAB PMX bersedia untuk menyambut kesediaan Ahli-ahli Parlimen yang mempunyai pengalaman, kepakaran, kebolehan, keupayaan untuk membantu membangun rakyat sekali gus membangun ekonomi negara? Saya sendiri bersedia untuk membantu kerajaan mewujudkan masyarakat madani menangani kenaikan harga barang dan kos sara hidup. Dengan ini Bukit Gantang mengisytiharkan menyokong YAB Tambun sebagai perdana menteri Malaysia ke-10 dan gagasan kerajaan Madani.”

Di tengah-tengah sorakan penyokong kerajaan di dalam Dewan, paling lantang ialah teriakan “5-1, 5-1” oleh Ahli Parlimen Hulu Langat Sany Hamzan, yang boleh difahami sebagai bertambahnya kepada lima sokongan Ahli Parlimen Bersatu kepada Anwar dan kerajaan perpaduan di samping Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selaku satu-satunya penyokong kerajaan yang menarik balik sokongannya 10 Sept lalu. Bersatu pula terus dibisukan dengan sokongan terbuka Syed Abu Hussin itu membuat mereka kelu dan terkedu.

Ada baiknya mereka menghadamkan hujah perdana menteri ketika menempelak Takiyuddin:”Masa mereka (pembangkang) perintah (jadi kerajaan) harta Melayu mereka sakau banyak… ini kenyataan. Tiga tahun kamu dalam kerajaan, (bekas) menteri-menteri ada di sana (blok pembangkang), apa peruntukan yang diberi kepada orang lain dan pembangkang ketika itu? Mengapa dulu tak beri?

“Ya betul (soal peruntukan adil kepada semua wakil rakyat) dalam dokumen Harapan, sebab itu saya patuh kepada keputusan (peruntukan adil). Setakat yang saya bincang dengan timbalan perdana menteri (Fadillah) tak pernah kata wajib sokong perdana menteri untuk dapat peruntukan.

“Ini bincang pun tidak tapi sombong bukan main. Saya (dulu) sebagai ketua pembangkang, bila dipanggil jumpa, saya hadir. Sikap (pembangkang) itu mesti reciprocal (timbal balik),” kata perdana menteri.

Sebagai menjawab soalan Sanusi dalam ceramahnya di Cukai itu “Siapa nak lompat, silakan… kut kut ada lagi la?”, rasanya Syed Abu Hussin bukan yang terakhir. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.