Seakan-akan ada satu aura yang dimiliki Siti Mastura Muhammad, Ahli Parlimen penggal pertama mewakili Kepala Batas yang akhir-akhir ini menempuh badai dan gelora politik yang bukan kepalang. Tidak mudah kepada yang ramai, namun ini harus satu proses inisiasi yang perlu dihadapinya sebagai seorang politikus muda yang baru hendak bertatih.
Meminjam ungkapan bahasa Inggeris “baptism of fire”, ia mengisahkan perihal seseorang yang belajar sesuatu yang baharu dengan cara sukar, mendepani pelbagai rintangan dan kesukaran. Jika dihuraikan, seseorang yang memulakan satu cabaran baharu hendaklah berupaya menangani satu atau lebih banyak kepayahan pada peringkat awalnya untuk mendewasakan diri dalam tugas.
Siti Mastura, 34, yang berkelulusan doktor falsafah (PhD) dari Universiti Sains Malaysia (USM) – di sebalik diperlekehkan ramai – menyerlahkan sejak awal lagi beliau tidak mudah dikeroyok oleh ahli yang lebih senior di Dewan Rakyat seperti yang sudah dua kali ditunjukkannya – diganggu Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer ketika berhujah mengenai isu TikTok pada 16 Feb, dan terbaru isu yang didakwa sebagai fitnah olehnya 7 Nov lalu. Dalam kedua-dua keadaan, Siti Mastura mengekalkan sifatnya yang tidak mudah koyak.
Semalam, timbalan ketua Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang ini berdepan cabaran yang sama-sekali berbeza. Kira-kira sejam dihabiskannya untuk menjawab sekitar 10 soalan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mengenai satu isi ceramahnya yang mengaitkan pemimpin DAP dengan ketua Parti Komunis Malaya Chin Peng dan bekas perdana menteri Singapura Lee Kuan Yew. Ini susulan satu laporan Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid di Balai Polis Brickfields, Kuala Lumpur.
Berdasarkan visual selepas temu janji di Bukit Aman itu, bahasa tubuh Siti Mastura cukup positif. Tiada tanda gemuruh, malah beliau menjawab soalan wartawan dengan lancar dan yakin, tidak seperti sebutan dua suku kata yang terhenti-henti seperti dalam rakaman video ceramahnya.
Satu rakaman video ucapan Siti Mastura pada suatu ceramah di Kemaman pada 4 Nov lalu mendakwa bekas pengerusi DAP Lim Kit Siang sepupu kepada Chin Peng dan Kuan Yew, selain mengaitkan isteri Pengerusi DAP Lim Guan Eng, Betty Chew, dengan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok. Beliau turut mendakwa Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Naib Pengerusi DAP Nga Kor Ming, Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham dan Teresa mempunyai hubungan kekeluargaan.
Guan Eng dalam kenyataan pada 10 Nov berkata beliau melalui peguamnya sudah memulakan tindakan undang-undang terhadap Siti Mastura selepas tempoh 48 jam yang diberikan untuk beliau membuktikan dakwaannya terhadap Ahli Parlimen Bagan itu, isterinya dan beberapa lagi pempimpin parti itu tamat tempohnya.
Kita tidak harus mendahului proses siasatan polis di sebalik pendapat ramai yang merumuskan dakwaan Siti Mastura tidak mungkin dapat dibuktikan. Bahan-bahan rujukan yang jadi asas isi ceramahnya di Kemaman itu juga sudah serahkan kepada pihak polis sama ada relevan, berkait, atau tidak. Polis jugalah yang akan mengesahkan nanti sama ada rujukan berkenaan mengandungi fakta sahih atau sebaliknya.
Harus lebih berat ialah kenyataan Guan Eng bahawa Siti Mastura telah menuturkan ucapan kebencian terhadapnya yang sarat dengan pembohongan dan fitnah, di samping jelas bersifat perkauman dan ekstremis. Kata Guan Eng lagi, apa yang membuatkan kelakuan Siti Mastura lebih teruk ialah tiada langsung sebarang rasa sesal daripadanya serta enggan menunjukkan bukti mengenai dakwaan hubungan kekeluargaan tersebut, menarik balik atau memohon maaf di atas pembohongan dan fitnahnya.
Kesempatan terbaik terluang buatnya untuk menjernihkan keadaan dalam sidang Dewan Rakyat pada 7 Nov lalu tapi entah atas apa pun sebab – sama ada yakin dengan fakta rujukannya atau mahu menonjolkan dirinya sebagai seorang yang berani dan enggan tunduk kepada sebarang provokasi – Siti Mastura mensia-siakan atau membiarkan peluang itu berlalu.
Ketika ditanya Speaker Johari Abdul sama ada membenarkan antara Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera), Teresa Kok (PH-Seputeh) dan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang mahu mencelah perbahasannya, Siti Mastura dilihat menggelengkan kepala dan meneruskan ucapannya dengan suara yang lebih kuat lagi.
“Kami nak bertanyakan mengenai fitnah yang dilemparkan kepada DAP dan saya,” kata Kok. “Lebih baik Kepala Batas berikan ruang, ini sudah fitnah kepada Ahli Parlimen,” kata Shu Qi pula. “Berani buat tuduhan di luar, tak berani jawab dalam Dewan ke?” soalnya lagi sambil Syerleena dilihat terus berdiri menanti laluan untuk membuat celahan tapi tidak berpeluang.
Bukan sekadar tidak membenarkan celahan, malah Siti Mastura seakan-seakan menyindir apabila mengakhiri perbahasannya dengan dua rangkap pantun dua keratnya: “Pergi kedai beli lidi, kelulusan PhD bukan dibeli. Kera lompat atas pokok, masuk Dewan jangan provok.”
Sejurus Ahli Parlimen Kepala Batas itu duduk, Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan pula berdiri mencelah: “Di luar jangan fitnah, baca poster fitnah ulang balik (dalam ceramah). Ulang balik kat sinilah biar kita terus bawa usul. Malu seorang muda bawa politik lama. Apa ni?” Seterusnya, Shu Qi bertanya, “Kepala Batas, tak ada belajar ke? Sumber maklumat dari mana?”
Hanya ketika ini, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Ahmad Marzuk Shaary – dibandingkan dengan wakil-wakil PAS lain yang hanya berdiam diri – cuba menyelamatkan Siti Mastura dengan kata-katanya, “Kepala Batas dah habis, duduklah. Apa masalah semua ni?” Tidak berpuas hati, Syahredzan menjawab: “Pengkalan Chepa, masalah dia fitnah.”
Mungkin bukan rezeki Siti Mastura untuk tidak mendapat petua daripada Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) yang membuat permohonan maaf di Dewan Rakyat berhubung kekhilafannya ketika perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 apabila mengeluarkan kata-kata didakwa berbaur seksis terhadap Kok seminggu sebelum itu. Jika itu lebih dahulu berlaku, mungkin beliau boleh menuruti langkah yang sama dan menghindar masalah yang melandanya ini daripada berpanjangan.
Lebih malang lagi, beliau harus menghadapi semua ini bersendirian. Tuntutan Guan Eng supaya Presiden PAS Hadi Awang dan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin menyatakan pendirian mereka secara terbuka sama ada mereka turut menyokong pembohongan keterlaluan dan fitnah jahat Siti Mastura atau tidak bersetuju dengannya, langsung tidak bersahut.
Sambil itu, PAS memberi alasan tidak mempertahankan Siti Mastura kerana tidak mempunyai cukup masa sebelum pengerusi DAP itu mengambil tindakan undang-undang. Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari dilaporkan Utusan Malaysia bahawa tempoh dua hari untuk parti itu berbuat demikian adalah terlalu singkat. Boleh?
Kesudahannya Siti Mastura harus mengharungi proses inisiasinya ini berseorangan setelah segala dakwaannya di Kemaman 4 Nov lalu dibuatnya bersendirian juga. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.