`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, November 5, 2023

Bahasa jiwa bangsa

 

Bagi seorang yang kerap menyelitkan bahasa Inggeris dalam penulisan bahasa Melayu mungkin saya tidak layak memperjuangkan bahasa Melayu selaku Bahasa Kebangsaan. Malah saya menyokong usaha mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Akan tetapi artikel ini saya hasilkan juga kerana dicetus rasa pelik dan musykil susulan kenyataan perdana menteri mengenai Bahasa Kebangsaan dan respons kerajaan Sarawak tempoh hari.

Umum tahu 25 Okt lalu Perdana Menteri Anwar Ibrahim diberitakan berkata jabatan kerajaan jangan layan surat rasmi diutus kepada mereka jika ia tidak menggunakan Bahasa Kebangsaan. Ertinya bahasa Melayu. Dan Anwar mengarahkan surat sebegitu dipulangkan semula kepada pengutusnya.

Setahu saya peraturan agar surat rasmi kepada kerajaan mesti ditulis dalam Bahasa Kebangsaan sudah lama diperkenalkan. Begitu juga arahan surat rasmi selain dalam Bahasa Kebangsaan akan dipulangkan semula.

“Directive ni dah lama. Mungkin ‘time’ Hussein lagi,” kata bekas penjawat awam. Hussein yang beliau sebut merujuk Hussein Onn perdana menteri ketiga. Berkata pula seorang bekas kakitangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP): “Zaman Datuk Hassan Ahmad jadi KP (ketua pengarah) DBP dah ada arahan surat dalam bahasa Inggeris dipulangkan”. Hassan Ahmad memegang jawatan KP DBP bermula 1963 hingga 1976. Maknanya arahan itu sudah lama dikeluarkan. Untuk pengetahuan Allahyarham Hassan juga adalah pengerusi Gerakan Memansuhkan PPSMI singkatan untuk pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

Kata seorang kawan lama yang merupakan ahli perniagaan bukan Melayu beliau tidak pernah tulis surat selain dalam Bahasa Kebangsaan setiap kali berurusan dengan jabatan kerajaan. Saya pula masih ingat masa sekolah rendah (long time ago) ada kempen Bahasa Kebangsaan. Juga lagu Bahasa Jiwa Bangsa berkumandang di radio.

Oleh itu mengapa Anwar memberi arahan serupa? Untuk membuktikan beliau pemimpin yang jaga kedaulatan bahasa Melayu selaku Bahasa Kebangsaan? Jika itu sebabnya saya rasa tidak perlu kerana semua sudah lama maklum betapa Anwar memperkasakan bahasa Melayu dalam pada cekap berbahasa Inggeris.

Tampil seorang lagi kawan yang sudah lama bersara daripada perkhidmatan kerajaan. Sebelum bersara beliau memegang jawatan tinggi di sebuah kementerian. Kata beliau: “Rasanya semua zaman arahannya ialah mesti guna BM kan? Arahan rasminya memang mesti guna BM untuk semua urusan rasmi. Cuma dikuatkuasakan atau tidak”.

Dan kata beliau lagi: “Aku rasa bahasa Inggeris jadi semakin bebas digunakan. BM macam tak dipedulikan. Universiti pun galak guna English”. Lalu bekas penjawat awam yang disebut tadi menyimpulkan “mungkin Anwar nak memperingatkan kot?”

Lantas Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan, menurut Sinar Harian, kebanyakkan pemohon taraf warganegara dalam kalangan warga emas gagal dalam ujian penguasaan bahasa Melayu yang merupakan antara syarat permohonan. Bagi saya warga emas gagal ujian berkenaan bukan sesuatu yang memeranjatkan. Kegusaran pada pendapat saya ialah jika atau apabila golongan muda tidak lulus.

Apa pun muncul reaksi kerajaan Sarawak sehari kemudian. Kata Mohd Abu Bakar Marzuki setiausaha kerajaan negeri, penjawat awam di Sarawak boleh menggunakan bahasa Inggeris dalam komunikasi rasmi. Oleh itu kata beliau peringatan perdana menteri “tidak terpakai” di Sarawak. Peringatan yang dimaksudkan ialah supaya jabatan kerajaan tidak melayan sebarang surat yang ditulis dalam bahasa selain Bahasa Kebangsaan.

Pada hari sama seorang timbalan menteri dalam kerajaan Sarawak Michael Tiang Ming Tee dipetik, juga oleh Sinar Harian berkata, kerajaan persekutuan perlu menerima surat ditulis dalam bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi rasmi dari Sarawak. Menurut Tiang, kerajaan persekutuan mempunyai tanggungjawab untuk melayan surat dari Sarawak sebagai komunikasi rasmi memandangkan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 “tidak pernah dipanjangkan ke Sarawak”.

Premier Sarawak Abang Johari Openg pula dilapor Utusan Malaysia 1 Nov lalu berkata, “bahasa Inggeris sangat penting. Dalam Perkara 161 Perlembagaan Persekutuan Sarawak mempunyai hak untuk menggunakan bahasa Inggeris”. Untuk berlaku adil perlu ditegaskan Abang Johari bercakap dalam konteks pendidikan di mana kata beliau penting Sarawak mengamalkan dasar pendidikan terbuka dan sekolah antarabangsa yang ditubuhkan menggunakan sukatan Cambridge – bermakna ia mementingkan bahasa Inggeris.

Menerusi satu kumpulan WhatsApp yang saya anggotai, ada seorang kenalan kelahiran Sarawak yang mengalukan pendirian kerajaan negerinya. Tetapi disambut oleh seorang anggota kumpulan dengan kata-kata “Sarawak masih ingat dia dijajah Inggeris”. Beberapa peserta lain dalam kumpulan itu memberi emoji “thumbs up”. Mujur ia tidak berpanjangan.

Secara peribadi saya berpendapat Sarawak boleh “flex its muscle” kerana siapa juga yang menubuhkan kerajaan persekutuan memerlukan sokongan padu blok Borneo. Baik pentadbiran Muhyiddin Yassin dulu, diikuti Ismail Sabri Yaakob dan sekarang kerajaan perpaduan Anwar.

Pun begitu soal Sarawak menggunakan bahasa Inggeris bukan isu baharu. Imbas kembali ucapan Abang Johari selaku presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu atau PBB ketika merasmikan perhimpunan agung partinya 18 Jun tahun lalu.

Dalam mempertahankan keputusan Sarawak beliau menegaskan ini tidak bermakna beliau atau kerajaan negeri menentang dasar kebangsaan dan tidak sehaluan dengan kerajaan pusat. Bagi Sarawak bahasa Inggeris dan bahasa Melayu kedua-duanya Bahasa Kebangsaan.

Saya kagum dan hormat Sarawak apabila kawan-kawan juga pemimpin kerajaan Bumi Kenyalang memberitahu dengan bangga isu perkauman dan agama “tak laku” di Sarawak. Ertinya sentimen ras dan agama tidak diterima oleh rakyat Sarawak. Benar di Sarawak keluarga boleh hidup dalam harmoni walau si ibu bapa beragama Kristian, anak berkahwin dengan Muslim sekali gus peluk agama Islam dan sebagainya. Bukan sesuatu luar biasa keluarga meraikan perayaan Kristian, Islam dan suku kaum Sarawak.

Bagaimanapun dalam soal Bahasa Kebangsaan tentulah lebih cantik jika Sarawak bersama dasar digubal pada peringkat nasional yang wujud sejak bertahun lamanya. Sarawak sememangnya sebahagian daripada Malaysia yang ditubuhkan hasil gabungan Sarawak sendiri dengan Tanah Melayu, Sabah dan Singapura pada 16 Sept 1963. Apa jadi dengan Singapura kita tahu dan tidak perlu diulangi.

Aneh jika satu negara ada dua dasar. Antara lirik lagu Bahasa jiwa Bangsa yang saya sebut tadi berbunyi: “Bahasalah menyatukan kita semua”. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.