Dari awalnya ia dilihat sebagai satu isu yang jelas, kini ia mungkin tidak lagi dengan pendedahan terbaru yang menggambarkannya sebagai sesuatu yang berkait-kait dan tidak semudah menyalahkan satu pihak semata-mata.
Dalam isu Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Muhammad didakwa memfitnah pemimpin DAP, bola dikatakan sudah kembali ke gelanggang lawan. Bolehkah ia dimengertikan demikian? Atau bagaimana?
DAP, terutama pengerusinya Lim Guan Eng dikatakan tersalah sasar kepada Siti Mastura berkaitan satu isi ceramahnya yang didakwa mengandungi fitnah mengaitkan pemimpin parti itu dengan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng. Didahului oleh samannya terhadap Ahli Parlimen PAS itu, kini Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok pula mengambil tindakan serupa. Kedua-duanya mengambil tindakan perundangan kerana dikaitkan dengan komunis sambil Kok pula didakwa ada hubungan kekeluargaan dengan isteri Guan Eng, Betty Chew.
Siti Mastura melalui satu rakaman video ucapannya di Kemaman 4 Nov lalu mendakwa pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang sepupu Chin Peng. Bekas perdana menteri Singapura Lee Kuan Yew yang disebutnya sebagai ketua menteri Singapura ‘Lim’ Kuan Yew pula didakwanya sepupu Kit Siang, selain mengaitkan isteri Guan Eng ada hubungan keluarga dengan Kok. Beliau turut mendakwa pemimpin DAP termasuk Setiausaha Agung Anthony Loke, Naib Pengerusi Kebangsaan Nga Kor Ming, dan Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham dan Kok mempunyai hubungan kekeluargaan.
Selepas sekurang-kurangnya empat laporan polis dibuat terhadapnya, Siti Mastura sudah dirakam percakapan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman Selasa lalu di samping menyerahkan bahan-bahan rujukan untuk membantu siasatan. Malah, Siti Mastura turut berpendirian untuk tidak mengubah atau menarik balik butir-butir ucapannya yang dibuat di Kemaman itu.
Semalam pula, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan mencabar DAP khususnya Guan Eng mengambil tindakan terhadap BN yang dikatakan lebih awal mendakwa beliau mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Chin Peng. Pada sidang media di Parlimen, Wan Saiful mendakwa BN pernah mengeluarkan buku bertajuk ‘Bahan Kempen Komunikasi BN’ sempena PRU15 lalu yang antara lain mengandungi perincian maklumat terbabit.
Namun, daripada buku itu menawarkan pencerahan, ia mungkin melontarkan lebih banyak persoalan. Pertamanya, apakah buku itu benar-benar dikeluarkan oleh bahagian komunikasi BN seperti didakwa atau oleh pihak yang mahu memburuk-burukkan BN menjelang PRU15? Kedua, andai ucapan Siti Mastura di Kemaman itu berpandukan buku itu, tidakkah menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan kesahihan fakta yang terkandung dalamnya sebelum berkongsi dengan khalayak?
Adakah Siti Mastura meyakini jika benar buku itu menjadi rujukan ucapannya – seperti dikata bahan rujukan yang diserahkannya kepada polis di Bukit Aman – dapat melepaskannya daripada sebarang tuduhan berbuat fitnah sedangkan buku itu mungkin mengandungi pelbagai kesilapan fakta yang disengaja atau tidak disengajakan?
Apakah DAP yang bertanding sebagai gabungan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU15 – ketika itu mereka belum lagi bergabung dengan BN untuk membentuk kerajaan perpaduan – tidak mengetahui pengedaran buku berkenaan dan mengambil langkah untuk menyanggahnya?
Semakan mendapati tiada sebarang laporan berita mengenai buku ‘Bahan Kempen Komunikasi BN’ itu atau ia menjadi kontroversi sepanjang kempen PRU15. Sebaliknya, satu laporan bertarikh 7 Nov 2022 memetik Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi sebagai berkata pendekatan berkempen BN adalah dengan tidak memburukkan atau mengaibkan mana-mana pemimpin atau calon. Pendekatan mengutuk atau mengaibkan mana-mana calon lawan, seperti ditegaskannya, tidak harus dilakukan. Atau mungkinkah buku berkenaan tidak pun wujud ketika itu tetapi sengaja diadakan oleh pihak yang berkepentingan kemudian atas sebab-sebab yang jelas?
Laporan Harakahdaily bagaimanapun memetik bekas Ketua Pemuda Umno Seremban Zool Amali Hussin sebagai mengesahkan buku itu diberi kepada semua jentera kempen Umno sebelum penamaan calon PRU15 lagi. Beliau yang meletak jawatan dan keluar Umno pada 17 Disember tahun lalu itu turut membidas DAP kerana sekian lama tidak mengambil tindakan terhadap Umno berkaitan isu komunis.
“Ambil tindakan undang-undang dan arah ataupun desak supaya BN minta maaf kepada DAP. Saya nak menegaskan bahawa buku ini, dokumen ini, propaganda ini disebarkan sebagai bahan kempen BN dalam satu program anjuran BN kepada pemimpin BN di peringkat akar umbi. Kalau DAP nak menafikan, saya mencabar. Saya mencabar YB Lim Guan Eng ambil tindakan undang-undang kepada BN,” kata Wan Saiful lagi.
BN tidak boleh hanya berdiam diri, sebaliknya harus tampil dengan penjelasan atau penafian agar ia tidak terus dihujani dengan pelbagai dakwaan lain pula. Pada masa sama, DAP juga perlu menyatakan pendirian berkaitan isu itu bagi meleraikan kekusutan.
Sekurang-kurangnya pada ketika ini, bola dilihat berada di gelanggang BN dan DAP, dua parti gabungan kerajaan perpaduan. Berkait aduan dan dakwaan ke atas Siti Mastura pula, biarlah siasatan polis yang menentukan tindakan selanjutnya. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.