`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, November 5, 2023

Kerajaan sedaya upaya selamatkan mangsa pemerdagangan manusia

 

Kerajaan bertindak atas angka rasmi kerana melaluinya saja boleh melancarkan bantuan melalui kerjasama dengan pihak negara asing, kata Menteri Saifuddin Nasution.

SUNGAI PETANI: Kerajaan sentiasa berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan semua mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang didapati terperangkap di luar negara berdasarkan prinsip hak untuk kembali.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata melalui prinsip itu kerajaan akan melakukan pelbagai kaedah demi menyelamatkan rakyat yang berada dalam kesusahan di luar negara setelah mendapat laporan rasmi mengenainya.

Beliau berkata kerajaan akan menggunakan hubungan diplomatik atau agensi ke agensi dan perkongsian maklumat perisikan dalam usaha mengesan sekali gus menyelamatkan mangsa.

“Sejak empat, lima tahun kebelakangan ini angka (mangsa) meningkat… dari segi pasukan polis sendiri, apapun langkah menyelamat yang kita buat ada prinsip jelas.

“Pertama, kerajaan akan mengutamakan ‘the right to return’ kepada rakyat Malaysia tak kira apapun. Asal kita ketahui mereka ada di luar dan dalam kesusahan, kerajaan akan buat apa sahaja untuk bawa mereka balik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pentauliahan Program Pensijilan Agensi Antidadah Kebangsaan Kedua.

Saifuddin mengulas laporan akhbar mengenai hampir 2,000 rakyat dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia masih terperangkap dan tidak mampu menyelamatkan diri di beberapa negara jiran sejak setahun lepas.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Hishamuddin Hashim berkata pihaknya menerima aduan daripada ratusan keluarga meminta bantuan membawa ahli keluarga mereka pulang, dan difahamkan di Myanmar sahaja lebih 1,200 mangsa menjadi buruh paksa yang melakukan pelbagai pekerjaan.

Mengenai bilangan mangsa, Saifuddin berkata pihaknya hanya merujuk kepada jumlah rasmi kes yang dilaporkan kepada pihak berkuasa dan kementerian berkaitan akan membuat pengesanan serta operasi menyelamat sebaik sahaja menerima aduan.

“Sama ada angka itu selari atau sama dengan polis kumpul, melalui aduan keluarga… NGO mungkin ada saluran lain. Penting untuk laporkan angka yang tepat. Biarlah kerajaan bertindak atas angka rasmi kerana melaluinya saja boleh melancarkan bantuan melalui kerjasama dengan pihak negara berkenaan,” katanya.

Saifuddin berkata kerjasama daripada ahli keluarga juga sangat penting kerana pihak berkuasa memerlukan pelbagai maklumat untuk tujuan pemprofilan selepas mangsa diselamatkan.

Menurut beliau, antara maklumat diperoleh setakat ini ada sebahagian mangsa yang benar-benar naif dan mempercayai sindiket pemerdagangan manusia itu.

“Sebahagian lagi tahu dari mula scam (penipuan) tapi pergi juga. Ada yang tiada kena-mengena dengan scam… mereka berjudi di luar, kalah pinjam ah long dan tak boleh balik dan maklumkan menjadi mangsa,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.