`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, November 20, 2023

KWSP: Simpanan 6.3 juta ahli bawah 55 tahun kurang RM10,000

 

Jumlah itu meningkat berbanding 4.7 juta ahli atau 37% direkodkan pada April 2020, iaitu sebelum pengeluaran khas berkaitan Covid-19 diperkenalkan, menurut Kementerian Kewangan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Isu ketidakcukupan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ketika ini berada pada tahap serius apabila 6.3 juta ahli berumur bawah 55 tahun atau 48% mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000 dalam akaun setakat 30 Sept lepas.

Dalam jawaban bertulis di laman sesawang Parlimen, Kementerian Kewangan memaklumkan jumlah itu meningkat berbanding 4.7 juta ahli atau 37% yang direkodkan pada April 2020, iaitu sebelum pengeluaran khas berkaitan Covid-19 diperkenalkan.

“Dengan simpanan kurang daripada RM10,000, ahli dijangka hanya mempunyai pendapatan persaraan yang kurang daripada RM42 sebulan untuk tempoh 20 tahun.

“Implikasi pengeluaran tambahan daripada Akaun 1 juga telah memberikan kesan jangka panjang iaitu pengurangan jumlah simpanan persaraan yang ketara dalam kalangan ahli KWSP,” menurut Kementerian Kewangan.

Ia bagi menjawab soalan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) mengenai inisiatif kerajaan bagi menangani masalah wang persaraan rakyat yang tidak mencukupi, yang turut dihimpit saiz sektor tidak formal yang besar dan nisbah tanggungan lebih tinggi.

Menurut Kementerian Kewangan, isu berkenaan dilihat serius apatah lagi negara kini sedang menghadapi fenomena penuaan penduduk yang pantas kerana ia bakal memberi impak besar kepada negara dan rakyat terutama dari segi ekonomi, produktiviti, kesejahteraan sosial, kualiti hidup, dan kesihatan.

Sementara itu, kerajaan menerusi Belanjawan 2024 mengumumkan untuk meningkatkan had caruman padanan kerajaan di bawah program i-Saraan daripada RM300 kepada RM500 setahun, tertakluk kepada had maksimum RM5,000 seumur hidup bagi setiap individu yang layak. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.