`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, November 8, 2023

Mavcom patut kekal badan bebas, kata pakar

 

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, kementeriannya mengusahakan cadangan untuk menggabungkan Mavcom dengan CAAM.

PETALING JAYA: Pemain industri berbelah bagi sama ada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) patut digabungkan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), seperti dicadangkan baru-baru ini.

Bekas Pengerusi Tourism Malaysia Wee Choo Keong berkata, dua agensi itu sudahpun bergelut memenuhi tugas masing-masing.

“Boleh lihat begitu banyak masalah dengan dua agensi itu. Jika semuanya diletakkan bawah satu bumbung, keadaan akan bertambah buruk,” katanya kepada FMT.

CAAM menyelia peraturan penerbangan bagi memastikan pesawat diselenggara sewajarnya mengikut standard perkhidmatan, manakala Mavcom menyelaras perkara ekonomi dan komersial berkait penerbangan awam.

Dua minggu lepas, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook mengumumkan bahawa kementeriannya merancang membentangkan usul penggabungan Mavcom dan CAAM pada sidang pertama Parlimen tahun depan.

Presiden Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Ajit Johl bersetuju Mavcom patut kekal bebas, tetapi melihat penstrukturan semula mampu memberi manfaat kepada pengguna.

“Mavcom patut diperluas untuk merangkumi pengangkutan darat dan udara, sebagai badan eksklusif untuk pengguna.

“Wujud juga keperluan untuk lebih banyak representasi daripada badan pengguna bebas dalam Mavcom,” katanya.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Nigel Wong menganggap langkah menggabungkan dua badan itu bagus kerana ia akan memudahkan operasi.

“Antara dua (agensi) ini, ada tanggungjawab yang bertindih. Jadi langkah menggabungkan kedua-duanya akan memperkemas proses itu.

“Kami berharap menggabungkan dua agensi itu akan menjadikan proses lebih efisien, dan garis tanggungjawab lebih jelas,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, langkah-langkah perlu diambil untuk memastikan entiti baharu yang digabungkan itu menawarkan perlindungan lebih baik dan berkesan untuk pengembara.

“Ketika ini Mavcom tidak dilihat berkesan, kerana apabila syarikat penerbangan digulung atau sesuatu seperti Covid berlaku, pelanggan (lazimnya) terkandas.

“Jadi kami berharap dengan menggabungkan kedua-duanya, entiti baharu ini akan lebih berkesan dari segi melindungi pelanggan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.