`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, November 28, 2023

Melayu Tak Malas!

 

“Bodoh! Dangkal!” Itu yang ditekankan oleh kawan saya dengan keras sambil menghentak meja. Sidek memang pantang kalau dengar orang mengecam sebegitu. Marah betul dia sekiranya orang mengutuk Melayu sebagai bangsa pemalas, Melayu mudah lupa dan macam-macam perkara negatif lagi berkenaan bangsanya.

Saya pun pada awalnya terkejut juga dengan Sidek sebab saya memang cukup lama kenal dia. Dulu dia pernah menjadi ahli sebuah parti politik sosialis, dia juga pernah masuk parti yang bersifat berbilang kaum malah dia cukup anti dengan parti yang lantang menyuarakan ketuanan bumiputera.

Perubahan ini bermula lebih kurang lima enam tahun dahulu bilamana pandangan politiknya tidak berpaksikan kepartian lagi. Dia lebih bebas. Meskipun tetap tidak menyokong parti pro Bumiputera tetapi dia sudah menjadi Melayu. Tidaklah dia bertanjak atau mengangkat keris, itu bukanlah simbol nasionalis bagi Sidek malah Sidek pun menghentam orang macam itu.

Sidek sekarang ini banyak bercakap tentang budaya murni dan amalan tradisi Melayu yang cukup ideal. Bagi Sidek, Melayu itu ada identitinya tersendiri yang unik dan mampu membawa keharmonian jika diamalkan tetapi telah dicemar oleh racun kapitalisme.

“Itu dakyah penjajah dulu!” tegas Sidek. “Melayu bukannya pemalas seperti yang digembar-gemburkan oleh penjajah dan penulis-penulis Melayu penjilat penjajah zaman dahulu. Nenek-moyang kita rajin, kuat bekerja sebenarnya dan tidak mahu mengikut telunjuk penjajah. Tok nenek kita enggan menjadi kuli di tanah sendiri menjadi buruh kasar di lombong atau di ladang.

Tok nenek kita tidak mahu memberikan tanah mereka kepada penjajah untuk digondolkan atas nama kemodenan. Ketegasan prinsip ini membuat kita dituduh malas. Buat apa jadi kuli kepada orang luar?” ujar Sidek yang mengikuti kisah tular di media sosial tempoh hari apabila seorang wanita Kemboja menyatakan Melayu sememangnya malas.

“Aku pernah berada di luar negara. Di Ireland, di New Zealand misalnya, keadaannya memang begitu. Kaum pribumi duduk ‘rileks-rileks’ sebab mereka selesa di tanah mereka sendiri. Mereka dikata pemalas. Kita di sini pun samalah. Pendatang luarlah yang datang ke sini buat kerja-kerja yang orang tempatan tak mahu buat manakala orang kita pula pergi merantau ke Australia, ke New Zealand kerja petik buah sebab orang sana tak mahu nak buat. Betul tak? Ini resam sebagai sebuah negara maju. Ia seperti putaran.”

Disebabkan Sidek bercakap ikut aras marhaen tanpa disokong dengan istilah-istilah jargon mungkin hujahnya kedengaran lucu tapi jika kita pakaikan Sidek dengan gelaran doktor falsafah atau profesor yang sedap penggunaan ayatnya, mesti tidak ada yang akan menyangkal.

Orang kita yang malas memang ada tetapi yang rajin ramai, kata dia. Menurut Sidek, orang Melayu dilihat malas kerana tidak mahu masuk ke dalam ‘sistem’. Sistem kapitalisme di mana semua manusia entah kenapa begitu gelojoh mahu menjadi kaya. “Masing-masing menggelabah beruk mengejar harta. Apahal? Rilekslah!”

“Kalau semua orang di Malaysia ini jadi Melayu, Malaysia ini akan aman!” bentak Sidek dengan mata terjegil. Ewah! Kenyataan apa ni, Sidek oi?

Sambil menggulung rokok pucuk, Sidek meneruskan khutbahnya. “Orang Melayu ini atas sedikit sahaja kedudukannya daripada Orang Asal. Dulu aku pernah duduk di sebuah daerah terpencil. Sewaktu aku menziarahi kawan aku di hospital sana, aku ternampak beberapa orang asal juga di dalam wad. Aku tanya doktor apa sakit mereka.

Menurut doktor, orang asal selalunya kalau sakit disebabkan makanan kurang zat atau disebabkan oleh virus seperti malaria dan denggi. Orang asal tak ada kes sakit jantung, sakit jiwa semua itu. Sebab apa?” soal Sidek yang membuat saya rasa tidak selesa ditekan-tekan sebegitu.

“Sebab mereka duduk di dalam sana dengan sistem hidup mereka yang aman. Mereka tidak terlibat dengan kacau-bilau dan huru-hara kita yang menipu sana-sini kejar kekayaan. Tapi aku rasa hari ini kemungkinan penyakit begitu sudah menyerang mereka semenjak kita semua ni datang mengganggu sistem mereka.

Kita rosakkan sungai, tebang pokok, musnahkan hutan. Usir dan paksa mereka pindah. Mereka hilang tempat tinggal, tempat bermain dan tempat mencari makanan. Mereka yang hidup rukun damai sebelum ini telah diganggu jiwa mereka. Gila punya kapitalis! Kita Melayu pun rosak sebab macam tulah!” bebel Sidek. Memang Sidek sudah bukan seperti Sidek yang dahulu.

“Kau tengok mak cik jual nasi lemak tepi jalan. Kadang-kadang diorang siap bagi kita lauk lebih. Mak cik nak sedekah sikit, kata diorang. Kau tengok? Dia masih ada rasa nak sedekah. Untung sikit-sikit janji lepas bayar itu ini, lepas belanja sekolah anak, nanti dah tua tak ada hutang, boleh pergi haji sudahlah.

Apa nak beria-ia? Nak cari duit, cari kekayaan carilah tapi rileks-rilekslah! Ini sampai habis semua alam rosak, budaya punah semua! Nak kaya tak salah. Boleh bayar zakat, boleh bantu orang. Bukan makin menindas. Itulah aku kata kalau semua jadi Melayu kita kat sini semua aman. Semua pihak menerima tanah ini seadanya, mencipta peluang dan sama-sama bekerja tanpa sifat tamak-haloba dan ingin membolot. Tak boleh?”

Saya hanya berdiam. Saya tidak kata hujah Sidek ini seratus-peratus betul tetapi tidak pula saya kata salah. Sidek pun bukan bodoh-bodoh orangnya. Dia pun macam rakan sebayanya, graduan universiti juga.

Cuma sudut pandang Sidek berbeza. Saya rasa Sidek sudah melepasi satu fasa yang mana dia berasa mual dan bosan apabila bangsanya dibantai buta-buta oleh orang lain yang tidak faham ‘psyche’ (jiwa) Melayu. Yang berbangga kononnya sudah menjadi moden mengikut acuan kapitalisme. Yang langsung tidak ada sifat kesederhanaan serta sayangkan keharmonian.

Lebih mengecewakan bagi dirinya kalau yang mengutuk itu adalah Melayu seperti dirinya sendiri. Saya rasa saya semakin memahami Sidek. Cuma malas nak mengaku. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.