`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, November 3, 2023

Menu Rahmah usah hanya tinggal nasi, kuah

 

Tiada siapa harus terkejut apabila sebuah restoran nasi kandar terkenal menghentikan Menu Rahmah bulan lalu gara-gara kenaikan harga bahan mentah menyukarkan mereka untuk meneruskannya. Lagipun, Menu Rahmah yang dilancarkan pada 31 Jan 2023 bukan pun satu paksaan, sebaliknya penyertaan peniaga memang dialu-alukan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub ketika melancarkannya berkata menu yang merangkumi nasi, satu pilihan protein seperti ayam atau ikan dan sayur yang ditawarkan pada harga RM5 sepinggan itu adalah inisiatif baharu dalam mengurangkan kos sara hidup rakyat dan tidak terbatas kepada had pendapatan tertentu.

Kerjasama antara kerajaan bersama pemain industri makanan dan minuman itu mendapat sambutan, dengan rangkaian pasar raya besar Mydin turut menyediakan menu berbeza setiap hari selain disertai juga restoran mamak di seluruh negara.

Pada peringkat awal pengenalannya, lebih 12,500 restoran mamak yang menjadi ahli Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) menyahut gesaan kerajaan untuk menyediakan Menu Rahmah bagi golongan kurang berkemampuan – atau sesiapa saja yang mahu jimatkan perbelanjaan – dan tidak ketinggalan kira-kira 4,000 restoran di bawah Koperasi Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) turut terlibat.

Kemudian ia diperluaskan pula ke restoran tidak halal atas nama Menu Kasih Sayang, kantin di institusi pengajian tinggi awam dan tidak terkecuali rangkaian restoran makanan segera, Burger King, McDonald’s, KFC dan Pizza Hut yang berminat menyertainya selain tidak mahu tersisih dalam persaingan di samping gerai-gerai di hentian Rehat dan Rawat di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan.

Kata Salahuddin, Menu Rahmah yang tidak melibatkan sebarang peruntukan ataupun perbelanjaan daripada kerajaan, tidak menjejaskan atau merugikan mana-mana peniaga, sebaliknya ia membantu meningkatkan jualan dengan kedatangan lebih ramai pelanggan.

“Ia memberikan keuntungan kepada semua pihak, rakyat pula dapat menikmati harga yang lebih murah. Majoriti peniaga mengatakan dengan menawarkan Menu Rahmah, pelanggan mereka bertambah dan sedikit pun tidak jejaskan model bisnes. Ramai peniaga berlumba-lumba menyertai inisiatif ini dengan menawarkan juadah serendah RM5 di premis mereka. Ini bermakna mereka mahu bersama-sama melakukannya dengan semangat kebajikan tanpa paksaan sesiapa,” tambahnya.

Bagaimanapun, berselang hanya tiga bulan, timbul cakap-cakap Menu Rahmah sudah bertukar dingin. Rungutan mula kedengaran terhadap kualiti dan saiz sajiannya yang mengecil. Tapi ketika itu ia segera ditempelak Salahuddin yang berkata peniaga yang mengambil bahagian masih meneruskannya. Penyertaan baharu termasuk daripada Foodpanda Malaysia turut jadi alasan ia akan memperluaskan jangkauan menu berkenaan.

“Menu Rahmah adalah satu hidangan premium, takkanlah saya sebagai menteri dan kementerian dalam sesi perbincangan, rela untuk menerima mana-mana peniaga membuat satu menu kelas terendah yang mungkin kuah cair atau nasi daripada beras tak berkualiti dan ikan atau ayam tak berkualiti. Kita juga tak namakan itu menu B40, semua orang boleh menikmatinya kerana kita ingin menjaga juga air muka dan maruah B40. Ini adalah hidangan untuk semua…Rahmah for all, Rahmah untuk semua,” katanya.

Ini disusuli kenyataan lanjut Salahuddin April lalu bahawa Menu Rahmah mampu bertahan kerana harga bahan utamanya seperti beras dan ayam dikawal di samping kerajaan berusaha agar pengusaha menu tersebut mendapat harga beras yang lebih murah.

Tapi, daripada segi realitinya, Restoran Hameediyah tidak mampu mempertahankan Menu Rahmah seperti dijelaskan pengarahnya Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim:

“Kami tidak mampu meneruskannya. Mula-mula harga ayam naik, kemudian harga telur pula. Apabila harga beras dan gula turut naik, kami tiada pilihan dan terpaksa mengeluarkan Menu Rahmah di semua cawangan kami.”

Jika boleh difahami Restoran Hameediyah tidak mampu bertahan dengan Menu Rahmah serendah RM5 sedangkan menu seumpamanya berharga RM12 sebelumnya, banyak restoran lain di bandar-bandar besar juga mengambil langkah serupa. Cuma segelintir yang dilaporkan sedangkan ada banyak lagi di tempat-tempat lain tidak mendapat liputan.

Berbeza dengan kebanyakan yang lain, seorang pengusaha restoran di Pasir Gudang Zaid Harith, 33, memberhentikan Menu Rahmah kerana merosotnya permintaan terhadap sajian berkenaan. Di restorannya yang berdekatan kawasan perkilangan, purata hanya empat hingga lima pelanggan yang meminta menu itu setiap hari. Antara sebabnya ialah ada pilihan lain yang lebih murah atau ramai yang membawa bekal dari rumah.

“Ramai peniaga yang terbabit dalam program Menu Rahmah tidak lagi meneruskannya. Sebilangan besar hanya dapat bertahan selama tiga atau empat bulan saja kerana tidak mampu menyerap kenaikan harga barang,” kata Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Ampang Ayob Abd Majid.

“Kami berdepan krisis. Kerajaan mungkin kecewa dengan keputusan kami tapi ini adalah realiti. Jika kami mahu membeli barang tertentu di pasar raya, contohnya minyak masak, kami terpaksa beratur panjang. Dalam pada itu, ada kuota pula untuk barang yang hendak dibeli,” katanya sambil menjelaskan penyertaan awal mereka dalam program itu adalah untuk menyokong inisiatif kerajaan selain menarik lebih ramai pelanggan.

Pengumuman terbaru kerajaan semalam bahawa peniaga Menu Rahmah kini boleh menikmati diskaun pembelian barang mentah menerusi kad khas yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup harus melegakan dalam menghindarkan lebih ramai daripada mereka berhenti menawarkan menu berkenaan. Kad khas itu menawarkan diskaun sehingga 40% kepada pengusaha Menu Rahmah bagi membeli barangan keperluan perniagaan di enam pasar raya, AEON Big, Econsave, Giant, Lotus’s, Mydin dan NSK.

Antara barangan diskaun yang ditawarkan kepada pengusaha Menu Rahmah yang diluluskan penyertaannya adalah barangan mentah seperti ayam, bawang, dan barang asas lain bagi membantu mereka mengurangkan kos penyediaan makanan. Sehingga kini, 2,849 premis berdaftar menawarkan Menu Rahmah dan diharapkan lebih banyak akan turut serta dalam inisiatif itu.

Menu Rahmah legasi bermakna untuk rakyat daripada Salahuddin yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar 23 Julai lalu. Jangan pula dengan pengenalan kad diskaun ini, ada pengusaha yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan berlebihan dengan menawarkan apa yang pernah disebutkan Allahyarham sebagai “nasi dengan kuah cair” berserta seketul kecil ayam, ikan atau daging. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.