`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, November 17, 2023

Pakar China harap ECRL siap lebih cepat

 

Pemandangan dari udara kerja pembinaan di tapak ECRL sekitar Tendong di Pasir Mas, Kelantan pada Ogos lalu. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Pakar dari China berharap Malaysia dapat menyiapkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) lebih cepat, sekali gus menjadi negara kedua di Asia Tenggara memiliki kereta api laju selepas Indonesia.

Naib Presiden Pusat China dan Globalisasi berpangkalan di China, Victor Gao, berkata projek ECRL perlu bagi meningkatkan kelajuan tren ECRL daripada 160km sejam kepada kemungkinan 351km sejam.

“Diharapkan ia (projek ECRL) akan lebih cepat. Ia mungkin 351km sejam berbanding tren berkelajuan tinggi (HSR) Indonesia, iaitu 350km sejam. Malaysia boleh mendapat kelebihan satu jam tambahan,” katanya selepas forum perbincangan Concorde Club mengenai Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) di Asean di sini, hari ini.

Pada 17 Okt lalu, HSR yang menghubungkan Jakarta dan Bandung, ibu kota wilayah Jawa Barat, beroperasi secara rasmi dengan kelajuan reka bentuk maksimum 350km sejam.

Operasi HSR bukan saja menandakan negara jiran itu kini memasuki sistem pengangkutan moden, malah menunjukkan China dan Indonesia melakar pencapaian penting di bawah BRI.

Pengarah Penyelidikan Jabatan Kerjasama Penyelidikan Renmin University of China, Liu Ying, percaya ECRL satu lagi BRI yang membolehkan Malaysia meraih pertumbuhan ekonomi lebih besar, iaitu kira-kira 3% hingga 5%.

“Saya rasa ia boleh menjadikan ekonomi Asean lebih berkembang…mungkin ia jalan baharu untuk Asia ke China, selain koridor ekonomi China-Indonesia.”

Menurut laman web Malaysia Rail Link, jajaran ECRL sejauh 648km akan merentasi Pantai Timur, iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang, sebelum bersambung dengan Lembah Klang dan Pantai Barat di Semenanjung.

Ia menyatakan pada kelajuan 160km sejam, penumpang ECRL dapat menjimatkan masa perjalanan dari Kota Bharu di Kelantan ke Terminal Pengangkutan Bersepadu-Gombak (ITT-Gombak) kira-kira empat jam.

Pada 19 Sep lalu, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook dilaporkan berkata, pembinaan ECRL mencapai kemajuan 53.9% dan mengikut jadual untuk disiapkan menjelang 2027.

Katanya, ECRL dari Kota Bharu ke Gombak akan siap pada 31 Dis 2026, manakala jajaran Gombak ke Pelabuhan Klang dijangka siap 31 Dis 2027. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.