`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, November 27, 2023

REDtone, Space X meterai perjanjian tawar perkhidmatan jalur lebar satelit di Malaysia

 

Setakat September 2023, Starlink telah menghubungkan lebih dua juta pelanggan aktif jalur lebar di lebih 60 negara. (Gambar Freepik)

KUALA LUMPUR: REDtone Digital Bhd dan SpaceX memeterai perjanjian penjualan semula bagi menawarkan perkhidmatan internet berkelajuan tinggi yang dihubungkan menerusi satelit Starlink di seluruh Malaysia.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan infrastruktur digital bersepadu itu berkata, dengan pasukannya yang mempunyai lebih 150 jurutera di seluruh negara, ia mampu membekalkan perkhidmatan jalur lebar Starlink dengan pantas kepada pengguna di lokasi terpencil serta kawasan yang mempunyai kekangan dari segi geografi dan alam sekitar.

Ketua Pegawai Eksekutif REDtone Lau Bik Soon berkata, kekuatan syarikat itu sebagai penyedia penyelesaian rangkaian bersepadu akan membolehkan mereka menawarkan perkhidmatan berasaskan satelit yang lancar kepada pelanggan kerajaan dan perusahaan.

“Kami menyasarkan sektor yang menunjukkan peningkatan kebergantungan terhadap perkhidmatan satelit seperti minyak dan gas, telekomunikasi, perkapalan dan maritim, perkhidmatan kewangan dan perladangan.

“Sektor-sektor ini dijangka menjadi pemacu penting pertumbuhan pasaran satelit di negara ini dan akan meningkatkan keuntungan syarikat,” katanya.

Lau berkata, REDtone mengorak langkah ke hadapan dalam merealisasikan visi kerajaan untuk mencapai 100% capaian internet di kawasan berpenduduk.

Katanya, kira-kira 3% daripada penduduk negara ini menetap di kawasan yang kurang mempunyai liputan atau tiada sambungan rangkaian internet.

“Kini kami hadir bagi merapatkan jurang jalur lebar itu melalui satelit, untuk mengupayakan pertumbuhan ekonomi, menyediakan akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan, dan meningkatkan keselamatan awam,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pasaran satelit dianggarkan bernilai RM19.7 bilion menjelang 2025, berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 10.9%.

Pada masa ini, terdapat 5,000 satelit Starlink di orbit, dan syarikat itu telah mula melancarkan satelit Gen 2 yang membolehkan mereka menyediakan sokongan digital ke setiap sudut, menghubungkan kawasan yang tidak mempunyai rangkaian ketersambungan dan merapatkan jurang digital di negara ini.

Setakat September 2023, Starlink telah menghubungkan lebih dua juta pelanggan aktif di lebih 60 negara.

SpaceX ialah pengeluar roket dan kapal angkasa Amerika Syarikat, pembekal perkhidmatan pelancaran, kontraktor pertahanan dan syarikat komunikasi satelit yang beribu pejabat di Hawthorne, California. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.