`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, November 5, 2023

Salut Khlir tak mudah goyah

 

Daripada rakan Ahli Parlimen hinggalah kepada menteri, mereka dah pernah mentertawa dan mempersendakannya. Tapi laksana seorang perajurit sejati, Khlir Mohd Nor tidak mudah goyah, sebaliknya terus bersemangat memperjuangkan kebajikan veteran tentera, yang beliau salah seorang daripada mereka.

Tidak ramai yang mampu mengundang derai ketawa dengan perawakan serius tapi Khlir, Ahli Parlimen penggal pertama mewakili Ketereh, tertonjol. Kepada bekas pegawai tentera berpangkat mejar-jeneral atau jeneral dua bintang itu, soal kebajikan veteran tentera yang diperjuangkannya tidak harus sama-sekali dilihat sebagai gurauan.

“Apabila saya jadi wakil rakyat mewakili Parlimen Ketereh, oleh kerana saya termasuk dalam grup veteran, saya akan perjuangkan masalah veteran ini sampai ke akhir hayat saya,” begitulah ikrarnya dalam satu sidang akhbar di Parlimen pada 22 Mac 2023.

Sidang akhbar itu diadakannya bukan tanpa bersebab. Lanjutan daripada pendedahannya di Parlimen bagaimana beliau mengetuai satu pasukan bertempur dengan komunis di Kampung Titi, Kuala Klawang pada 26 Januari 1983, ada yang mempertikaikannya di media sosial konon cerita itu diada-adakan beliau.

“Saya pernah bertempur dengan komunis. Seorang daripada anggota saya mati. Aku pikul mayat dia. Dua pengganas komunis mati,” katanya seakan-akan bertempik ketika bangun mencelah penggulungan Belanjawan 2023 oleh Menteri Pertahanan Mohamad Hasan pada sidang Dewan Rakyat 8 Mac lalu.

Khlir menceritakan kisah itu bagi menzahirkan kekecewaan veteran ATM yang masih ternanti-nanti janji pelarasan pencen yang ditawarkan sejak sekian lama, seolah-olah pengorbanan mereka melawan pengganas komunis tidak dihargai. Malah, pada sidang akhbar di Parlimen pada 22 Mac itu, Khlir turut mendatangkan lapan anggota pasukannya yang terbabit dalam serbuan di Kampung Titi itu sebagai membuktikan hujahnya benar.

“(Tapi) apa jadi pada pelarasan pencen dia (anggota pasukannya yang terbunuh) dan anggota pasukan saya? Tiga lagi dah meninggal dunia kerana uzur dan kebanyakan mereka ini yang berkhidmat semasa darurat dah berumur 70 tahun ke atas sekarang. Jadi, mereka ini ternanti-nanti. Bajet besar atau tidak, kita kena selesaikan juga benda ini,” tambahnya.

Di sebalik penjelasan Mohamad bahawa Kementerian Pertahanan sedang berusaha merangka formula bagi membolehkan penyelarasan pencen veteran ATM dapat direalisasikan, jawapan sedemikian jelas tidak memuaskan hati Khlir yang berasakan penyelesaian dilengah-lengahkan.

Berpeluang bertanyakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim pada sidang Dewan Rakyat 11 Oktober lalu, Khlir membangkitkan pula mengenai “ada yang dah sakit, dah macam nak mereng dah otak dia” berkait isu 447 anggota tentera dan bekas tentera yang terpaksa menanggung hutang kerana rumah yang dibeli mereka tidak siap sehingga kini. Mereka didakwanya dianiaya pemaju akibat kecuaian dan sikap sambil lewa dan ketidakcekapan segelintir pegawai di Bahagian Pinjaman Perumahan, Kementerian Kewangan, termasuk satu kes 87 anggota tentera dipotong gaji sejak 2009 sedangkan rumah tidak siap.

Penggulungan Belanjawan 2024 oleh menteri pada 31 Oktober lalu sekali lagi lagi membolehkan Khlir bersemuka dengan Mohamad apabila Ahli Parlimen Ketereh itu bertanyakan soalan mengenai pelarasan pencen ATM dengan nada suara yang tinggi. Berselang hampir lapan bulan sejak kali pertama beliau bertanyakan soalan yang sama kepada menteri berkenaan dan masih tiada sebarang petanda penyelesaian, keresahan dan kekecewaannya boleh dirasakan.

“Don’t raise your voice, improve your argument (Jangan tinggikan suara, perbaikilah hujah anda),” demikian respons Mohamad yang harus mengecewakannya lagi. Apabila beliau minta diulangi kerana tidak faham, derai-ketawa di dalam Dewan yang disusuli sindiran menteri: “You are a former two-star general, don’t tell me you don’t understand simple English (Anda seorang bekas jeneral dua bintang, tak kan tak faham bahasa Inggeris yang mudah)” harus sekadar menaikkan darahnya tapi penyelesaian yang diharapkannya masih tidak kunjung tiba.

Mohamad dalam menawarkan penjelasannya memaklumkan bahawa dalam pada beberapa opsyen sedang dibuat di peringkat kementerian, ada beberapa veteran tentera yang membawa kes pelarasan pencen ke mahkamah dan menyebabkan apa juga usaha terhenti dan tiada komunikasi yang dikeluarkan kerana khuatir ia akan dilihat sebagai subjudis kepada prosiding mahkamah yang sedang berlangsung.

“Jadi, kita tunggu apa akan diputuskan mahkamah, itulah yang akan kita ambil tindakan selanjutnya,” jelas Mohamad, disusuli pertanyaan lanjut Khlir berapa lama kes itu akan diputuskan mahkamah. “Mungkin setahun, dua tahun, lima tahun atau 10 tahun. Kalau 10 tahun, dah mati semua dah. Habis macam mana? Eh tak boleh macam ni, jangan gelak tau… jangan gelak,” bentak Khlir yang bagaimanapun segera diberhentikan oleh Timbalan Speaker Alice Lau daripada berlanjutan.

Kekecewaan Khlir boleh disimpulkan daripada kenyataannya sebelum ini bahawa masalah pelarasan pencen veteran tentera ini sudah melangkaui enam menteri pertahanan sejak 2013 – Zahid Hamidi, Hishamuddin Hussein, Mohamad Sabu, Ismail Sabri Yaakob, Hishamuddin buat kali kedua, dan Mohamad kini – tanpa sebarang penyelesaian.

Namun, beliau tidak mudah berputus asa, dengan penggulungan Belanjawan 2024 oleh perdana menteri merangkap Menteri Kewangan Anwar Ibrahim pada Khamis lalu meluangkan satu lagi kesempatan untuknya.

“Saya veteran… mewakili 2,700 veteran,” katanya yang menggamatkan Dewan ketika diberi laluan untuk bertanyakan soalan kepada perdana menteri, disusuli celahan oleh Ahli Parlimen Hulu Langat Sany Hamzan: “Kami dah tahu.” Sambung Khlir lagi:

“Saya nak mintak jaminan daripada perdana menteri sebab jawapan lain tidak meyakinkan saya. Hari ini saya dah jumpa dengan Yang Berhormat sendiri, menteri kewangan, perdana menteri, jadi saya rasa perdana menteri sendiri pun tahu apa saya nak cakap. OK macam ni. Jangan gelak… tolong jangan gelak, this is a very serious matters (sic) to the veteran.”

“Seperti YAB maklum, 78,546 veteran yang bersara sebelum 1 Januari 2013 menuntut hak pelarasan pencen mereka. Saya amat berharap hari ini sesuatu yg keluar dari mulut menteri kewangan memberi jaminan kepada veteran ini,” katanya.

Dalam menghuraikan jawapannya, Anwar berkata kerajaan sedang membuat penelitian menyeluruh pelarasan gaji yang tertangguh sudah hampir 12 tahun bukan saja untuk veteran tentera tapi juga penjawat awam. Ketua setiausaha negara dan ketua pengarah perkhidmatan awam turut diingatkan agar jangan ada satu pun yang tertinggal.

Sehingga penyelesaian dicapai, tambahnya, veteran tentera dinasihatkan menerima langkah sementara yang dilaksanakan, termasuk untuk Tekun veteran sebanyak RM10 juta, renjer komuniti kalangan veteran RM20 juta, RM1,000 kepada veteran, skim mikro veteran BSN sebanyak RM100 juta, latihan untuk pekerja, kuota khusus untuk veteran dalam kerajaan serta kursus dan latihan di bawah HRD Corp.

“Ini sementara kita buat pelarasan gaji menyeluruh termasuk mengambil kira pandangan veteran dan juga pimpinan tentera. Jadi, saya bagi jaminan satu saja – kita sudah mulakan kajian dengan sekretariat di JPA untuk melihat pelarasan gaji seluruhnya termasuk tentera pencen,” jelasnya.

Daripada reaksinya, Khlir dilihat masih tidak berpuas hati tapi sebagai seorang perajurit sejati yang berpegang kepada ikrarnya, beliau boleh diyakini akan terus memperjuangkan isu veteran ini hingga ke penghujungnya. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.