`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, November 7, 2023

Sarapan Malaysia terbaik, weh!

 

Antara sebab saya gagal berhijrah ke luar negara ialah kerana saya mengalami kehibaan apabila menghadap menu sarapan di luar sana, yang jauh gagalnya berbanding menu kita di sini. Saya pernah tinggal lama di Beijing, di Jakarta, mengembara ke selatan Eropah dan di pantai barat Amerika Syarikat. Semua keindahan pemandangan alam semulajadi serta budaya hidup di sana pengalaman yang cukup menyeronokkan. Saya turut bergaul, melepak, dan mengambil bahagian di kejiranan tempat saya tinggal namun apabila masuk bab makan, ternyata lidah dan tekak saya masih mencari menu Malaysia.

Keindahan dan keseronokan yang hebat di sana terlerai apabila mengenangkan bab sarapan. Ketika berada di negara tetangga, yang budayanya paling dekat dengan kita pun, saya masih bersedih di meja sarapan. Sehari dua saya boleh menghadap menu sama tetapi masuk seminggu saya mulai lemah. Balik-balik itu! Balik-balik itu! Takkan nak pulun bakso atau siomay hari-hari? Jem! Memang ada makanan yang sedap, itu tak saya nafikan tetapi bila bab sarapan pagi ia cerita lain.

Ketika mengembara ke Eropah, saya dan isteri memilih untuk menaiki bas malam menuju ke sesebuah negeri demi untuk berjimat. Tak perlu belanja untuk penginapan, baik tidur di dalam bas sahaja sementara hendak sampai ke tempat dituju. Kami merancang untuk sampai ke setiap destinasi pada awal pagi. Apabila sampai dan menjenguk kafe, saya pun bersungut, “Aduh! Nak sarapan apa ni?” tatkala melihat berbagai rupa bentuk roti. Ada bulat, ada bujur, ada yang leper melepek dan ada yang sebesar penumbuk. Pendek kata macam-macam bentuk. Macam rupa tenggiling pun ada tapi masalahnya ia semua roti! Rupa apa sekalipun, inti apa pun ia tetap roti. Lemah! Seminggu macam ni habislah saya. Takkan nak layan roootiiiiii je!

“Tasteless!” Tak ada rasa. Itu istilah tepat yang diucapkan oleh Siew Ki (kini Adun Seri Kembangan) yang mengikut kami sewaktu cuba berhijrah di Beijing. Saya mencari mi tarik yang selalu saya tonton di TV dan sangat teruja melihat tukang masaknya beraksi menarik-narik mi. Bila sampai sana saya pun cuba. Haiyaaaaa! Gagal lagi. Tak sesedap mi tarik di Malaysia. Barangkali mi tarik yang ada di Malaysia sudah ditokok-tambah rencahnya untuk disesuaikan dengan lidah sini. Tiga empat orang pelajar Cina Malaysia (kawan-kawan Siew Ki) yang ketika itu menuntut di Peking University berkunjung ke bilik sewa kami turut mengakui masakan Malaysia terbaik. Mereka semua hampir gila dan kemaruk menghabiskan nasi briyani yang dihidang oleh isteri.

Lima tahun lalu saya dan isteri serta teman-teman lain belayar dari Seattle ke Alaska. Seminggu di dalam kapal, mujurlah kafeteria masih menyediakan nasi. Okeylah! Tak adalah roti, roti, dan roti sahaja tetapi nasi goreng yang dihidangkan pun dikira gagal. Tawar, tidak ada seni dalam meramu ramuan. Lemah lagi diri saya ini! Sebaik berlabuh di Skagway, pekan kecil tepi pantai kami pun merayau-rayau. Entah bagaimana kami boleh ternampak sebuah restoran India di celah deretan kedai di pekan yang sebesar Beranang. Macam orang gila kami menikmati kari ikan, merasai betapa lazatnya menggigit hirisan halia, menghirup kuah yang kaya dengan rempah-ratus. Tauke ketawa melihat kami.

“Masakan Malaysia dan India sedap,” kata tauke. “Mereka di Barat tidak tahu masakan kita melengkapkan fungsi lidah. Semua rasa terdapat dalam masakan kita dan dapat disentuh oleh semua bahagian lidah.” Saya bersetuju sambil membayangkan gambarajah lidah dalam kelas sains waktu sekolah menengah dahulu ada bahagian-bahagiannya yang merasai manis, masam, dan pahit. Benar, masakan kita menghuraikan berbagai rasa. Apa dia antara kelat dan lekat, maung dan payau, antara pedas dan pedar, hanyir dan hamis. Anda tahu bezakan, tak? Itulah kayanya kita di sini dengan rasa.

Saya menghitung. Saya boleh katakan di Malaysia ini kita boleh menikmati sarapan pagi berbeza-beza menunya lebih dari seminggu. Isnin kita sarap nasi lemak, Selasa makan roti canai, Rabu kita makan kuetiaw goreng, Khamis kita makan tosai, Jumaat kita makan nasi dagang, Sabtu kita makan capati, Ahad kita makan lontong. Itu belum masuk nasi kerabu, soto, lempeng dan lain-lain lagi. Belum aneka kuih-muih lagi. Dan yang saya cerita ini hanya menu sarapan pagi sahaja bukan menu sampai ke malam. Kalau disenaraikan semuanya, fuh! Percaya atau tidak, menu sarapan yang berasaskan nasi yang saya sebutkan tadi itu sebenarnya dikategorikan sebagai makanan yang berkhasiat jika anda sendiri yang membuatnya tanpa ada campuran bahan-bahan tak sihat.

Hampir sebulan di Eropah membuat saya bertekad. “Sampai KL nanti mula-mula sekali aku nak pekena teh ais!” Entah jembalang mana merasuk saya di Sepanyol membuatkan saya memasang impian itu. Rindu teh tarik lah tu. Ah! bukan anda tak tahu kita orang Malaysia dengan teh tarik betapa akrabnya. Maka sebaik sahaja pesawat mendarat di KLIA, kami bergegas ke food court mencari teh ais. Walaupun kita tahu betapa teh ais KLIA tak sepadan harganya yang mahal, jadiiilaaah! Terubat rindu.

Sebab itu saya selalu berkhutbah dengan teman-teman tentang beruntungnya kita kerana mempunyai 1001 menu makanan yang muhibah. Ini bukan berlaku baharu hari ini tetapi sejak zaman-berzaman. Pedagang-pedagang dari China, India, Arab serta Eropah berlabuh di Melaka, menukar hasil bumi di sini. Berlakulah silang-budaya di tanah bertuah ini. Kita yang biasa dengan gulai-menggulai serta gorengan bertemu dengan salai dan panggang. Gambir, halia, bunga cengkih, biji pala, asam gelugur, ubi kentang, gandum dan beraneka rempah dan herba bertemu di sini. Semuanya bersatu dan sebati dalam makanan harian. Inilah semangat dan falsafahnya!

Dalam bermasyarakat dan berpolitik sewajarnya kita tidak berpecah teruk sebaliknya kita harus mengambil iktibar daripada falsafah menu sarapan di Malaysia tercinta ini sebagai pegangan hidup kita. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.