`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, November 16, 2023

Semak had siling beras tempatan tak semestinya naik harga, kata NGO pertanian

 

Badan Kawal Selia Padi dan Beras mengesyorkan harga siling beras putih tempatan dinaikkan daripada RM2.60/kg kepada RM3.20/kg.

PETALING JAYA: Sebuah NGO pertanian mencadangkan harga siling beras putih tempatan (BPT) disemak mengikut kos ditanggung pesawah yang mungkin membolehkan harganya lebih rendah berbanding RM2.60/kg ketika ini.

Koordinator Forum Kedaulatan Makanan Nur Fitri Amir berkata kerajaan boleh membantu mengurangkan kos penanaman padi termasuk pengecualian cukai input pertanian seperti pembelian alat ganti mesin serta baja.

Menurutnya, jika diapungkan harga BPT boleh mencecah sehingga RM7 sekilogram dan cara mengawalnya untuk mengelakkan pengguna terbeban adalah dengan memberikan bantuan bersasar iaitu di peringkat pesawah.

“Semakan semula tidak semestinya menyebabkan harga (siling BPT) naik sahaja, mungkin juga boleh turun tetapi kerajaan kena bantu turunkan kos ditanggung pesawah,” katanya kepada FMT.

Ahad lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata kerajaan akan mengkaji cadangan menaikkan harga siling BPT kepada RM3.20/kg berbanding RM2.60/kg seperti disyorkan Badan Kawal Selia Padi dan Beras.

Cadangan itu dibuat demi menjaga masa depan semua pihak yang terbabit dalam rantaian pengeluaran bahan makanan itu, terutama pesawah.

Fitri berkata semakan semula harga siling BPT juga harus “diiringi” dengan penguatkuasaan tegas terutama dalam kalangan pengilang yang hanya mahu mengaut keuntungan termasuk menyembunyikan bekalan tempatan.

“Memang harga baharu akan beri manfaat kepada petani tetapi penguatkuasaan kena mantap dan berkesan…kita takut nanti kilang buat balik untuk untung (tidak proses BPT) supaya boleh jual beras import.

“Kerajaan jangan mudah diugut pengilang dan pemborong, sepatutnya buat keputusan ikut realiti sebenarnya iaitu kebajikan rakyat dan pesawah,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM) Musonnef Md Radzi mencadangkan kerajaan menghapuskan monopoli kilang besar dengan mengehadkan kuota kawalan belian padi terlebih dahulu, sebelum menyemak harga siling BPT.

“Kuota kawalan belian padi wajib diwujudkan dahulu baru boleh ada kenaikan (had siling). Kalau naikkan harga beras (tanpa hadkan belian padi) tak selesai juga masalah.

“Naikkan harga ini hanya untungkan kilang-kilang besar sahaja sebab kilang kecil masih tak boleh beli beras,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.