`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, December 18, 2023

3 ditahan berkait samun bersenjata api

 

Timbalan Ketua Polis Kedah Abu Samah Mohd Noor menunjukkan senjata api yang dirampas pada sidang media. (Gambar Bernama)

ALOR SETAR: Tiga lelaki termasuk seorang dalang disyaki terlibat kes samun bersenjata api ke atas kedai emas di sekitar Kedah, Perlis dan Pulau Pinang sejak 2009, berjaya ditahan pada Selasa dan Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Abu Samah Mohd Noor, berkata dengan penahanan ketiga-tiga suspek itu, pihaknya berjaya menyelesaikan tujuh kes samun di tiga negeri berkenaan.

“Pada 3 Dis lalu, polis dimaklumkan mengenai satu kejadian samun di sebuah kedai emas di Jalan Langgar di sini (dilakukan) oleh seorang lelaki tempatan yang menggunakan senapang pam dan sebilah kapak dan telah berjaya melarikan dua dulang berisi 32 utas rantai emas yang dianggarkan berjumlah RM178,000.

“Ekoran itu, Bahagian D9 Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kedah telah menahan suspek yang berusia 54 tahun di kawasan Alor Setar pada Selasa lalu yang mana merupakan dalang dan suspek utama dalam semua kes samun ini,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata, suspek yang menjalankan perniagaan gazebo itu melakukan kegiatan samun secara bersendirian dan hanya pernah melakukan kegiatan itu secara berkumpulan sekali sahaja iaitu pada 2009.

Susulan penahanan suspek utama itu, beliau berkata dua lelaki berusia 52 dan 54 tahun, ditangkap di sekitar Pulau Pinang pada Selasa dan Khamis lalu yang berperanan sebagai pembeli emas hasil samun tersebut.

“Polis berjaya merampas satu laras senapang pam, tiga pucuk pistol, peluru, sebilah kapak, mesin pelebur emas, sebuah kereta jenis Proton Wira dan wang tunai berjumlah RM5,500. Semua suspek ditahan reman hingga esok,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pihaknya turut menahan dua lelaki disyaki terlibat kegiatan kes pecah rumah di sekitar Kota Setar dan Kubang Pasu.

Menurut Abu Samah dengan penahanan kedua-dua suspek itu, polis berjaya menyelesaikan 24 kes pecah rumah di dua daerah berkenaan.

Beliau berkata, polis turut merampas pelbagai barangan antaranya 75 unit telefon bimbit, 92 utas jam tangan dan 50 bentuk cincin serta barangan lain dan kedua-dua suspek ditahan reman sehingga Rabu ini. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.