`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, December 18, 2023

Amang seksual 5 pelajar lelaki, guru agama didakwa

 

Mahkamah Sesyen Butterworth membenarkan tertuduh berusia 29 tahun itu diikat jamin RM20,000 dan melarangnya mendekati atau mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang guru agama didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap lima pelajar lelaki di sebuah pusat pengajian tahfiz, antara September 2022 hingga Jun lalu.

Tertuduh yang berusia 29 tahun itu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah, menurut laporan Berita Harian.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki yang ketika itu berusia 13 tahun di sebuah rumah sewa di Tasek Gelugor pada jam 3 pagi, Jun lalu.

Bagi pertuduhan kedua hingga kelima pula, tertuduh yang sudah berumahtangga itu didakwa melakukan perkara sama terhadap empat lagi pelajar lelaki yang ketika kejadian berusia 14 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di asrama tingkat bawah pusat tahfiz itu antara Januari hingga September 2022.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama.

Dia menghadapi hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. Mengikut Seksyen 16 akta berkenaan juga tertuduh boleh dipenjara tambahan lima tahun dan sebatan tidak kurang dua kali.

Zulhazmi membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhan RM20,000 bagi kesemua pertuduhan dihadapinya, selain dikenakan syarat tambahan iaitu tidak boleh mendekati atau mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 17 Januari depan untuk serahan dokumen.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Imran Farouk. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.