`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, December 16, 2023

Bimbang keselamatan ternakan, lelaki tidur di kandang lembu

 

Mohd Rosli Mejas bermalam di kandang lembu bersama isterinya dan mereka tidur di atas katil lama serta memasang kanvas untuk berlindung daripada tempias hujan.

KUALA BERANG: Bimbang keselamatan 14 haiwan ternakannya, Mohd Rosli Mejas tekad bermalam di kandang lembu miliknya di Kampung Pengkalan Ajal, susulan hujan lebat berterusan.

Kandang terletak kira-kira 2km dari rumahnya memang tidak selesa, namun penternak berusia 55 tahun itu tiada pilihan kerana masih trauma dengan musibah banjir pada Februari tahun lalu, yang menjejaskan ternakannya.

“Saya bela lembu tenusu dan kerbau di kandang ini sejak 2018. Kampung ini memang tiap tahun banjir namun sebelum ini ia (kandang) tidak pernah dinaiki air. Malangnya, banjir pada Februari tahun lepas, air naik hingga paras perut lembu saya dan ketika itu saya di rumah menyangkakan semuanya selamat.

“Alhamdulillah memang tiada ternakan saya yang lemas, tapi ia beri kesan kepada kesihatan lembu dan kerbau saya. Mereka jadi semakin kurus dan tidak lalu makan. Saya terpaksa vaksinkan mereka selepas itu,” katanya kepada Bernama.

Kandang dibina Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu pada 1990-an itu diambil alih daripada penternak sebelum ini dan terletak 400m dari Sungai Berang.

Menurut bekas pemandu lori itu, malam tadi adalah malam kedua dia bermalam di sana bersama isterinya dan mereka tidur di atas katil lama serta memasang kanvas untuk berlindung daripada tempias hujan.

“Memang tidak selesa, tapi memadai untuk kami sebab tiada pilihan lain. Kalau saya tidak buat macam ini, susah untuk ke sini kalau tiba-tiba air naik dan saya di rumah terputus jalan untuk ke sini.

“Siang, malam, pagi, petang saya di sini memantau ternakan. Saya bawa bekalan makanan dan pakaian secukupnya. Cuma semalam saya redah banjir untuk balik sekejap bagi menunaikan solat Jumaat,” katanya.

Menurutnya, dia tidak mahu mengambil risiko melepaskan ternakannya ke bukit berhampiran kerana aliran air yang deras, bahkan lebih deras daripada aliran sungai.

Kampung Pengkalan Ajal antara lokasi paling teruk terjejas banjir gelombang kedua susulan monsun timur laut kali ini daripada keseluruhan 514 mangsa di Hulu Terengganu.

Selain Hulu Terengganu, empat lagi daerah terkesan banjir ialah Setiu (79 mangsa), Kemaman (205 mangsa), Dungun (569 mangsa) dan Besut (183 mangsa) menjadikan keseluruhan 1,550 mangsa ditempatkan di 30 PPS yang dibuka di negeri itu setakat 10 pagi tadi. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.