PETALING JAYA: Lelaki disyaki memukul mati isteri dengan dumbel semalam, direman tujuh hari hingga 22 Dis.
Perintah reman terhadap suspek berusia 38 tahun dibenarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Shah Alam Saidatul Akmar Suberi selepas permohonan dikemukakan polis, hari ini.
Suspek yang mempunyai rekod lampau berkaitan kes pukul dan dadah, tiba di pekarangan Mahkamah Shah Alam dengan memakai pakaian lokap diiringi pegawai dan anggota polis pada 9.20 pagi, menurut Harian Metro.
Semalam, Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim, berkata seorang wanita maut dipercayai dipukul menggunakan dumbel oleh suaminya akibat cemburu di sebuah rumah di Jalan Sungai Congkak.
Beliau berkata, polis menerima laporan berkaitan kejadian itu pada 5.33 pagi oleh suspek sendiri yang mengatakan isterinya mengalami sawan lalu membawa mangsa ke Hospital Shah Alam kerana tidak sedarkan diri.
Katanya, pemeriksaan awal doktor ke atas wanita berusia 33 tahun itu mendapati terdapat kecederaan di beberapa bahagian tubuhnya sebelum siasatan lanjut mendapati mangsa dipukul suspek akibat cemburu di rumah mereka, sebelum dibawa ke hospital.
Susulan itu, suspek ditahan di Hospital Shah Alam sekitar 12.49 tengah hari semalam untuk siasatan lanjut.
Iqbal berkata, ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.