`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, December 22, 2023

Langgar penggunaan racun, tiada rekod punca tak dapat sijil myGAP

 

Jabatan Pertanian memberitahu permohonan mendapat sijil myGAP hanya memgambil masa hingga enam bulan jika segala syarat dipatuhi. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sebilangan besar pekebun sayur di Cameron Highland tidak mematuhi syarat ditetapkan Jabatan Pertanian bagi mendapat pensijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP).

Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Nor Sam Alwi berkata syarat itu meliputi lulus pemeriksaan tapak, pengauditan amalan ladang dan analisis sampel hasil ladang.

Menurutnya, antara isu lain dalam memberikan pengiktirafan termasuk tidak menyediakan rekod ladang sempurna boleh diaudit dan tiada kemudahan rumah pekerja, stor ladang serta tandas.

“Mereka juga melanggar penggunaan racun yang telah ditetapkan.

“Sampel hasil perlu dianalisis berulang kali untuk memastikan ladang tidak menggunakan racun secara berlebihan atau penggunaan racun haram,” katanya kepada FMT.

Minggu lalu, FMT melaporkan dakwaan Persatuan Pekebun Sayur Cameron Highlands bahawa Jabatan Pertanian yang tidak cekap, menjadi punca proses mendapatkan myGAP berlarutan sehingga bertahun lamanya.

Presidennya Chai Kok Lim berkata majoriti ahli sudah menghantar permohonan untuk mendapatkan persijilan amalan pertanian baik itu, namun dakwanya, masalah timbul apabila agensi kerajaan berkenaan berlengah melakukan audit.

Ia susulan laporan menunjukkan hanya 221 daripada 2,293 pekebun berdaftar di Cameron Highlands memperoleh sijil myGAP, sekali gus menimbulkan persoalan berhubung tahap keselamatan sayur-sayuran serta buah-buahan.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang, Mohd Soffi Abd Razak, yang mendedahkan maklumat itu pada sidang DUN 6 Dis lalu menyifatkan kadar 9.6% berkenaan masih kecil memandangkan 40% daripada bekalan sayur-sayuran di Malaysia datang dari kawasan tanah tinggi bersuhu sejuk terbabit.

Mengulas lanjut, Nor Sam berkata tempoh pemprosesan pensijilan myGAP hanya mengambil masa tiga hingga enam bulan, bergantung kerjasama diberikan pengusaha ladang, sambil menambah tiada sebarang bayaran dikenakan bagi permohonan itu.

“Elemen yang dinilai oleh Jabatan Pertanian bagi permohonan myGAP adalah perkara yang berkait rapat dengan unsur keselamatan makanan dan kelestarian alam sekitar untuk jangka masa yang panjang.

“Pemeriksaan yang teliti perlu dilakukan mengikut konsep Amalan Pertanian Baik (APB) terutamanya bagi Kawasan pembangunan sensitif seperti Cameron Highlands,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.