`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, January 17, 2024

Harimau Malaya jinak

 

Bersama Selangor FC dalam Liga Super 2023, Yazan Al-Arab dan Noor Al-Rawabdeh nampak biasa-biasa sahaja, tidak pun terlalu menonjol. Malah, Yazan digantung seumur hidup daripada sebarang aktiviti bola sepak di negara ini pada akhir musim lalu kerana mengasari pengadil. Tetapi beraksi dalam pasukan kebangsaan Jordan dalam Piala Asia di Qatar semalam, kedua-duanya persis pahlawan di padang. Bezanya ialah kualiti keseluruhan barisan Timur Tengah itu benar-benar terserlah.

Sambil faktor itu jadi kelebihan, tugas mereka dalam perlawanan pembukaan Kumpulan E di Stadium Al Janoub, Doha itu dipermudahkan oleh Harimau Malaya yang pincang serba-serbi. Barisan Malaysia yang tandus pengalaman dalam saingan peringkat tertinggi seperti ini mudah menjadi ratahan dalam kekalahan 4-0. Malah, ia boleh saja jadi 5-0 atau 6-0 dalam aksi yang jelas berat sebelah tanpa banyak alasan mampu ditawarkan.

Hairannya mereka yang tergolong sebagai ‘pakar’ pun tidak menjangkakannya. Di sebuah stesen televisyen, tiga tetamu siaran langsungnya meramalkan kemenangan 1-0 di pihak pasukan kebangsaan sambil dua lagi bekas anggota skuad negara dalam satu program berbeza sepakat 2-0 – rata-rata didorong oleh patriotisme dibandingkan dengan pengetahuan mereka terhadap keupayaan pasukan-pasukan yang bertanding.

Tidak salah juga jika mereka terpedaya oleh kekalahan 1-6 Jordan kepada Jepun dalam perlawanan memanas badan di Stadium Al Ersal, Doha pada 9 Jan ketika Ko Itakura, Keito Nakamura, Takumi Minamino, Takuma Asano, dan Daizen Maeda semuanya mencatat nama dalam senarai penjaring. Tapi ada beza besar di antara aksi persahabatan dan perlawanan sebenar – sama seperti Malaysia yang terdahulu seri 2-2 dengan Syria (pasukan di tangga ke-91 dunia) hingga menerbitkan harapan palsu.

Malaysia yang tidak pernah melangkah lebih jauh daripada pusingan pertama dalam tiga penyertaan Piala Asia pada 1976 di Iran, 1980 di Kuwait dan selaku tuan rumah bersama dengan Indonesia, Thailand dan Vietnam pada 2007, ternyata sebuah pasukan novis di mana enam pasukan yang bersaing dalam Piala Dunia 2022 – tuan rumah Qatar, Australia, Iran, Jepun, Korea Selatan, dan Arab Saudi – bersaing mengejar gelaran juara kali ini.

Harimau Malaya (130) yang tergolong antara lima pasukan dengan ranking dunia terendah selain Lebanon 106, Thailand 113, Indonesia 149, dan Hong Kong 150 dalam kalangan 24 pasukan kali ini mungkin sekadar pelengkap. Apa pun, persembahan yang disajikan oleh barisan negara ketika disekolahkan oleh Jordan tidak banyak membantu mengikis tanggapan itu.

Dengan formasi 3-4-3 yang berorientasikan menyerang ketika pasukan kita belum pun menemui rentak sejak tiba di Qatar lebih dua minggu lalu, bukan saja pemain, dengan beberapa perubahan posisi yang dilihat keliru, malah ketua jurulatih Kim Pan-Gon mungkin yang paling celaru antara mereka semua.

Bermula dengan gandingan Matthew Davies, Junior Eldstal, dan Dion Cools di benteng selain Syihan Hazmi Mohamed di pintu gol, susunan pertahanan tinggi yang diamalkan seakan-akan menggamit barisan serangan bintang-bintang Jordan – Mousa Al Tamari, Mahmoud Al Mardi, Iyad Ali Olwan dan Yazan Al Naimat – memanfaatkan ruang kosong yang ditinggalkan untuk menyerlahkan dominasi mereka.

Di barisan tengah, gandingan Arif Aiman Hanapi, Afiq Fazail, Stuart Wilkin, dan Corbin Ong berhempas-pulas menyaingi lawan dan gara-garanya menyukarkan Faisal Halim, Darren Lok, dan Romel Morales melakukan sebarang kemusnahan di kawasan penalti lawan. Posisi Arif Aiman dan Faisal yang kedua-duanya diletakkan di sebelah kanan berbanding pemain sayap Selangor FC itu lazimnya di sebelah kiri, menimbulkan kehairanan paling besar.

Ia hanya memerlukan Jordan 11 minit untuk memberi impak sulungnya apabila Al Mardi melencongkan percubaan dari sudut kiri petak penalti yang menewaskan Syihan untuk satu jaringan berkelas dunia. Berselang enam minit, mereka sudah pun dua gol di depan hasil sepakan penalti Al Tamari.

Dinafikan ‘gol’ oleh Al Tamari pada minit-25 selepas semakan VAR, Al Mardi menebusnya dengan menyudahkan umpanan Al Naimat selepas itu untuk Jordan memasuki bilik persalinan ketika rehat dengan kelebihan tiga gol dan tiga mata di dalam tangan.

Warganet bingkas mempersoalkan formasi sedemikian selain pilihan kesebelasan permulaan, yang dirumuskan mereka sebagai menunjukkan Pan Gon masih bereksperimen ketika kejohanan sudah pun bermula sedangkan jurulatih itu seharusnya lebih bersedia dengan mengambil kira kedudukan Jordan di tangga ke-87 dunia – 43 anak tangga di atas Malaysia.

“Pemain-pemain saya tidak pernah beraksi seperti (seburuk) ini sepanjang dua tahun ini,” kata Pan Gon kepada media seusai perlawanan tapi dia yang harus bertanggungjawab. Seperti pemain-pemainnya yang masih ‘hijau’ di peringkat Piala Asia, jurulatih dari Korea Selatan itu juga masih baru di tahap ini pada ketika dia berselisih bahu dengan sekurang-kurangnya lapan jurulatih ternama di peringkat Piala Dunia dalam kejohanan kali ini.

“Ia amat sukar dalam separuh masa kedua ketika kita sudah pun ketinggalan tiga gol. Pemain-pemain juga tidak menjangka keputusan seperti ini,” tambah jurulatih itu yang memperkenalkan Shahrul Saad, Paulo Josue, Mohamadou Sumareh, Safawi Rasid, dan Akhyar Rashid yang berupaya menyuntik sedikit perubahan dalam 45 minit kedua tapi cuma buat seketika.

Sambil Malaysia terus menekan untuk mencari jaringan, termasuk satu sepakan Safawi yang diselamatkan penjaga gol Yazeed Abulaila, Jordan mencuri kesempatan untuk melengkapkan kemenangan 4-0 apabila Al Tamari mengutip satu hantaran jauh untuk menyungkit melampaui jangkauan Syihan sebagai mengesahkan jurang kualiti besar yang memisahkan kedua-dua pasukan.

“Silap KPG bereksperimen dalam perlawanan cukup besar. Faisal-Arif Aiman punyalah perform game demi game di kiri kanan, boleh pulak game ni diubah sebab nak selit masuk Romel. Romel tu patut simpan jer la dulu masuk second half ke, hujung game ke. Yakin sangat nak main terlalu offensive. Patut first game maintain jer taktikal strategi sama untuk adapt, untuk build confidence. Ini terikut sangat hype netizen dan juga media yang akhirnya makan diri,” rumus warganet, Muhammad Aiman.

“Kalau tak mampu bersama ketika kalah, jangan bersorak ketika menang… simple,” tulis Presiden Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) Ismadi Abdul Manap di Facebook.

  • “Formasi salah, pemain sangat tak selesa dengan posisi dan peranan dalam formasi tu. Berterabur semua. Offside trap tak jadi, recovery runs lambat, attack takde idea. Tukar formasi, tukar 1-2 pemain baru, cuba comeback,” kata satu lagi hantaran warganet yang berharap Malaysia tidak mudah berputus asa apabila berdepan Bahrain pula Sabtu ini.

Ramai warganet turut membuat perbandingan dengan keputusan membabitkan pasukan Asia Tenggara yang lain – Indonesia tewas 1-3 kepada Iraq dan Vietnam tewas 2-4 kepada Jepun – sebagai menunjukkan Harimau Malaya terlalu jinak. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.