`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, January 15, 2024

Kebakaran tahfiz: Rayuan pemuda disabit membunuh dijadual semula 21 Mac

 

Pemuda itu disabit membunuh dan menyebabkan kematian 23 orang di pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, pada 2017. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menjadualkan semula kepada 21 Mac depan bagi mendengar rayuan pemuda berusia 22 tahun terhadap sabitan kesalahan membunuh 23 orang dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, pada 2017.

Peguamnya Haijan Omar ketika dihubungi mengesahkan tarikh pendengaran rayuan itu telah dijadualkan semula.

Mahkamah Persekutuan sebelum ini menetapkan 21 Feb untuk pendengaran rayuan kes itu.

Pemuda itu yang berusia 16 tahun ketika kejadian didapati bersalah terhadap pembunuhan itu, dan diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi pada 17 Ogos 2020, untuk ditahan atas perkenan Yang-di-Pertuan Agong.

Pada hari yang sama, Mahkamah Tinggi telah membebaskan pemuda kedua daripada tuduhan membunuh.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu bersama seorang lagi yang masih bebas, didakwa membunuh dan menyebabkan kematian 23 orang di pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju di ibu negara, antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi pada 14 Sept 2017.

Dia didakwa dengan 23 pertuduhan, masing-masing mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan Seksyen 97(2) akta sama.

Pada 11 Sept lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan pemuda itu dan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara.

Panel hakim yang sama turut menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan seorang lagi pemuda, juga berumur 22 tahun, daripada tuduhan membunuh tanpa dipanggil membela diri. Lelaki itu juga berusia 16 tahun ketika kejadian.

Difahamkan, tiada notis rayuan difailkan pihak pendakwaan terhadap pembebasan pemuda itu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.