`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, June 20, 2024

Exim Bank, ICBC Malaysia meterai MoU galak guna Yuan China

 

MoU dimeterai Exim Bank Malaysia
MoU dimeterai Exim Bank Malaysia dan ICBC Malaysia perlihat langkah lebih besar dalam meningkatkan kerjasama kewangan antara Malaysia dan China. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Export-Import Bank of Malaysia Bhd (Exim Bank Malaysia) dan Industrial and Commercial Bank of China (Malaysia) Bhd (ICBC Malaysia) memeterai memorandum persefahaman untuk bersama-sama menggalakkan penggunaan yuan China sebagai mata wang penyelesaian perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan China.

Ketua Pegawai Eksekutif Exim Bank Malaysia, Nurbayu Kasim Chang, berkata langkah itu akan menggalakkan transaksi dan mendorong integrasi kewangan antara kedua-dua negara.

“MoU ini bukti hubungan Malaysia dan China yang teguh dan berkekalan.

“Memandangkan kami meraikan hubungan diplomatik selama 50 tahun, MoU berkenaan bertujuan meningkatkan kerjasama antara entiti ICBC Group di peringkat global dan Exim Bank Malaysia untuk merangsang perdagangan dan pelaburan dua hala, termasuk platform padanan perniagaan ICBC,” katanya pada majlis pertukaran MoU.

MoU itu turut menggariskan rangka kerja kerjasama strategik untuk menggalakkan manfaat bersama dan mengeratkan hubungan kewangan antara kedua-dua institusi.

Bercakap kepada Bernama di luar acara itu, Nurbayu berkata Exim Bank Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan Exim China, yang akan menawarkan pembiayaan renminbi pada akhir tahun ini.

“Perkara ini akan diumumkan tidak lama lagi dan akan menjadi antara inisiatif utama yang kami laksanakan,” katanya.

Mengenai Skim Insentif Kelestarian Pengeksport (SIP2), Nurbayu berkata, sehingga kini, Exim Bank Malaysia meluluskan pembiayaan melebihi RM150 juta kepada 20 perusahaan mikro, kecil dan sederhana dan pengeksport korporat.

Beliau berkata sasaran untuk mencapai RM1 bilion menerusi program SIP2 menjelang akhir 2025 atau 2026.

Menurut Nurbayu, SIP2 program insentif yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 yang disertakan dengan subsidi keuntungan yang akan mengukuhkan perniagaan Malaysia terutama bagi yang berkembang ke luar negara.

CEO ICBC Malaysia, Xie Shaoxiong, berkata MoU itu menggambarkan komitmen bank itu untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh hubungan kewangan dua halanya.

“Kami berharap kepada perkongsian berjaya yang akan menyumbang kepada pembangunan kedua-dua negara,” katanya.

Majlis disaksikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz, Pengerusi Exim Bank Charon Wardini Mokhzani, wakil kanan kedua-dua bank, tokoh terkemuka kerajaan dan pemimpin perniagaan daripada kedua-dua negara.

Tengku Zafrul berkata MoU berkenaan memperlihatkan langkah yang lebih besar dalam meningkatkan kerjasama kewangan antara Malaysia dan China. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.