`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, June 26, 2024

Antara artis dan retis

 

Free Malaysia Today

“Oh! Ingatkan artis tadi. Rupanya retis,” sungut seorang mamat kepada kawannya merujuk poster pada dinding foyer pangsapuri itu. “Layan ajelah!”, sambut kawannya sambil tertawa.

Ceritanya begini. Dua belas tahun lalu saya dan isteri membuat kempen mengumpul dana perubatan untuk dua anak istimewa saya. Selain kawan-kawan aktivis masyarakat yang libatkan diri, saya bekerjasama dengan sekumpulan anak seni. Sebuah pertubuhan bernama Seni Suri Jawi pimpinan Wanji Aswandi mengambil inisiatif membuat persembahan berbentuk amal di perkarangan pangsapuri tempat dia tinggal. Ahli pertubuhan tersebut membina pentas dan memohon permit persembahan yang kebetulan jatuh pada malam tahun baharu 2012. Ada acara baca sajak, monolog dan sketsa, nyanyian solo dan band serta jualan buku. Peserta acara buat persembahan percuma secara sukarela demi semangat setiakawan bagi membantu kempen kami. Disebabkan peserta yang mengambil bahagian dalam mini konsert ini bukan selebriti popular, maka mereka bukanlah artis mengikut fahaman brader itu.

Atas sebab itulah persembahan amal kami itu digelar olehnya sebagai persembahan oleh ‘retis’. Oleh kerana persembahan tersebut percuma, hanya jika sesiapa yang sudi menderma bolehlah memasukkan duit seikhlas mungkin di tabung yang disediakan, maka brader ini tontonlah sampai habis. Saya ketika merayau dan kebetulan terdengar perbualan brader tersebut, hanya ketawa dan menggelengkan kepala.

Sudah sekian lama media kita menggunakan perkataan artis untuk penyanyi, pelakon, pemuzik arus perdana yang popular. Jadi, maksud artis bagi kebanyakan orang kita begitulah kerana mereka peroleh maklumat daripada ruangan hiburan di media cetak dan elektronik. Hanya penggiat seni yang popular dan glamor di arus perdana sahaja diiktiraf sebagai artis.

Manakala artis mengikut kamus dewan edisi keempat ialah:

1. orang yang kerjanya atau kegemarannya mencipta hasil seni (terutama lukisan); 2. Penghibur (seperti penyanyi, penari dan lain-lain); ‘~ rakaman’ iaitu penyanyi atau pemuzik yang merakamkan persembahannya dalam sesebuah album dengan syarikat rakaman mengikut kontrak tertentu.

Maknanya pelukis, penari, pengukir, komposer, sutradara adalah artis meskipun tidak popular, tidak berada di media arus perdana atau tidak muncul di layar. Justeru, untuk lebih jelas – tidak masuk TV, radio atau wayang pun sebenarnya artis kerana mereka melakukan kerja-kerja seni dan menghasilkan karya.

Apa pula ‘retis’? Saya selalu juga ditanya secara berseloroh oleh kenalan, “abang ni retis ya?’. Terpempan juga dibuatnya. Apakah retis merujuk kepada orang yang acah-acah nak jadi artis? Seingat saya penyanyi dan pelakon Adibah Noor kurang senang dengan istilah retis. Amir Raja Lawak pernah tanya saya apakah retis berasal dari dialek Pahang kerana dia juga kurang senang dikatakan begitu oleh seorang pengomen. Apabila Amir bertanya semula apa maksud retis, si pengomen menjawab itu perkataan biasa di Pahang. Sebagai orang Pahang saya jawab tak pula saya pernah dengar artis disebut sebagai retis. Jadi, retis ini istilah seloroh. Seperti peguam kita sebut ‘loyar’ dan ditambah lagi dengan ‘loyar buruk’.

Wajarkah kita selorohkan profesion lain seperti doktor kepada pawang moden, ‘pilot’ kepada ‘drebar kapal terbang’? Bolehkah mereka terima kalau ia berulang-ulang kali dihamburkan? Barangkali saya, Adibah, dan Amir terlalu ambil serius kerana kami berpendirian menghasilkan kerja seni bukan main-main walaupun membuat komedi. Rilekslah Ronasina, oi! Serius sangatlah awak ni!

Mungkin julukan retis sebenarnya bukan bertujuan hendak mempermain-mainkan penggiat seni. Agaknyalah. Barangkali gelaran retis timbul untuk menyindir selebriti yang tak habis-habis bikin kecoh dengan hal-hal negatif seperti isu dadah, isu kahwin-cerai, atau sondol-menyondol. Mungkin masyarakat melihat mereka ini bukan artis yang menghasilkan karya tapi menjadi masyhur dengan kontroversi-kontroversi leceh lagi bodoh. Hasil kerja tak seberapa tapi kecohnya yang lebih. Dari situlah agaknya istilah retis timbul.

Macam kontroversi para agamawanlah, maka timbullah gelaran ustaz yang dieja ‘ustat’ dan pada masa yang sama digelar sebagai ‘penunggang agama’. Ia istilah untuk merujuk kepada sebahagian mereka sahaja tetapi lama-kelamaan apabila kerap digunakan terasa macam semua pula terpalit.

Secara peribadi, saya apabila dipanggil artis, agak kurang senang kerana saya sangat sedar yang saya tak layak langsung diberi gelaran tersebut. Apa benda seni yang saya buat? Tambahan pula kerja yang saya buat bukannya ramai orang tahu. Jadi, saya menolak. Bila dipanggil retis lagilah saya tersinggung kerana terasa seperti diperlecehkan pula. Macam kita ini beria-ia mencuba nak jadi artis tapi tak ada tokoh.

Berbalik kepada kisah ‘artis dan retis’ oleh brader di awal cerita saya di atas itu tadi, jika brader terbaca tulisan ini mari saya perkenalkan siapakah aktivis seni yang mengambil bahagian pada persembahan amal malam tahun baharu 2012 itu. Mungkin 12 tahun lalu mereka entah siapa-siapa bagi orang seperti anda.

Malam itu antara yang beraksi di atas pentas ialah Nik Jidan, seorang seniman jalanan sepenuh masa yang banyak menghasilkan lagu sendiri; Pyanhabib (arwah ialah penyair, penulis, pelakon, dan penyunting) adalah lejen yang tak perlu diperkenal lagi; juga Amerul Affendi yang memenangi award pelakon pembantu terbaik. Turut ada ialah pelakon dan sutradara Pekin Ibrahim yang juga pernah memenangi award pelakon terbaik filem dan drama.

Malam itu juga ada persembahan oleh pelakon, penulis, dan pengarah Fasyaly Fadzly yang kini seorang dekan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan. Tidak lupa juga ada penulis dan pelakon Fazleena Hishamuddin, penulis lirik Pelukan Angkasa yang dinyanyikan oleh band Sekumpulan Orang Gila yang bergandingan dengan Shila Amzah. Lagu tersebut memenangi Anugerah Juara Lagu 36.

Saya hanya menyebut beberapa nama sahaja sebab senarainya sangat panjang dengan latar kerja seni yang cukup mengagumkan, seperti Wan Azli Wan Jusoh iaitu pengarah filem Budak Kelantan atau Shamsul Cairel seorang komposer, pemuzik, dan jurutera bunyi yang mengiringi banyak persembahan artis popular malah membuat muzik latar untuk beberapa buah filem di negara kita ini, Malaysia.

Amacam, brader? Hebat tak hebat? Mereka ini artis atau retis? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.