`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, June 27, 2024

Pemimpin umum kerjasama Umno-Warisan langgar arahan presiden, kata Rahman

 

apdal bung
Desas-desus kerjasama Warisan dan Umno pada PRN bertiup kuat susulan kehadiran Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin ke Perhimpunan Agung Tahunan Warisan, Disember tahun lalu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Timbalan ketua Umno Sabah membidas pemimpin tertentu dalam parti itu yang mengumumkan kerjasama politik termasuk bersama Warisan pada PRN walaupun belum ada keputusan muktamad.

Abdul Rahman Dahlan berkata Presiden Zahid Hamidi sejak tahun lalu mengingatkan pemimpin negeri tidak membuat kenyataan mengenai kerjasama terbabit sebelum keputusan rasmi dibuat.

“Malangnya arahan presiden Umno itu tidak diendahkan.

“Kenyataan demi kenyataan telah dibuat kononnya Umno Sabah akan bekerjasama dengan Warisan sedangkan kepimpinan Umno belum membuat sebarang ketetapan rasmi dan Umno Sabah belum pun bermesyuarat mengenai isu ini,” katanya dalam kenyataan.

Rahman yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno bagaimanapun tidak menamakan pemimpin yang melanggar arahan presiden dengan membuat pengumuman kerjasama politik dalam menghadapi PRN Sabah.

Desas-desus kerjasama Warisan dan Umno untuk berdepan PRN mula bertiup sejak Disember lalu susulan kehadiran Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin ke Perhimpunan Agung Tahunan Warisan diketuai bekas ketua menteri Shafie Apdal.

April lalu Ketua Penerangan Umno Sabah Suhaimi Nasir berkata, parti itu mungkin hanya menjalin kerjasama dengan Warisan selepas PRN, sambil mengakui rundingan bersama parti pimpinan Shafie itu berjalan lancar.

Sebulan kemudian, Bung turut memberi ‘bayangan’ membentuk gagasan dengan Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dalam PRN.

FMT sebelum ini melaporkan kewujudan persetujuan kerjasama antara Umno, Pakatan Harapan (PH), KDM dan Warisan untuk berdepan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN ke-17 nanti.

DUN Sabah akan terbubar secara automatik pada Oktober tahun depan dan PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.