`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, June 30, 2024

Cubaan baik, Tuan Ibrahim

 

hishamuddin-aun

PRK DUN Sungai Bakap akan berlangsung kurang seminggu lagi tetapi di sesetengah majlis ceramah Perikatan Nasional (PN) dilaporkan ada lebih ramai anggota polis daripada penduduk setempat. Ini bukan sesuatu yang diada-adakan, sebaliknya anggota polis nampak lebih ramai hanya kerana penduduk yang hadir terlalu kecil bilangannya.

Sebuah portal melaporkan pada Khamis bahawa tular di media sosial perkongsian sejumlah foto menunjukkan ceramah kelompok anjuran PN hanya dihadiri beberapa perakam video dipercayai jentera parti itu sahaja.

Laporan itu turut menyebut jentera pilihan raya PAS dilihat lesu lantaran menyedari kemenangan di Sungai Bakap jika ditakdirkan berlaku tidak akan menumbangkan kerajaan negeri Pulau Pinang, malah tidak akan memberi kesan kepada majoriti 2/3 kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri. PH menguasai 27 kerusi manakala BN pula memiliki dua kerusi daripada 40 kerusi DUN.

Dilaporkan juga terdahulu heboh dakwaan bahawa PAS bertelagah sesama sendiri ketika parti itu bergelut untuk mempertahankan kerusi DUN Sungai Bakap yang baharu sekali dimenangi PN menerusi Allahyarham Nor Zamri Latiff pada PRN Ogos tahun lalu. Sebagai memburukkan lagi keadaan, kata laporan itu, PAS tidak banyak dapat sokongan Bersatu yang tidak punya jentera pilihan raya yang kuat.

Pastinya PAS menidakkan berita itu yang bagaimanapun selari dengan laporan FMT pada 20 Jun yang memetik seorang pemimpin kanan PN sebagai mengakui gabungan itu berdepan kesukaran untuk meraih undi bukan Melayu — majoritinya memihak kepada PH — sambil sokongan pengundi Melayu pula didakwanya sudah tepu. Sungai Bakap kawasan campuran dengan 59.4% pengundi Melayu, Cina 22.5%, India 17.4% dan lain-lain 0.7%.

“Peluang kami agak tipis. Saya tidak katakan yang PH sangat kuat tapi PN semakin lemah. Kami tidak berupaya menarik 40% undi bukan Melayu pada ketika sokongan pengundi Melayu pula tidak meningkat. Jentera PH-BN di sini — bersandar kepada Umno Pulau Pinang — adalah kuat dan mampu mengurangkan undi Melayu kepada PN,” kata pemimpin bukan Melayu berkenaan.

Pada PRN 2023, Zamri menang kerusi DUN Sungai Bakap mengalahkan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. Hari pengundian pada 6 Julai ini akan menyaksikan pertarungan satu lawan satu Joohari Ariffin (PH) dengan Abidin Ismail.

Khamis lalu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man ketika membahaskan laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Dewan Rakyat mendakwa ada banyak aduan konon kerajaan menggunakan agensi keselamatan untuk mengganggu dan memantau seteru politik semasa pilihan raya termasuk ketika kempen PRK Sungai Bakap.

“Kami dapat aduan berkenaan penyalahgunaan anggota pasukan keselamatan semasa kempen (pilihan raya), termasuk di Sungai Bakap. Polis diarah ke tempat ceramah sampai 10 orang untuk merakam dan (buat) pantauan di bilik gerakan parti pembangkang. Saya akui pihak keselamatan ada hak buat rakaman tapi sampai tahap masuk bilik gerakan dan pantau semua sekali, seolah-olah kebebasan politik kita ini terganggu. Agensi keselamatan disalah guna untuk lindungi parti pemerintah, bukannya melindungi hak politik rakyat,” katanya.

Dakwaan itu mengundang bantahan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang berkata polis dikerahkan untuk memantau keadaan demi menjaga keselamatan di samping memastikan tiada pihak yang menyebarkan kebencian ketika kempen pilihan raya.

Sebelum ini, Ketua Polis Pulau Pinang Hamzah Ahmad berkata pihaknya menubuhkan pasukan khas bagi memantau isu berkaitan agama, bangsa, dan raja (3R) yang ditimbulkan ketika kempen PRK Sungai Bakap dalam memastikan proses demokrasi berjalan lancar.

“Kita sudah adakan perjumpaan dengan wakil calon dan memberi sedikit-sebanyak apa perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan sepanjang kempen dan ceramah terutama berkaitan isu 3R. Kita nasihatkan supaya (setiap parti politik dan penyokong) elak gunakan isu ini sebagai kempen bagi meraih sokongan yang kita ada pasukan khas untuk memantau,” katanya.

Keseluruhannya kira-kira 1,000 pegawai dan anggota dipersiapkan pada tahap tertinggi daripada pelbagai aspek dalam usaha memastikan kelancaran perjalanan PRK berkenaan.

“Kita juga telah mengenal pasti ada beberapa kawasan panas dan masih dalam mengenal pasti hotspot lain untuk diberi perhatian. Pada hari pengundian, kita jangka akan letakkan lebih 700 anggota dan hampir 1,000 dipersiap untuk sepanjang tempoh PRK,” tambahnya.

Dalam pada itu, dakwaan Tuan Ibrahim itu seperti sudah biasa didengar dan bukan pun baru. Menjelang PRK DUN Pelangai pada 7 Okt 2023, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mendakwa kehadiran luar biasa anggota polis menimbulkan keresahan dalam kalangan penyokong parti itu di samping boleh memberi gambaran tidak sihat kepada amalan demokrasi negara.

“Saya bekas menteri undang-undang dan kita pernah menjadi kerajaan tetapi kita tidak pernah minta polis buat tindakan yang tidak perlu,” katanya dituruti Ahli Parlimen Pendang Awang Solahuddin Hashim yang mendakwa kehadiran polis yang ramai telah menyebabkan pengundi takut untuk menghadiri ceramah anjuran PN di Pelangai.

Ironinya calon PN bagi PRK DUN Pelangai, Kasim Samat berkata kehadiran pihak berkuasa tidak menjejaskan aktiviti kempen mahupun memberi tekanan kepadanya. “Saya nampak banyak polis tapi tidak memberi apa-apa tekanan. Untuk jentera ada yang mengadu tengok ramai polis berkawal tapi tiada sekatan polis yang dikenakan, cuma bilangan kawalan anggota polis memang ramai. Tidak ada masalah kehadiran mereka yang ramai kerana kita memahami kerja masing-masing,” jelas Kasim yang tewas kepada calon BN Amizar Abu Adam dengan majoriti 2,949 undi.

Ketika Abidin diumumkan sebagai calon PN bagi PRK Sungai Bakap, Tuan Ibrahim tersasul memaklumkan bahawa bekas pembantu khas Zamri itu mendapat pengesahan ISO14001-2015 sedangkan ia bermaksud kepada syarikat logistik di mana beliau pernah bekerja. Di sebalik tidak disengajakan, ia sedikit-sebanyak menyusahkan calon berkenaan apabila kerap dibandingkan dengan kelayakan akademik Joohari yang berkelulusan doktor falsafah (PhD).

Mungkin ia tidak tidak selancar diharapkan PN untuk meneruskan gelombang hijau di Pulau Pinang, namun kelebihan PH-BN sebagai kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri masih menuntut banyak untuk dilakukan mereka khususnya rungutan pengundi terhadap isu kenaikan kos sara hidup, tekanan air rendah, bekalan air kerap terputus, kesesakan jalan raya, dan masalah banjir.

Ramai juga melihat PRK Sungai Bakap dijadikan kempen mengkritik kerajaan yang baru sahaja melaksanakan penyasaran subsidi diesel di samping isu nasional lain yang menjadi modal kempen. Maknanya ia bukan pertembungan individu calon, malah ia bakal menjadi medan isu nasional antara kerajaan dan pembangkang.

Presiden PAS Hadi Awang pula meletakkan keyakinan bahawa isu-isu semasa dan setempat akan membantu kemenangan calon PN.

“Calon kita, pembantu kepada wakil rakyat sebelum ini, mendapat sokongan rakyat. Isu-isu nasional yang sekarang ini banyak membuat rakyat terasa betul dengan apa yang berlaku akan membantu kita,” katanya.

Jika benar demikian, Tuan Ibrahim harus lebih menumpukan kepada modal kempen yang dapat mengalihkan kecenderunan pengundi terhadap kerajaan dan tidak perlu bimbangkan kehadiran ramai anggota polis melainkan ada sesuatu yang mahu mereka elakkan daripada terdedah. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.