`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, June 28, 2024

Peja-Hamzah rebut timbalan presiden Bersatu, Azmin tekan ‘brek’?

 

Free Malaysia Today
Hamzah Zainudin dijangka mencabar Ahmad Faizal Azumu bagi kerusi timbalan presiden Bersatu manakala Azmin Ali cuba nasib bertanding Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

PETALING JAYA: Selepas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu memutuskan Muhyiddin Yassin kekal sebagai presiden, tumpuan pemilihan Oktober ini tertumpu kepada kerusi nombor dua parti disandang Ahmad Faizal Azumu.

Menurut sumber parti, Faizal atau Peja yang menyandang jawatan timbalan presiden sejak Ogos 2020 mahu mempertahankan kerusi itu, dan akan dicabar Setiausaha Agung Hamzah Zainudin.

Jelasnya, MPT dijangka membenarkan Hamzah bertanding mengikut Fasal 14.14 dan 14.16 walaupun sebelum ini tidak layak bertanding lima jawatan utama atau ‘top 5’ kerana belum cukup dua penggal sebagai MPT.

Sumber itu berkata kerusi itu menjadi rebutan kerana pemimpin terpilih bakal menjadi pemangku Presiden menerusi peralihan kuasa oleh Muhyiddin yang memimpin parti untuk sepenggal lagi.

Dakwanya, jawatan itu memberi kuasa untuk menentukan hala tuju baharu, mempunyai kata putus memilih calon PRU16 dan menerajui Perikatan Nasional (PN) untuk menawan Putrajaya.

“Muhyiddin dah nyatakan hasrat nak pertahan sepenggal lagi, jadi kerusi itu mungkin diserahkan kepada timbalannya sebagai pemangku presiden,” katanya kepada FMT.

Bagi jawatan naib presiden Bersatu, sumber itu berkata sekurang-kurangnya 10 pemimpin berhasrat mengintai kerusi berkenaan antaranya Ketua Penerangan Razali Idris; Ahli MPT Wan Saiful Wan Jan, Saifuddin Abdullah dan Rafiq Abdullah.

Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin dan Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee akan mempertahankan kedudukan itu pada pemilihan berlangsung kurang empat bulan lagi.

Mengenai Ketua Bersatu Selangor Azmin Ali yang sebelum ini dikatakan mengintasi kerusi timbalan presiden, sumber berkata Adun Hulu Kelang itu dijangka bertanding merebut salah satu kerusi MPT.

Bagaimanapun, dedah sumber itu, ada percaturan melantik Azmin ke jawatan setiausaha agung yang mungkin kosong ditinggalkan Hamzah.

“Ini kerana Azmin dilihat antara pemimpin dapat mengimbangi pengaruh politik selain memperkukuhkan dalaman parti,” katanya.

Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin dijangka mencabar Rina Harun sebagai ketua wanita manakala Adun Gombak Setia Hilman Idham dikatakan calon utama mengisi jawatan ketua sayap Pemuda, menggantikan Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.