`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, June 25, 2024

Kebimbangan Mbappe

 

Mohsin Abdullah

Lihat tajuk jelaslah artikel ini mengenai Kylian Mbappe pemain bola sepak Perancis yang terkenal. Sememangnya beliau sedang bimbang. Bukan pasal prestasi pasukannya pada Euro 2024 yang sedang berlangsung di Jerman. Dua perlawanan awal Perancis pada peringkat kumpulan mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Austria dan seri 0-0 dengan Belanda.

Kemenangan tipis ke atas Austria hasil gol sendiri Max Wober, pemain pertahanan Austria. Tetapi Mbappe yang buat sumbangan. Hantarannya ke tengah terkena kepala Wober dan bola terus melayang ke dalam pintu gol. Beliau kemudian mengalami kecederaan di hidung dan terpaksa dikeluarkan. Ketika itu ramai bimbang tulang hidungnya patah. Pada perlawanan menentang Belanda Mbappe tidak diturunkan walaupun duduk di bangku pemain simpanan dan memakai topeng pelindung muka.

Setakat ini pengulas sukan menyifatkan Perancis kurang meyakinkan apabila Mbappe tidak bermain. Tahap kecergasannya sedang diperhatikan waktu Perancis menyediakan diri untuk menentang Poland 26 Jun ini.

Semua itu bukan kebimbangan Mbappe yang saya sebut tadi. Beliau tetap yakin dengan kebolehan sendiri dan pasukannya. Yang membimbangkan beliau ialah soal politik terutama pilihan raya Perancis yang akan diadakan 30 Jun dan 7 Julai ini.

Presiden Perancis Emmanuel Macron memutuskan untuk diadakan pilihan raya mengejut berikutan prestasi baik parti haluan kanan pada pilihan raya Parlimen Eropah tempoh hari. Kemunculan ketara parti sayap kanan di Perancis, Itali dan Jerman.

Di Perancis koalisi yang turut dianggotai parti Macron, Renaissance hanya memperoleh 14.6% undi berbanding parti far right atau haluan paling kanan Rassemblement National yang memenangi 31.3% undi. Macron dilapor media berkata keputusan itu menyukarkan kerajaannya dan beliau tidak boleh mengabaikannya. Lantas keputusannya untuk pilihan raya mengejut di Perancis.

Rassemblement National dikenali sebagai National Front dari 1972-2018. Pertukaran nama tetapi tetap berhaluan kanan far right, nasionalis dan populis. Pada pilihan raya Parlimen Eropah tahun ini Rassemblement National seperti biasa berkempen atas dasar antiimigresen. Antipendatang. Adakah prestasi baik parti kanan bermakna ramai rakyat Eropah tidak toleran masyarakat pendatang?

Presiden Rassemblement National ialah Jordan Bardella, dan antara pemimpin yang menonjol ialah Marine Le Pen. Saya kata ‘menonjol’ kerana Le Pen kerap menimbulkan kontroversi khususnya ucapan antipendatang dan masyarakat minoriti di Perancis. Le Pen malah Bardella dan Rassemblement National secara am dituduh ramai sebagai rasis walaupun mereka mendakwa ia parti nasionalis tulen.

NBC News melaporkan ‘opinion polls suggest the far right anti immigration National Rally (RN/Rassemblement National) could come out on top for the first time in the country’s history’.

Pada sidang media menjelang perlawanan Perancis – Austria, Mbappe berkata ‘kumpulan ekstremis berada di pintu kuasa’. Lalu beliau merayu kepada khasnya generasi muda keluar mengundi.

“Saya menentang pandangan ekstrem dan tidak mahu memecahbelahkan rakyat. Saya tidak mahu mewakili negara yang mempunyai gagasan seperti itu, yang tidak sehaluan dengan nilai saya, nilai kita,” katanya. Mbappe dilahirkan di Paris tetapi ayahnya berasal dari Cameroon. Ertinya beliau berasal keluarga pendatang.

Pendirian itu dikritik Jordan Bardella. Seperti dijangka. Namun Marcus Thuram rakan sepasukan Mbappe lebih lantang menggesa rakyat menolak presiden RN itu dan dengan ‘berlawan setiap hari demi menghalang parti far right daripada mendapat kuasa’. Marcus ialah anak kepada legenda bola sepak Perancis Lilian Thuram yang terkenal dengan kempen antirasis.

Pemain sayap skuad Perancis Euro 2024 Ousmane Dembele menggesa warga negara Perancis menggunakan kuasa mengundi kerana ‘the alarm bell’ sudah berbunyi.

Penjaga gol Sepanyol Unai Simon bagaimanapun tidak setuju dengan kenyataan sedemikian khususnya dibuat Mbappe. Katanya tidak kena Mbappe bercakap menentang ‘ekstremisme dan idea memecah belah’.

Beliau dipetik berkata “kita terlalu banyak memberi pendapat mengenai topik seperti politik. Kylian ialah seorang yang berpengaruh di dunia. Saya tidak tahu sama ada kita mesti memberi pendapat dengan kerap. In the end its about politics. Saya fokus terhadap bola sepak. Apa yang saya mesti bercakap ialah mengenai bola sepak. Tinggalkan politik kepada orang lain.”

Bagi saya tidak salah pemain bola sepak, penyanyi, pemuzik, pelakon (orang famous) memberi pandangan mengenai politik dan menggunakan pengaruh mereka untuk ‘mempengaruhi pengundi’. Sama ada betul atau tidak apa yang dikatakan mereka terserah pendapat sendiri. Ini sekadar pandangan peribadi.

Bercakap mengenai haluan kanan – dalam pemahaman ideologi politik istilah sayap atau haluan kanan secara am dikaitkan antaranya dengan konservatisme, pegangan dan penganjuran ekstrem atau ‘hardline’ agama, nasionalisme atau kebangasaan berdasarkan ras.

Adakah parti haluan kanan atau paling kanan wujud di Malaysia? Ikut sejarah memang ada tetapi lama kelamaan banyak parti yang asal kanan merubah wajah dan ideologi. Ada yang masih wujud dengan konsep kanan masa kini yang kata mereka tidak ekstrem. Rasanya kita punya perspektif sendiri mengenai konsep parti yang aktif dewasa ini.

Ada pemerhati dan penganalisis politik beranggapan ada elemen kanan yang semakin menonjol berpandu keputusan pilihan raya. Isu yang dimainkan soal bangsa dan agama. Ramai rakyat menyokong atau tidak agak sukar untuk memastikan.

Apa pun andainya Mbappe warga kita (tentulah kuat Harimau Malaya) adakah beliau juga akan bimbang seperti kebimbangannya sekarang mengenai Perancis? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.