`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, July 17, 2024

Pan-gon undur tanpa kotakan janji

 

hishamuddin-aun

Dua setengah tahun lalu Kim Pan-gon tiba dengan mencetuskan harapan besar untuk membawa Harimau Malaya ke Piala Dunia tetapi peletakan jawatan yang diumumkan semalam tidak membezakannya dengan jurulatih asing sebelumnya — menjanjikan yang terbaik tetapi kesudahannya pulang diiringi hampa.

Membelek-belek laporan sidang akhbar pertama jurulatih dari Korea Selatan itu pada 17 Februari 2022, harus diakui ada versi berbeza-beza di antara niatnya memasang impian besar membawa skuad ke Piala Dunia dan meletakkan asas kukuh dalam usaha membantu pasukan kebangsaan layak ke Piala Dunia suatu hari nanti.

Selepas Piala Dunia kali ini (2022), mungkin Piala Dunia yang seterusnya, Asia mungkin mempunyai sembilan tempat untuk pusingan akhir Piala Dunia. Jadi, saya fikir saya cuba bersedia untuk itu,
 katanya seperti dilapor Berita Harian.

Ada satu portal berita berbahasa Inggeris yang memetiknya berkata: 

Sasaran jangka pendek saya ialah untuk pasukan layak ke Piala Asia dan kemudian fokus untuk layak ke edisi berikut Piala AFF. Tapi gambaran lebih besar ialah Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.

Mungkin ramai yang tidak ingat janji atau harapan besar dicetuskan jurulatih itu dalam sidang akhbar berkenaan atas pelbagai alasan — antaranya ketidakyakinan terhadap keupayaan Harimau Malaya sampai ke Piala Dunia, lumrah buat jurulatih asing menabur janji manis selain reputasi Pan-gon sendiri yang tidaklah sebesar mana.

Skuad bola sepak kebangsaan memiliki senarai jurulatih asing yang panjang, antaranya Dettmar Cramer (1967), Dave MacLaren (1970), Karl-Heinz Weigang (1979–82), Frank Lord (1983–85), Jozef Venglos (1986–87), Richard Bate (1988), Trevor Hartley (1989), Ken Worden (1992–93), Claude Le Roy (1994–95), Hatem Souisi (1995 dan 1998), Allan Harris (2001–04), Bertalan Bicskei (2004–05), dan Nelo Vingada (2017).

Kita pun tahu harapan Pan-gon berakhir seawal pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 apabila kemenangan 3-1 ke atas Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil, 11 Jun lalu sekadar meletakkan Harimau Malaya di tangga ketiga Kumpulan D untuk merelakan Oman dan Kyrgyzstan meneruskan kemaraan.

Jika dipegang pada janji, lazimnya jurulatih yang gagal mencapai sasaran seperti Pan-gon sepatutnya dipecat tetapi kontraknya — dari asalnya dua tahun yang dilanjutkan hingga akhir tahun depan — difahamkan ditamatkan lebih awal atas persetujuan bersama dengan majikannya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Digembar-gemburkan ketika ketibaannya dahulu, Pan-gon sanggup mengorbankan peluang untuk menyertai barisan Pahlawan Taeguk dalam Piala Dunia 2022 di Qatar selaku pengarah teknikal Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) untuk menyahut cabaran membantu peningkatan Harimau Malaya ke tahap seterusnya.

Namun, keputusannya meleraikan ikatan dengan FAM atas komitmen peribadi yang menimbulkan banyak tanda tanya, seolah-olah menyembunyikan rasa tidak puas hati dan kecewa terhadap apa yang sebelumnya didakwa ada campur tangan terhadap tanggungjawabnya.

Pan-gon sebelum ini digembar-gemburkan kecewa dengan wujudnya campur tangan dalam pemilihan pemain dan percaturannya ketika pusingan akhir Piala Asia di Qatar yang menyaksikan Harimau Malaya tewas 0-4 kepada Lebanon, kalah 0-1 kepada Bahrain, dan seri 3-3 dengan Korea di antara 16-25 Jan lalu.

Kemudian, dia dikatakan tidak berpuas hati dengan perancangannya yang tidak dipenuhi sebagai persiapan berdepan Oman di Muscat pada 22 Mac. Kedua-dua dakwaan itu bagaimanapun dinafikan Presiden FAM Hamidin Mohd Amin sambil Pan-gon sendiri memberi jaminan akan terus kekal bersama skuad kebangsaan sehingga misi utama layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak automatik ke Piala Asia 2027 tercapai.

Seumur hidup saya, saya akan sentiasa ingat langit biru Malaysia, awan dan pokok; rakyat Malaysia yang peramah dan menyenangkan; rasa nasi lemak dan bau durian; semuanya saya suka. Kini, sebagai separuh orang Malaysia, saya akan sentiasa sokong pasukan kebangsaan Malaysia dan berasa bangga dengan Malaysia ke mana saja saya pergi,
 katanya tanpa menjelaskan apa-apa dengan menganggap semua yang dikongsikannya dengan Hamidin dalam empat hingga lima pertemuan sebagai terlalu peribadi.

Berselindung dengan kekecewaan yang dipendamnya, Pan-gon dalam sidang media semalam memilih untuk berdiplomasi dengan mengatakan peminat bola sepak Malaysia tidak perlu bersedih dan menyesali keputusannya.

Anda semua tidak perlu menyesal dengan ketiadaan saya sebagai jurulatih, saya yang perlu rasa menyesal apabila saya bangun esok pagi. Anda tidak perlu bersedih, ini adalah peluang untuk anda mengharungi perjalanan yang lain dan saya juga akan mempunyai perjalanan saya sendiri. Saya harap semua faham akan keputusan ini dan mengambilnya dari sudut positif. Jangan salah faham, ini bukanlah pengakhirannya. Saya akan terus berbakti kepada pasukan dan rakyat Malaysia, mungkin dengan cara berbeza,
 katanya.

Di sebalik gagal membawa Malaysia ke Piala Dunia — atau lebih realistik ke pusingan ketiga kelayakan — Pan-gon tidak gagal sepenuhnya berdasarkan beberapa pencapaian. Berpegang kuat kepada profesionalisme dan kualiti kerja mengagumkan, jurulatih berusia 54 tahun itu turut mentransformasikan pasukan negara sehingga layak secara merit ke Piala Asia selepas 43 tahun di Qatar, Januari lalu.

Rekodnya dengan catatan 20 kemenangan dalam 34 perlawanan antarabangsa, dengan kemenangan paling dramatik ketika Harimau Malaya bangkit daripada ketinggalan 1-3 untuk mengatasi pasukan ranking ke-97 dunia, Kyrgyzstan, 4-3 dalam aksi pertama Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Bukit Jalil, 16 Nov lalu.

Barangkali paling diingati ialah Malaysia bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat pasukan di tangga ke-23 dunia Korea 3-3 di Qatar, dengan gol Faisal Halim diundi peminat yang menonton aksi Piala Asia sebagai gol terbaik kejohanan.
Gara-gara keputusan seri dengan Korea itu — yang bukan bersandarkan nasib melainkan semangat melawan pemain-pemain — sudah ada yang menggelar Pan Gon ‘miracle man’ (jurulatih ajaib) kerana mampu mengerah Harimau Malaya bangkit daripada dua kekalahan untuk meraih satu mata daripada barisan Pahlawan Taegeuk itu yang sebelumnya dilihat tidak langsung berkemungkinan.

Peningkatan terbesar Harimau Malaya hasil sentuhan Pan-gon boleh diukur daripada anjakan ranking dunia Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dari tangga ke-154 untuk melonjak ke tangga ke-137 ketika ini.

Selamat jalan ‘miracle man’, terima kasih atas segala sumbangan sambil legasi terbaiknya ialah dorongan buat Harimau Malaya untuk terus memasang Impian. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.