Langkah menangani kesan El Niño dan kenaikan kos global disifatkan tepat, namun pelaksanaan berkesan serta pelaburan jangka panjang perlu diberi keutamaan.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen pada 14 Julai lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, berkata kerajaan melaksanakan pelan kontingensi bawah Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030).
Antara langkah dilaksanakan termasuk pemantauan paras air empangan secara berkala, operasi pembenihan awan di kawasan kritikal dan penggunaan telaga tiub bagi sektor tanaman.
Kerajaan turut menggalakkan penanaman padi secara tabur kering bagi menjimatkan penggunaan air ketika fenomena El Niño.
Pada masa sama, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) mempergiat usaha menghasilkan varieti padi yang lebih tahan terhadap kemarau dan perubahan iklim, termasuk MR380, MR381 dan MR382.
Bagi mengurangkan tekanan kos pengeluaran susulan ketidaktentuan global, kerajaan akan memberikan pengecualian sementara cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas baja pertanian terpilih mulai 1 Jan lalu.
Kerajaan juga menaikkan kadar Insentif Pembajakan kepada RM300 sehektar dan mengekalkan subsidi diesel nelayan pada kadar RM1.65 seliter bagi memastikan kapasiti pengeluaran agromakanan tempatan tidak terjejas.
Ahli ekonomi dan pakar pertanian menyifatkan langkah itu sebagai tepat, namun menegaskan keberkesanannya bergantung pada pelaksanaan di lapangan serta keupayaan meningkatkan daya tahan sektor pertanian dalam jangka panjang.
Christopher Teh Boon Sung dari Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia berkata, langkah diumumkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menangani risiko utama berkaitan bekalan air, tanaman dan ternakan.
Katanya, pemantauan sumber air dan sistem amaran awal adalah antara langkah paling kukuh kerana ia membolehkan tindakan diambil sebelum tanaman mengalami kerosakan.
Namun, beliau menekankan keperluan KPKM menetapkan pencetus tindakan yang jelas di peringkat daerah supaya setiap agensi mengetahui bila dan bagaimana sesuatu intervensi perlu dilaksanakan.
“Keberkesanan langkah kerajaan perlu dinilai menerusi petunjuk yang boleh disemak, termasuk keluasan kawasan tanaman dilindungi, produktiviti penggunaan air, hasil tanaman, kadar kematian ternakan dan masa tindak balas agensi.
“Dengan ukuran dan tanggungjawab yang jelas, pendekatan ini boleh menjadi satu sistem pencegahan,” katanya.
Teh turut menyambut baik bantuan kerajaan yang dapat mengurangkan sebahagian tekanan akibat peningkatan kos diesel dan operasi pengusaha pertanian.
“Pada masa sama, pelaburan jangka panjang dalam infrastruktur pengairan serta bimbingan teknikal kepada pesawah perlu diteruskan,” katanya.
Sementara itu, ahli ekonomi Barjoyai Bardai berkata pendekatan KPKM adalah tepat dan proaktif kerana kerajaan mengambil langkah sebelum ancaman cuaca menjadi lebih serius.
Namun, beliau berkata pelaburan dalam teknologi pertanian, penyelidikan benih tahan cuaca ekstrem dan sistem pengairan moden perlu dipercepatkan bagi menghadapi keadaan luar jangka.
“Malaysia juga perlu mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan strategik dengan meningkatkan produktiviti domestik, bukan sekadar memperluas kawasan tanaman.
“Penggunaan data digital, kecerdasan buatan dan analitik ramalan juga perlu diperkasakan untuk mengesan risiko bekalan serta mempercepatkan intervensi kerajaan,” kata ahli akademik dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia itu.
Barjoyai berkata, perubahan iklim dan konflik geopolitik boleh berlaku serentak serta saling menguatkan kesannya terhadap rantaian bekalan makanan.
“Cuaca lebih panas dan kemarau berpanjangan boleh mengurangkan hasil padi, sayur-sayuran serta buah-buahan, manakala ketegangan di Asia Barat boleh meningkatkan kos minyak, penghantaran dan insurans kapal.
“Kenaikan kos logistik itu akhirnya boleh meningkatkan harga makanan, baja, makanan ternakan dan input pertanian yang diimport Malaysia,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata keterjaminan makanan memerlukan pendekatan menyeluruh yang merangkumi dasar konsisten, peningkatan kecekapan rantaian bekalan oleh industri serta usaha pengguna mengurangkan pembaziran dan mengelakkan pembelian panik.
“Dalam persekitaran global yang semakin tidak menentu, keterjaminan makanan bukan lagi isu pertanian semata-mata, sebaliknya turut berkait dengan kestabilan ekonomi, sosial dan keselamatan negara,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.