`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 




25 Ogos 2026

Thursday, August 27, 2026

Mana peranan NGO Islam reformis dalam retorik Islam ekstremis?

 NGO Islam reformis perlu lebih lantang mencabar retorik agama yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk.

tajuddin rasdi

Mesej saya dalam artikel ini mudah saja. Di manakah suara-suara golongan Melayu yang berpendidikan tinggi dan sering melaungkan slogan Islam reformis atau progresif atau moderat dalam menjawab isu-isu bisa dibangkitkan politikus Melayu dan pendakwah Islam dari Melayu, Cina dan India?

Saya nampak ada dua pertubuhanIslam yang terkenal dengan aspek Islam reformis dan yang bertanggungjawab dalam ‘mengislamisasikan’ Malaysia pada tahun 70-an dan 80-an dulu tetapi bisu seribu bahasa dalam menangani isu-isu yang berpuluh-puluh saya rakamkan sejak 15 tahun yang lalu.

Saya tidak membaca kenyataan media NGO-NGO ini. Algoritma Youtube saya tidak pernah menonjolkan video atau audio siar dari mereka-mereka ini langsung. Apakah sebabnya NGO Islam ini mendiamkan diri sehinggakan naratif Islam konservatif dan ekstremis menjadi berleluasa sejak 15 tahun kebelakangan ini?

Sebelum itu baik saya jelaskan apa yang saya faham tentang nilai NGO-NGO Islam reformis yang progresif dan moderat ini. Pertama, nilai reformis adalah suatu nilai yang dikaitkan dengan zaman Rasulullah SAW yang dikenali sebagai ‘The Qur’anic Generation’.

Ia adalah ideologi yang melandaskan nilai kemanusiaan dan Islam dari contoh terus kepada Rasulullah dan para sahabah zaman itu yang dikatakan mencermin suatu ketamadunan manusia yang terbaik.

Sifat progresif adalah suatu keadaan di mana budaya dan corak kehidupan umat Islam itu tidak terkongkong dengan fatwa dan ijtihad tradisional semata-mata tetapi mengikut keperluan sains, ekonomi, hubungan politik dan kepelbagaian kebudayaan manusia lain yang mempercayai ugama bermacam.

Sifat moderat pula adalah aspek toleransi dan penerimaan kepelbagaian corak kehidupan dalam kemajmukan aspek negara bangsa yang terdapat di seluruh dunia. Sepatutnya aspek Harbi, Dzimmi yang digunakan dalam Darul-Islam dan negara lain tidak lagi wujud dalam geopolitik semasa. Itu yang saya faham.

Dari aspek atas kertas, nampak cukup baik dan hebat maka saya menyokong NGO-NGO ini walaupun saya tidak pernah menjadi ahli.

Maka itu, saya selalu bersyarah di depan orang-orang bukan Islam bahawa ada satu jenis Islam diantara beberapa jenis Islam di Malaysia yang mereka patut sokong dan inilah Islam yang akan menjadikan orang Melayu lebih sebagai rakyat Malaysia dan rakyat dunia serantau.

Adapun rakyat Melayu yang tebal dan terkongkong dengan keMelayuannya tidak berupaya menjadi rakyat Malaysia atau rakyat dunia. Itu yang saya faham.

Setelah dua dekad NGO-NGO ini bergerak, maka timbullah generasi Islam yang kenal Islam lebih dari sembahyang saja atau ritual keagamaan lain. Setelah dua dekad berdakwah kepada orang Melayu, konsep politik Islam menyelinap masuk dengan mendalam.

Islam bukan lagi tradisi atau ritual tetapi sosial, industri, ekonomi dan politik sebagai suatu aspek ‘syumul’ atau menyeluruh atau holistic.

Ada perbankan Islam, ada pendidkan Islam, ada universiti Islam, ada Islamisasi keilmuan dan macam-macam Islam lagi dalam kemodenan dan kepelbagaian. NGO-NGO ini bergerak untuk merapatkan hubungan dengan bukan Islam dan juga membasmi kemiskinan tanpa sempadan perkauman dan ugama. Hebat sekali.

Namun demikian, saya dapati NGO-NGO ini bisu seribu bahasa dalam banyak isu konservatif dan ekstremis. Contohnya, ada seorang politikus Melayu yang menjajakan ketuanan Melayu-Islam dalam sistem demokrasi Malaysia. Politikus ini juga menuduh rakyat Malaysia yang bukan Islam sebagai ejen penjajah yang ingin menghapuskan Islam.

Politikus ini juga menyifatkan Melayu yang menyokong mereka sebagai sesat dan tidak berpendidikan agama yang betul. NGO-NGO Islam reformis diam seribu bahasa. Kemudian timbul pula isu ‘Kuil Haram’ yang membuat ketegangan antara golongan Melayu-Islam dan India-Hindu dalam masyarakat kita.

Isu kuil haram ini saya telah sebutkan sebagai kegagalan kerajaan tempatan untuk memahami konsep bangunan warisan dan konsep kemudahan komuniti yang harus diberi kepentingan untuk kewujudannya. Namun demikian isu ini dikudakan oleh pendakwah bebas yang tidak ada maruah, tauliah atau ilmu pentadbiran tetapi mereka sering dan lantang mengecam.

Malangnya ada pula mufti-mufti yang nampak seperti menyokong. Isu ini menular hingga menjadi besar tetapi NGO-NGO reformis yang moderat entah ke mana tiada kenyataan atau audio siar berkenaan perkara itu.

Kalau ada pun kenyataan ia bersifat terlalu umum dan tidak impactful. Tak usah cerita lah tentang isu alkohol, isu stokin, isu bendera terbalik, isu bakar kitab Injil, isu file mentega terbang, isu kesesakan lalu lintas sembahyang Jumaat dan berbakul-bakul lagi yang tidak ada respon impactful dan terkedepan dari golongan Islam feformis.

Kenapa agaknya terjadi demikian? Why the graveyard silence?

Adakah NGO Islam ini takut kepada backlash atau respon negatif daripada orang-orang Melayu? Adakah mereka takut dilabel sebagai ‘progresif sesat’ dan ‘moderat sesat’?

Adakah mereka ini takut yang orang Melayu tidak akan hantar anak-anak mereka ke sekolah Islam yang menjanakan pendapatan lumayan daripadanya? Adakah NGO Islam takut orang Islam tidak akan bersedekah dan berzakat dengan mereka dan ini akan melemahkan ‘wealth generation’ mereka?

Atau adakah NGO Islam ini sudah menjadi bukan Islam reformis tetapi Islam konservatif? Mungkinkah genarasi baru kepimpinan NGO-NGO ini tidak lagi mendokong prinsip dan falsafah perjuangan Islam seperti perintis-perintisnya?

Walau apa pun kemungkinan sebab pembisuan merka, naratif Islam konservatif dan ekstemis kini bermaharajalela dan bakal memusnahkan keharmonian negara yang dicipta bapa-bapa kemerdekaan kita yang inginkan masyarakat yang berpadu kepada industri dan pendidikan sains serta ilmu yang lebih kepada kebaratan.

Apakah ini gantinya kepada masyarakat kita dengan Islam reformis yang membawa ketempurungan ilmu, pengongkongan budaya dan penjumudan pemikiran kritis dalam masyarakat Melayu di Malaysia?

Banyak orang akan menyalahkan ahli politik dalam permasalahan perkauman kita yang semakin hari semakin meruncing.

Saya menyalahkan NGO-NGO Islam reformis yang memperkenalkan politik Islam tetapi tidak menyambung perjuangan mereka kepada politik negara-bangsa yang sepatutnya. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.