`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 




25 Ogos 2026

Thursday, August 27, 2026

Moyang kami Si Gondah dan mangsanya, JWW Birch

 Perasaan ini masih dapat saya katakan surreal apabila diberitahu yang JWW Birch sebenarnya dibunuh oleh salah seorangnya di tangan moyang kami.

Apa gamaknya yang difikirkan oleh moyang kami, Tok Gondah (Kundah, Si Gundah, Si Gondah, atau Kanda Ahmad) apabila almarhum bersama-sama Seputum dan Dato’ Maharaja Lela menyerang JWW Birch yang sedang mandi di sungai di luar rumah Koh Ah Yong? Mereka mencipta sejarah dengan membunuh Residen Birch pada hari raya kedua tahun 1875 atau setepatnya pada 2 November 1875.

Hanya minggu ini saya diberitahu dalam kumpulan WhatsApp bahawa moyang lelaki sebelah bapa saya adalah Tok Gondah. Salah seorang ‘pejuang kemerdekaan’. Saya pernah mendengar abah mengatakan dengan bangga, yang datuknya adalah Seputum atau Siputum. Katanya lagi, kalau tidak percaya boleh tanyakan opah (yang sudah pun tiada), atau Wan Nyah (kakak kandung abah). Sudah tentu waktu itu, saya tidak berapa mengambil berat mengenainya. Sehinggalah minggu ini apabila perbincangan mengenai leluhur kami itu bangkit kembali, hal di Pasir Salak itu bergulir datang.

Ternyata abah sedikit kesasar, atau memang saya yang salah dengar. Moyangnya adalah Si Gondah.

Saya difahamkan Tok Gondah memiliki lima orang isteri sepanjang hayatnya. Salah seorangnya, ketika beliau membuka Kampung Lekir, bernama Che Empong. Salah seorang anak mereka kemudian adalah Ibrahim, yang berkahwin dengan Lebar dan beroleh opah kami iaitu Saniah.

Entah apa dalam fikiran moyang kami apabila beliau bersama-sama Seputum dan lain-lain membunuh JWW Birch. Adakah almarhum memikirkan hasil keputusan para pembesar di Durian Sebatang dengan restu Sultan Perak? Hanya setahun lebih sebelumnya, pada 20 Januari 1874 Perjanjian Pangkor ditandatangani. Ia mengerat Nusantara menjadi sebahagian milik British, dan sebahagian lain milik Belanda. Perjanjian itu membolehkan James Wheeler Woodford Birch dilantik sebagai residen British Perak, dan merupakan residen British pertama di Tanah Melayu.

Bertahun-tahun lamanya dalam buku sejarah nama Birch itu muncul. Saya membaca mengenainya sejak dari sekolah. Nama Birch lekat. Kadang-kala nama pejuang persis Seputum sendiri tenggelam di sebalik nama Birch. Bagaimana pula rasanya diberitahu yang Birch sebenarnya dibunuh oleh salah seorangnya di tangan moyang kami. Perasaan ini masih dapat saya katakan surreal.

Tiga hari sebelum Birch tiba di Pasir Salak, Dato’ Maharaja Lela mengarahkan Si Gondah mengundang Raja Din Marewah, Odah Adam, Raja Husin dan ramai lagi ke rumahnya. Lebih 100 orang datang dan berpakat untuk bersembahyang raya tahun itu. Di hujung Ramadan tersebut, surat Sultan Abdullah dibacakan oleh Pandak Indut. Surat itu menitahkan mereka akur dengan Dato’ Maharaja Lela yang menyatakan puasa telah berakhir dan Birch mesti dihapuskan.

Pada pagi hari raya kedua itu Seputum melembing, kemudian menetak Birch dua kali. Peranan Sigondah dikatakan terhad berteriak ‘amuk, amuk, amuk’ di tebing sungai, dan berlawan dengan pengawal dan juak-juak Birch di dalam perahu.

Mayat JWW Birch ditemukan pada hari yang sama oleh Daeng Patundo, dan dibawa ke Bandar Baru. Mayat itu diperiksa oleh Lagis Suboh dan dalam laporan dinyatakan terdapat kecederaan kerana tikaman lembing, kaki kiri ditetak parang, jari terputus dan juga cedera di kepala oleh pedang.

Pada malam 2 November tersebut, Dato’ Maharajala Lela bersama-sama pasukan Wan Husin ikut mara ke Bandar Baru dan turut disertai oleh Maharaja Serama, Kundah Amin, Pandak Param, Ngah Sudin, Si Ondah, Si Alang Taib, Si Tuah dan tentunya moyang kami, Si Gondah. Ada banyak lagi yang berlaku. Tentulah kecoh. Seorang Inggeris telah dibunuh.

Peristiwa pembunuhan Birch menggemparkan Pejabat Tanah Jajahan London. William Jervois, gabenor negeri-negeri Selat mengarahkan bantuan 80 orang tentera dari Hong Kong, Labuan, dan Singapura untuk turun menangani kemungkinan kekacauan lebih besar.

Terlalu banyak yang berlaku dalam dua tiga hari itu, malah bulan-bulan berikut. Saya membayangkan pergerakan kapal api Pluto di bawah pimpinan Kapten Welner menuju ke Batak Rabit. Pergerakan Sultan Abdullah dan para pembesar ke Durian Sebatang. Kapten Speedy berusaha menahan syahbandar. Pada 5 November 1875, sebagai satu bentuk bantuan senyap, masyarakat Cina berikrar kepada para pembesar Melayu untuk tidak terlibat dalam pertempuran yang akan terjadi kelak. Di Perak, British agak patah kaki serba-serbi. Sayang ada Melayu dari negeri lain menolongkan.

Hanya pada Julai 1876 barulah pembesar dan pahlawan Melayu yang terlibat dalam pembunuhan penjajah British, Birch itu dapat ditangkap setelah diperdayakan atau dipujuk oleh Sultan Johor Maharaja Abu Bakar menerusi dato’ bentara setiausaha kerajaan Johor dan William Hole, setiausaha sulit Maharaja Abu Bakar kepada gabenor. Seputum ditangkap di Lambor. Tiada maklumat sejarah mengenai moyang kami Si Gondah sehinggalah nama itu terbit lagi di bulan Mac 1876.

Pada 3 Mac 1876, di Bandar Baru, Perak; Seputum, Ngah Ahmad dan Si Gondah dihadapkan ke mahkamah dengan Raja Idris bertindak sebagai hakim. JG Davidson, residen British Selangor dijadikan penilai dengan bantuan Frank Swettenham.

Dalam perbicaraan, seorang saksi bernama Hamid menceritakan perihal kedatangan Birch di Pasir Salak. Hamid mengecam Seputum ada di tempat kejadian, termasuklah Si Gondah yang dikatakan membawa lembing dan berteriak ‘amuk’. Saksi lain Koh Ah Yong, tukang emas tempat Birch meminjam rumahnya untuk mandi menyatakan dia melihat Seputum menetak Birch, tetapi tidak nampak Si Gondah melakukannya. Saksi lain, Hoo Ah Choey menyatakan melihat Seputum, Si Gondah dan Ngah Ahmad di tebing sungai akan tetapi beliau hanya melihat Seputum menetak Birch, dan Si Gondah sekadar meneriakkan kata ‘amuk’.

Pada 4 Mac 1876, JJ Keyt, kerani residen dipanggil dalam perbicaraan sambil mengesahkan Seputum, Si Gondah dan Ngah Ahmad mengakui membunuh JWW Birch ketika penyiasatan. Saksi-saksi lain, Hajjah Fatimah dan Mohamed Amin mengesahkan Si Gondah adalah antara pahlawan yang menyerang Bandar Baru dan berada di hadapan menjeritkan kata ‘amuk’.

Ketika Seputum dan Si Gondah dipanggil ke kandang pesalah, kedua-duanya menyatakan mereka ditekan oleh Dato’ Maharaja Lela untuk melakukan hal tersebut atau anak isteri mereka diambil, manakala Ngah Ahmad mengatakan dia hanya berada di tebing sungai setelah JWW Birch terbunuh. Alasan dan helah yang nampaknya menjadi.

Pada 5 Mac 1876, Hakim Raja Idris menjatuhkan hukuman bersalah dan gantung untuk Seputum, Si Gondah dan Ngah Ahmad; tetapi hukuman ditangguhkan dan dijalankan hanya setelah diperakukan oleh sultan. Majlis Kerja Gabenor meneliti kembali bukti yang melibatkan Si Gondah dan Ngah Ahmad lantas berpendapat tiada cukup bukti penglibatan mereka secara langsung. Mereka mengarahkan timbalan pesuruhjaya Perak menasihati Sultan Abdullah meminda hukuman yang dijatuhkan ke atas Si Gondah dan Ngah Ahmad kepada penjara seumur hidup. Seputum pula dihukum gantung sampai mati pada 20 Mei 1876.

Pada 7 Oktober 1876, Sultan Abdullah didakwa dengan 10 pertuduhan menghasut pembunuhan JWW Birch. Baginda dihukum turun takhta oleh British, dan bersama-sama tiga orang pembesar Perak, dan 43 yang lain mereka dihukum buang negeri ke Pulau Mauritius atau Seychelles, dan tiba dengan kapal Carthestone pada 30 Ogos 1877. Sultan Abdullah dan 26 yang lain ditempatkan terasing di Pulau Mahe. Beberapa tahun kemudian pembesar Perak itu berusaha untuk kembali menerusi proses perundangan yang rumit. Baginda mangkat pada tahun 1922 dan dikebumikan di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak.

Saya tidak tahu apa yang berlaku kepada Tok Gondah selepas dijatuhkan hukuman penjara. Ada kemungkinan almarhum dibebaskan. Rekod sejarah mengenai beliau tidak banyak melainkan yang pernah didokumentasikan oleh Abdullah Zakaria Ghazali dalam ‘Pasir Salak: Pusat Gerakan Menentang British di Perak’ (1997). Kaum keluarga akan bergantung kepada sejarah lisan tentunya. Maklumat-maklumat kecil yang memerca dan perlu dijahit menjadi sehelai bendera sejarah yang bermakna.

Tidak mustahil Tok Gondah dibebaskan setelah dipenjara. Ini kerana selepas proses rayuan yang panjang, Sultan Abdullah dibenarkan pulang dan dibawa ke Singapura. Kami tahu Tok Gondah berusia panjang. Apa yang kami tahu, Tok Gondah pernah berkahwin dengan seorang wanita Quraisy di Mekah, kemudian Teh Hawa di Teluk Baru, juga Che Sara di situ, dan Teh Jenun di Bota. Salah seorang isterinya adalah Che Empong, moyang kami. Anak mereka Ibrahim, rekod kelahirannya adalah pada tahun 1922 (meskipun boleh sahaja rekod kelahiran itu berbeza). Paling tidak, terdapat 12 orang anak Tok Gondah dapat dijejaki.

Tok Gondah dikebumikan di Batu 8 Lekir, Perak. Minggu ini juga, beberapa hari sebelum sambutan Hari Kemerdekaan ke-69, cucu-cicit dan piut Tok Gondah akan berkumpul di Ipoh untuk bersilaturrahmi.

Satu yang bersarang dalam benak saya adalah apakah dalam fikiran moyang kami apabila beliau bersama-sama Seputum dan Dato’ Maharaja Lela menghabisi penjajah British JWW Birch di sungai pada hari raya Kedua? Apakah almarhum tahu apa yang telah beliau lakukan kini terlembar masuk dalam buku sejarah tanahair? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.