Bekas menteri luar itu berkata matlamat politik perlu dicapai menerusi strategi tidak bercanggah dengan undang-undang dan moral.

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata perjuangan politik tidak seharusnya hanya tertumpu kepada matlamat akhir, sebaliknya cara untuk mencapainya juga perlu berpegang kepada prinsip betul.
Menurutnya, sesebuah perjuangan politik perlu mempunyai ‘gambaran besar’, termasuk matlamat membentuk kerajaan lebih baik di Putrajaya serta mewujudkan konfigurasi politik stabil.
Bagaimanapun, bekas menteri luar itu berkata ‘gambaran besar’ berkenaan perlu dipandu oleh ‘pandangan alam’ tepat supaya matlamat akhir tidak dijadikan alasan untuk menghalalkan tindakan bertentangan dengan undang-undang dan moral.
“Gambaran besar itu disuluh pandangan alam Islam, iaitu amar makruf nahi mungkar (menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran) yang diungkap Presiden Hamzah Zainudin.
“Inilah asas kepada frasa ‘menyeru kepada kebaikan dan kesejahteraan’ dalam falsafah itu. Dan ini adalah roh perjuangan parti ini,” tulisnya dalam ruangan ‘Merentas Ruang’ yang diterbitkan Sinar Harian.
Saifuddin berkata pendekatan itu penting kerana Wawasan bukan sekadar mahu mengejar kemenangan dan kecemerlangan di Putrajaya.
Sebaliknya, katanya, parti itu mahu mencapai matlamat berkenaan menerusi strategi tidak bercanggah dengan undang-undang dan moral.
“Dan lebih penting lagi, parti ini inginkan kemenangan dan kecemerlangan yang punya roh,” katanya.
Wawasan adalah penjenamaan semula Parti Cinta Malaysia (PCM), selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) meluluskan pertukaran nama, logo dan pindaan perlembagaan parti itu berkuat kuasa 6 Julai lalu.
Parti itu turut menjadi sebahagian daripada komponen Perikatan Nasional (PN). - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.