Bila dengar tuntutan Takiyuddin Hassan saya rasa nak nangis pun ada, nak ketawa pun ada. Berapa punya banyak RCI daa!

Bukanlah sesuatu yang memeranjatkan bekas ketua audit negara Madinah Mohamad mengeluarkan kenyataan yang boleh dilihat ‘bercanggah’ dengan apa yang ditonjol laporan RCI Tabung Haji.
Pada hemat saya beliau terpaksa atau lebih tepat terpanggil mempertahankan jabatan yang diketuainya dari 2017 hingga 2019 dengan menyatakan ia sudah menjalankan tugas dengan baik. Biasalah, tiada siapa akan mengakui tidak buat kerja dengan sempurna.
Umum tahu RCI dalam laporannya mengkritik Jabatan Audit Negara kerana tidak tegas mengaudit penyata kewangan TH antara 2014 hingga 2017.
RCI mendapati TH menyembunyikan kedudukan sebenar kewangannya bertahun-tahun apabila melaporkan keuntungan RM3.4 bilion pada 2017 sedangkan ia sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion di bawah piawaian perakaunan yang betul — iaitu hampir RM4.8 bilion. Ringkasnya rugi tapi kata untung.
Dalam berkata jabatannya sudah menjalankan tanggungjawab dengan baik, Madinah turut menegaskan tidak menemui bukti kecurian atau penyelewengan ketika mengaudit PH. Lantas inilah yang digunakan pihak tertentu yang sejak awal mempertikai laporan RCI untuk meneruskan pertikaian mereka. Juga digunakan oleh golongan yang mempersoalkan istilah ‘sakau’ yang sering digunakan oleh PMX berhubung beberapa kes termasuk di TH.
Seorang kawan lama terdorong untuk bertanya: “Adakah ex-auditor general menolak laporan RCI, bro?”. I don’t think so. Not exactly.
Madinah dipetik FMT berkata penilaian Jabatan Audit Negara (yang beliau ketuai) dan semakan PricewaterhouseCoopers (PWC) dibuat berdasarkan “mandat, objektif, skop dan metodologi berbeza justeru perbandingan secara langsung antara kedua-duanya adalah seperti membandingkan epal dan oren”. Atau menurut saya ibarat banding durian dengan strawberry.
“Perbezaan metodologi dan kaedah inilah yang menyebabkan kedua-dua laporan menghasilkan angka berbeza,” kata beliau dan seterusnya memberitahu jabatannya menjalankan audit berdasarkan Akta Audit dan Akta Tabung Haji manakala PricewaterhouseCoopers menjalankan financial position review berdasarkan terma rujukan berbeza “dengan pendekatan lebih luas dalam menilai kedudukan kewangan TH”.
Seperkara yang perlu dinyatakan, menurut Madinah, beliau telah hadir di Jabatan Kemajuan Islam pada hari yang dijadualkan semasa prosiding RCI tetapi tidak dipanggil untuk memberi kenyataan.
Ini ada dibangkitkan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Pada sidang khas Dewan Rakyat 11 Ogos lalu bagi membahaskan laporan RCI, Syed Saddiq mempersoal mengapa keterangan Madinah tidak dimasukkan memandangkan beliau ketua audit negara semasa tempoh yang disiasat.
Apa pun Madinah kata apa yang beliau kata tiga hari lalu, pada Forum Musyawarah Nasional ‘Realiti dan Persepsi, Jangan Mempolitikkan Tabung Haji’.
Yang menarik perhatian saya ialah seruan jangan mempolitikkan Tabung Haji. Pada pandangan saya, menganjur forum itu sendiri ada elemen mempolitikkan isu oleh parti politik apatah lagi antara yang hadir pada forum itu ialah Zahid Hamidi si presiden Umno diiringi Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Wanita Noraini Ahmad.
Zahid dan Noraini duduk dalam Jemaah Menteri. Keputusan mengumumkan laporan RCI kepada khalayak dibuat setelah dipersetujui Jemaah Menteri 29 Julai lalu. Maknanya Zahid dan Noraini hadir pada mesyuarat Jemaah Menteri hari itu. Mohamad Hasan si timbalan presiden Umno walaupun tak hadir pada forum Selasa lalu pasti hadir mesyuarat Jemaah Meteri.
Setahu saya keputusan Kabinet dibuat secara consensus. Apa yang tak puas hati, cadangan, dan saranan sepatutnya disuarakan sebelum keputusan dibuat. Satu bulan kemudian yakni pada forum Selasa lalu Zahid menyatakan persetujuan atas cadangan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara atau PAC menubuhkan badan khas menyiasat pengurusan TH bagi tempoh 2017 hingga kini agar tidak ada tuduhan ‘penyakauan’.
A classic case of jawatankuasa tubuh satu lagi jawatankuasa. Apa Umno nak sebenarnya?
Forum yang Zahid hadir itu dihadiri juga oleh Takiyuddin Hassan, setiausaha agung PAS serta dua ahli jawatankuasa PAS Pusat, Shahidan Kassim dan Awang Hashim.
Seperti disebut tadi pada 11 Ogos lalu ada sidang khas mengenai laporan RCI Tabung Haji di Dewan Rakyat tetapi waktu itu Yang Berhormat daripada PAS dan rakan mereka daripada Wawasan memilih untuk tidak mengambil bahagian, sebaliknya keluar dewan beramai-ramai konon membantah ketidakhadiran PMX pada sidang itu. Perdana menteri ketika itu sedang dirawat di hospital. Sekarang Takiyuddin berkata Perikatan Nasional mahu penubuhan RCI baharu untuk siasat pentadbiran Tabung Haji. Bila dengar tuntutan beliau saya rasa nak nangis pun ada, nak ketawa pun ada. Berapa punya banyak RCI daa!
Ada benarnya kata Puad Zarkashi yang pernah jadi orang kuat Umno bahawa pemimpin BN dan PN cuba melemahkan laporan RCI tetapi hanya tembak kaki sendiri kerana kedua-dua gabungan itu duduk dalam kerajaan ketika RCI ditubuhkan.
Apa yang disifatkan skandal TH mula berlaku pada pemerintahan BN pimpinan Najib Razak. RCI ditubuhkan pada 2021 ketika PN jadi kerajaan. BN ada juga dalam kerajaan. Perdana menteri waktu itu Muhyiddin Yassin. Semua setuju terma dan syarat penubuhan RCI dan tidak pertikai anggota suruhanjaya berkenaan. Laporan RCI siap pada 2022 ketika Ismail Sabri Yaakob jadi perdana menteri. BN dan PN masih duduk dalam kerajaan. Menteri agama Idris Ahmad daripada PAS.
Puad melihat cadangan Zahid dan Takiyuddin sekadar usaha melengah-lengahkan tindakan undang-undang.
Sekarang Menteri Hal Ehwal Agama Zulkifli Hasan menegaskan fokus kerajaan ialah tindakan susulan laporan RCI. Sehingga kini beberapa individu ditahan SPRM. Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim 8 Ogos lalu menitahkan sebarang penyelewengan disiasat hingga ke lubang cacing. Sewajarnya jika terbukti jenayah berlaku, golongan yang melakukannya mesti dibawa ke muka pengadilan untuk menerima pembalasan.
Ini yang rakyat mahu. Agong tidak keseorangan. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.