Razali Idris berkata akan terus menggalas tugas exco selagi diberikan amanah oleh Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar.

Razali berkata, beliau pernah menyatakan perkara itu sebelum ini, berlatarkan perselisihan antara Bersatu dan PAS.
“Saya sudah nyatakan bahawa perkhidmatan saya diteruskan selagi diperlukan dan saya akur jika diminta oleh menteri besar untuk melepaskan jawatan,” katanya kepada FMT.
Razali memegang portfolio pelancongan, kebudayaan, alam sekitar dan perubahan iklim.
“Saya fikir tiada apa-apa gangguan dalam pentadbiran negeri kerana kami tiada perkelahian, kerajaan mantap dan saya menyokong penuh kepimpinan menteri besar,” katanya.
Razali melepaskan jawatan ketua Bersatu Terengganu pada Ogos. Peletakan jawatan itu berlatarkan tindakan PAS menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu, serta pembentukan Wawasan oleh beberapa bekas pemimpin Bersatu.
Terdahulu, Naib Presiden Wawasan, Wan Saiful Wan Jan, menggesa kedudukan wakil rakyat Bersatu yang dilantik sebagai exco di Kedah, Kelantan dan Terengganu dikaji semula.
Gesaan itu menyusuli tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional, ekoran aduan Bersatu yang menurut setiausaha agung parti itu berkenaan pelanggaran perlembagaan oleh kepimpinan baharu PN.
Bersatu mempunyai dua ahli yang memegang jawatan exco di Kedah, dan seorang di Kelantan dan Terengganu. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.