`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


16 SEPTEMBER 2026

Saturday, October 24, 2026

Tutup pintu kerjasama sukarkan PH menang banyak kerusi, kata pemimpin Amanah

 Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil berkata PH perlu terbuka bekerjasama dengan parti yang punyai perjuangan yang sama seperti menentang rasuah.

faiz fadzil
Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil, berkata PH perlu mengambil peluang untuk bekerjasama dengan parti yang boleh menambah nilai pada gabungan itu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) perlu terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk Bersatu, sekiranya mempunyai matlamat perjuangan yang sama iaitu menentang rasuah, penyelewengan dan fahaman perkauman melampau.

Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil, berkata sikap menutup pintu kerjasama akan menyukarkan gabungan itu memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya, termasuk dalam usaha kembali mentadbir Melaka dan Putrajaya.

Katanya, bagi berdepan PRN Melaka dan PRU16, PH perlu bekerjasama dengan parti lain untuk memenangi lebih banyak kerusi, selain meyakinkan pengundi Melayu dan mengekalkan sokongan bukan Melayu.

“Kita (PH) tidak boleh menutup pintu kerjasama dalam politik. Kita perlu meramaikan kawan daripada lawan. Jika kita menutup pintu, ia akan menyukarkan PH memenangi lebih banyak kerusi.

“Jika ada parti lain yang boleh menambah nilai kepada PH, kita perlu mengambil peluang itu,” katanya kepada FMT.

PH Melaka menegaskan ia akan bertanding solo pada PRN akan datang, tetapi spekulasi berhubung persefahaman pilihan raya dengan Bersatu terus bertebaran.

Spekulasi ini semakin hangat susulan majlis makan malam antara pemimpin PH negeri dan Bersatu pada bulan lalu, walaupun wakil DAP tidak hadir.

Terdahulu hari ini, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad, mencadangkan PH bertanding secara solo pada PRN Melaka dan PRU16 bagi memperkukuh identiti politik gabungan itu susulan kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan PAS serta sekutunya pada pilihan raya bulan depan.

Katanya, pendekatan itu akan membolehkan PH menawarkan gagasan, dasar dan calon yang jelas berprinsip kepada rakyat tanpa menimbulkan kekeliruan akibat percaturan kerjasama dengan parti lain.

Mengulas gesaan Khalid itu, Faiz berkata cadangan supaya PH bergerak solo merujuk kepada ketiadaan kerjasama gabungan itu dengan BN, bukannya menutup ruang kerjasama dengan parti lain.

“Ia bukan bermaksud PH menutup pintu untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang mempunyai agenda perjuangan sama.

“Kerjasama politik boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk, termasuk gabungan politik berstruktur, pakatan pilihan raya atau pembentukan gabungan baharu. Jadi, kita sentiasa menganjurkan konsep khemah besar,” katanya.

Selain Khalid bekas pengerusi DAP Melaka, Damian Yeo turut menegaskan beliau akan memboikot kempen PRN Melaka PH sekiranya ada persefahaman pilihan raya dengan Bersatu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.