`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 


 




Monday, November 16, 2026

Disiplin, kerja keras di sebalik harmoni Permata Seni Koir

 Latihan intensif dan komitmen persekolahan antara cabaran membentuk paduan suara yang memenangi kejohanan di Jerman September lalu.

SYAFINAZ KUMPULAN KOIR PERMATA SENI NEGARA JKKN
Ahli Permata Seni Koir gigih menjalani latihan di studio Permata Seni Koir, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.
PETALING JAYA:
Menyatukan 26 suara muda agar kedengaran sepadu bukan tugas mudah, lebih-lebih lagi apabila setiap peserta perlu mengimbangi latihan koir dengan komitmen persekolahan.

Permata Seni Koir (PSK) perlu melepasi latihan intensif dan mencapai standard yang tinggi untuk layak meraih gelaran juara keseluruhan 3rd Internationales Chorfest di Jerman, yang berlangsung pada 16 hingga 20 Sept lalu.

“Kita ada 26 peserta, tetapi kita tak boleh ada 26 suara. Mereka kena kedengaran seperti satu suara dengan 26 jiwa,” kata ketua bidang PSK merangkap konduktor, Syafinaz Selamat, kepada FMT.

Dilancarkan pada 11 Jan 2010 di bawah kelolaan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), PSK menyediakan platform untuk mencungkil dan mengasah bakat kanak-kanak dalam bidang seni. program ini terbahagi kepada tiga cabang, iaitu Permata Seni Muzik, Permata Seni Tari dan Permata Seni Koir. Bermula dengan hanya 50 orang ahli, Permata Seni kini berkembang pertambahan ahli seramai 120 orang.

Syafinaz berkata para penyanyi muda dididik supaya memahami nilai disiplin dan kerja keras, sambil mengimbangi komitmen persekolahan.

SYAFINAZ KUMPULAN KOIR PERMATA SENI NEGARA JKKN
Penyanyi terkenal, Syafinaz Selamat, merupakan ketua bidang dan konduktor PSK.

“Kalau tak berminat nak menyanyi, ini bukan tempatnya. Lebih baik buat benda lain,” tegasnya.

Menurutnya, peserta perlu memahami bahawa mereka harus bersaing sesama sendiri untuk dipilih menyertai persembahan atau pertandingan.

Beliau memberi contoh konsert tahunan hujung tahun yang hanya membolehkan sekitar 80 daripada keseluruhan 120 ahli membuat persembahan, sekali gus memerlukan pemilihan berdasarkan perkembangan dan kemajuan setiap peserta.

“Kalau mereka mahukan sesuatu, mereka kena bekerja keras dan berusaha untuk mendapatkannya. Tiada apa yang mudah dalam hidup,” katanya yang sudah 16 tahun menjadi tenaga pengajar PSK.

Pendekatan itu nyata membuahkan hasil apabila 26 penyanyi PSK muncul juara keseluruhan di 3rd Internationales Chorfest, selepas bertanding dalam kategori lagu rakyat dan kanak-kanak.

Dalam kategori lagu rakyat terutamanya, mereka berdepan kumpulan yang lebih dewasa dan berpengalaman termasuk pelajar universiti yang mendalami bidang muzik.

PSK menyanyikan lagu tradisional Malaysia seperti Sewang, Tari Tualang tiga dan Jong-jong Inai, dan persembahan mereka menerima tepuk sanjungan (standing ovation) daripada juri dan penonton.

“Lagu-lagu tradisional Malaysia kurang didengari di persada antarabangsa, terutama dalam pertandingan koir, kerana susunan lagunya bukan mudah. Mungkin itulah yang membuatkan juri terpikat,” katanya, yang juga penyanyi terkenal tanah air.

Kini, PSK berdepan cabaran mengekalkan momentum dan mutu persembahan. Syafinaz berkata ahli lama perlu membantu membimbing peserta baharu sebagai pelapis.

Syafinaz berharap kejayaan PSK di pentas antarabangsa dapat meningkatkan pengiktirafan terhadap seni koir di Malaysia, selain menggalakkan lebih ramai ibu bapa melihat muzik sebagai pilihan hobi dan kerjaya untuk anak-anak.

Muna Maryal Mohd Rizlan (kiri) dan Nealda Tursina Mohamad Haris perlu melepasi latihan intensi sambil mengimbangi komitmen persekolahan untuk menjadi ahli PSK.

Bagi peserta berusia 16 tahun, Nealda Tursina Mohamad Haris, pertandingan di Jerman mungkin menjadi penyertaan terakhir bersama PSK kerana mahu memberi tumpuan kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Seorang lagi ahli, Muna Maryal Mohd Rizlan, 16, berharap lebih ramai kanak-kanak menyertai PSK.

“Saya sangat galakkan memberi peluang membuat persembahan di pentas besar, selain memperluas pengetahuan dalam teori muzik.” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.