KERING.....Baldi kosong mangkok tandas dipenuhi najis selama 4 hari?
Saudara Pengarang
SAYA mohon ehsan agar Sabahkini.Net dapat menyiarkan surat aduan ini mengenai isu air di Taman Mesra yang semakin kritikal kepada 2,000 penduduk yang marah kepada Jabatan Air dan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS).
Sudah 4 hari kawasan perumahan Taman Mesra terputus bekalan air dan kering kontang sehingga kini; namun tidak dipedulikan oleh MPS dan Jabatan Air Sandakan walaupun sudah beberapa kali dimaklumkan secara rasmi.
MPS dan Jabatan Air sedia maklumkan bahawa 90 peratus penduduknya beragama Islam dan 78 peratus mereka mengerjakan solat lima waktu; ada yang dibuat di rumah dan ada yang berjemaah di Masjid Saidina Ali, Taman Mesra.
Ekoran ketiadaan bekalan air, walaupun setitik, maka mereka tidak dapat mengerjakan sembahyang. Bukankah ini satu dosa besar yang bukan alang kepalang yang ditanggung oleh pegawai-pegawai Jabatan Air dan MPS yang beragama Islam kerana tidak mengambil sebarang tindakan melaksanakan kerja-kerja pemeriksaan; terutama mengenal pasti jika ada kebocoran batang paip sehingga terputus begitu lama.
Sejak kelmarin, 80 peratus penduduk Taman Mesra memaki hamum dan menyumpah seranah pegawai dan kakitangan Jabatan Air dan MPS agar mereka ditimpa bala yang mengerikan kerana perbuatan mereka dan dosa mereka kepada umat Islam di Taman Mesra; yang tidak tertanggung beratnya kerana memutuskan bekalan air yang disengajakan sehingga mereka tidak dapat mengerjakan sembahyang lima waktu.
Air adalah keperluan segala makhluk termasuk manusia. Kenapa Jabatan Air dan MPS terlalu kejam kepada masyarakat Islam di Taman Mesra? Apa dosa-dosa yang kami sudah lakukan kepada MPS dan Jabatan Air?
Kami harap selesaikan segera masalah ini dan berikan penjelasan agar kami tidak hilang kesabaran dan bersembahyang hajat minta Allah turunkan bala kepada pegawai bersubahat melakukan sabotaj memutuskan bekalan air di Taman Mesra.
Salam Hormat,
MAHSUM KARIM LABUKA
Penduduk Taman Mesra
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.